Senarai Kawan

Selasa, 1 November 2011

Aku Juga Mencintaimu-Bab 3


BAB 3
SOFFIYA sudah bersiap berpakaian kemas untuk pergi ke pejabat. Dia terjenguk-jenguk di dapur jikalau ada kelibat Qistina di situ. Dia hairan, selalunya Qistinalah orang yang pertama bersiap dan menunggunya di ruang tamu, tapi kali ini batang hidung Qistina pun dia tak nampak lagi. Soffiya dilanda resah. Sesekali dia melihat jam dipergelangan tangannya, hanya tinggal beberapa minit saja lagi pukul 9.00 pagi. Pasti dia lewat tiba di pejabat nanti. Soffiya mengeluh.
            Soffiya malas menunggu lama lagi, dia mengaturkan langkah perlahan-lahan menuju ke pintu bilik Qistina. Dipulasnya tombol pintu itu, alangkah terkejutnya dia mendapati Qistina masih tidur di atas katilnya. Soffiya pelik dengan tindakan Qistina itu, dia bergerak dengan lebih dekat lagi. Dia cuba mengejutkan Qistina yang masih tidur lena.
            “Qis, kau tak pergi kerja ke?” Panggil Soffiya sambil mengoncangkan badan Qistina. Qistina membuka matanya perlahan-lahan.
            “Fiya, aku rasa tak larat nak pergi kerjalah hari ini,” ucap Qistina perlahan.
            “Qis, kau demam ni. Panas badan kau,” beritahu Soffiya sambil meletakkan jari ke dahi Qistina. Terkejut Soffiya, badan Qistina memang tengah panas.
            “Mari, aku bawak kau pergi klinik dulu. Nanti, kalau dibiarkan lama melarat pulak,” ujar Soffiya sambil mengangkat badan Qistina.
            “Tak payahlah Fiya, kejap lagi aku makan ubat panadol baiklah. Kau tu pergi kerja cepat. Nanti lambat pula. Pasal aku, kau jangan risau ek…,” beritahu Qistina lemah. Dia tidak mahu menyusahkan Soffiya lagi.
            “Betul ni?” tanya Soffiya lagi. Pantas Qistina mengangguk.
            “Tak apalah kau tak payah pergi kerja hari ini. Nanti aku beritahu pada Encik Kamal yang kau cuti hari ini. Kau rehat aje kat rumah. Kalau ada apa-apa hal kau telefon aku tau. Aku pergi kerja dulu,” ujar Soffiya lagi. Dia mulai risau melihat keadaan Qistina. Pasti disebabkan kejadian tempoh hari Qistina diserang demam.
            Soffiya mengatur langkah dengan cepat, hari ini dia sudah terlambat datang ke pejabat. Risau juga jika ada orang mencarinya. Jika tidak disebabkan Qistina demam tadi, pasti dia sudah awal sampai ke pejabat seperti selalu. Bagaimanalah keadaan Qistina ditinggalkan seorang di rumah, hatinya mulai risaukan keadaan Qistina, nampaknya hari ini dia terpaksa minta cuti setengah hari bekerja dia mahu membawa Qistina ke klinik. Takut demam Qistina semakin menjadi-jadi walaupun Qistina memberitahunya akan memakan ubat. Bukan dia tidak mempercayai kata-kata Qistina, tetapi sebagai kawan baik dia sekadar mengambil berat akan diri Qistina.
            “Lambat kau sampai ofis hari ini? Selalunya kau dengan Qistinalah orang yang paling awal tiba,” ucap Syafiq sambil terjenguk-jenguk dibelakang Soffiya seperti mencari seseorang.
            “Yang, kau ni terjenguk-jenguk ni kenapa? Kau cari siapa?” tanya Soffiya kepada Syafiq. Pelik dengan perangai mamat sorang ni.
            “Kau datang sorang aje? Qis mana? tanya Syafiq semula. Dia pula yang gelabah.
            “Qis cuti hari ini dia demam,” jawab Soffiya ringkas.
            “Pelik aku, tak pernah Qistina cuti mengejut macam ni.”
            “Dah dia demam, takkan nak datang kerja jugak,” sindir Soffiya. Geram betul dengan Syafiq ni. Tak faham aku dengan perangai dia ni. Buat aku sakit hati aje!
            “Okeylah, aku nak pergi sambung kerja aku balik. Tadi Syam cari kau,” beritahu Syafiq kepada Soffiya. Macam mana dia nak terangkan pada Hisyam nanti.  Arghh…

SUDAH pukul 1.00 tengah hari, Soffiya tergesa-gesa mencapai beg tangannya. Dia sudah memberitahu kepada Encik Kamal bahawa dia mengambil cuti setengah hari, hari ini. Dia juga risau dengan keadaan Qistina sendirian di rumah. Nasib baiklah Encik Kamal telah membenarkannya mengambil cuti hari ini.
            Hisyam terlihat keadaan Soffiya yang tergesa-tergesa itu. Pelik dengan tingkah laku Soffiya yang nampak tergesa-gesa itu segera dia mendekati Soffiya. Pagi tadi ada dia mencari Soffiya ditempatnya, tetapi kata Sarah Soffiya belum sampai di pejabat. Hisyam segera mengejar Soffiya yang sudah dihadapannya.
            “Fiya,” panggil Hisyam. Soffiya terdengar ada orang memanggilnya terus saja dia berpaling wajahnya dan memberhentikan langkahnya. Membiarkan Hisyam menghampirinya.
            “Yang kau tergesa-gesa ni kenapa?” tanya Hisyam. Dia mulai risau.
            “Aku risaukan Qis kat rumah sorang-sorang tu.”
            “Kenapa dengan Qis?” Tanya Hisyam lagi seperti terkejut.
            “Qis demam, sebab tu aku ambil cuti setengah hari ni nak bawa dia pergi klinik. Aku risaulah dengan keadaan dia tu,” luah Soffiya kepada Hisyam.
            “Biar aku temankan kau,” beritahu Hisyam. Soffiya dan Hisyam bergegas pulang ke rumah. Sebaik sampai di rumah, mereka terus mendapatkan Qistina melihat keadaan Qistina yang lemah dan tidak bermaya. Muka Qistina kelihatan pucat. Risau Hisyam dan Soffiya melihat keadaan Qistina seperti itu. Sepanjang Qistina tinggal dengan Soffiya, tidak pernah Qistina dilanda demam seteruk begini. Hisyam terus mencempung tubuh Qistina dan membawanya masuk ke dalam kereta. Hisyam memandu kereta dengan penuh berhati-hati sambil memerhati Soffiya yang memangku Qistina di tempat duduk belakang.
            Tiba saja di hospital, Qistina di bawa masuk ke dalam bilik kecemasan manakala Soffiya dan Hisyam menunggu di luar kerana doktor yang memeriksa Qistina tidak membenarkan mereka masuk. Hisyam mulai dilanda risau apabila melihat keadaan gadis pujaannya yang lemah dan tidak bermaya itu.
            “Apa yang jadi pada Qis? Cuba kau ceritakan perkara yang sebenarnya pada aku. Aku rasa Qis ada masalah yang teruk sampai dia jadi macam tu,” Hisyam bertanya kepada Soffiya. Soffiya tidak tahu macam-mana mahu menceritakan kejadian yang sebenarnya kepada Hisyam. Dia tahu Hisyam menyimpan perasaan terhadap Qistina.
            “Hari minggu tadi, kami pergi shopping lepas tu kami terjumpa tunang Qis dengan perempuan lain. Qis bergaduh dengan tunangnya masa itu. Aku tak sangka pulak keadaan Qis boleh jadi teruk sampai macam ni sekali,” luah Soffiya sambil meramas tangannya. Takut Hisyam akan memarahinya.
            “Maksud kau Fir?” Soffiya terus mengangguk mengiakan.
            “Aku tak sangka Fir sanggup buat begitu pada Qis!” Hisyam marah. Selama ni Qistina begitu setia kepada Firdaus, tak sangka dalam diam-diam Firdaus sanggup main kayu tiga dengan Qistina. Timbul rasa simpati Hisyam terhadap Qistina. Sudah lama dia memendam perasaan terhadap Qistina. Dia tidak sanggup melihat hati Qistina dilukai oleh tunangnya sendiri.
            “Sudahlah Syam, kita berdoa saja semoga keadaan Qis tak serius,” Soffiya cuba menenangkan Hisyam. Pasti Hisyam turut bersimpati ke atas diri Qistina.
            “Doktor, macam mana dengan keadaan Qistina?” tanya Hisyam kepada doktor yang merawat Qistina tadi yang baru keluar dari bilik kecemasan.
            “Encik, tak perlu risau Cik Qistina cuma mengalami demam panas saja. Saya dah berikan dia suntikan. Keadaannya dah stabil. Buat masa ini, dia perlukan rehat yang secukupnya,” terang doktor yang merawat Qistina tadi. Selepas memberi penerangan mengenai pesakit doktor itu pun berlalu meninggalkan Hisyam dan Soffiya.
            “Alhamdulillah,” ucap Hisyam lega bila mendapati keadaan Qistina tidak berapa serius. Risau juga bila dia melihat Qistina terbaring di tepi katilnya tadi. Dia tidak mahu apa-apa yang menimpa Qistina. Dia sanggup berkorban apa saja demi Qistina walaupun nyawanya sekali dia sanggup pertaruhkan. Dia sangat mencintai Qistina, cuma Qistina saja yang tidak tahu tentang isi hatinya.
            “Fiya, dah lewat malam ni. Biar aku hantar kau balik dulu,” ajak Hisyam.
            “Tapi, macam mana dengan Qis?” Sambil memandang keadaan Qistina yang terlantar sakit di atas katil.
            “Kau janganlah risau. Lagipun, doktor dah beritahukan tadi keadaan dia dah stabil. Biarlah dia berehat. Esok kita datang lagi. Nanti aku minta nurse jagakan dia,” beritahu Hisyam. Soffiya hanya menurut saja cadangan yang diberi oleh Hisyam tadi. Setelah memberitahu kepada jururawat yang bertugas di situ, Hisyam menghantar Soffiya pulang ke rumahnya.
            “Fiya, kau okey tak ni?” tanya Hisyam. Soffiya mengangguk. Dia tahu Soffiya risaukan keadaan Qistina.
            “Esok pagi aku ambil kau kat rumah, kita pergi hospital sama-sama.”
            “Hisyam, terima kasih tolong aku dengan Qis,” ucap Soffiya tersenyum. Hisyam turut melemparkan senyumannya. Soffiya hanya memerhati kereta yang dipandu Hisyam hilang dari pandangannya. Nasib baik Hisyam sanggup membantunya membawa Qistina ke hospital.

PAGI lagi, Hisyam sudah bersiap untuk mengambil Soffiya di rumah sewanya. Soffiya ada menghubunginya memberitahu pihak hospital ada menelefonnya dan memberitahu bahawa Qistina sudah mula sedar. Hisyam tidak sabar melawat Qistina di hospital. Sepanjang malam dia tidak dapat melelapkan matanya kerana risau memikirkan keadaan Qistina. Pagi ini hatinya berbunga-bunga dapat melihat gadis pujaannya didepan matanya.
            “Qis,” ucap Soffiya terus saja dia memeluk sahabat baiknya itu.
            “Fiya, kenapa ni? Kau risaukan aku ya,” Soffiya mengangguk. Soffiya menangis apabila melihat keadaan Qistina yang sudah beransur pulih.
            “Sudahlah aku okey aje, kau jangan risau ya…, malulah Hisyam tengok kita macam ni,” ucap Qistina sambil melepaskan pelukan dari Soffiya. Hisyam yang berdiri disebelahnya hanya tersenyum. Dia juga sedih melihat keadaan Qistina semalam. Lega hatinya apabila melihat Qistina kembali dengan wajah yang ceria kelihatan bersemangat.
            “Syam, terima kasih bawa Qis ke hospital. Kalau tak ada Syam semalam, tak taulah macam-mana dengan Qis. Fiya dah ceritakan pada Qis hal sebenarnya.” Hisyam terkejut apabila Qistina berkata begitu padanya.
            “Tak ada hallah Qis, tak salah kan kalau kita saling bantu-membantu,” terang Hisyam cuba merendahkan dirinya apabila dapat pujian daripada Qistina. Padahal hatinya berbunga-bunga dapat pujian dari Qistina. Tak disangka Qistina menghargai pertolongannya tempoh hari. Dah macam dalam cerita Adnan Sempit pula ‘dalam hati ada taman…,’ katanya.