Senarai Kawan

Selasa, 12 Jun 2012

Aku Juga Mencintaimu-Bab 16


SUASANA nyaman di kampung Sungai Sireh sungguh menyenangkan fikiran Firdaus. Sudah seminggu Firdaus menghabiskan masa di kampung halamannya. Sejak menjejakkan kaki di kampungnya, ternyata segala masalah yang melanda dirinya kini seperti sudah hilang. Sungguh mendamaikan. Firdaus mengatur langkahnya perlahan-lahan menuju ke bawah pokok cermai yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Firdaus terus melabuhkan punggungnya duduk di kerusi kayu yang berada di situ.  Firdaus termenung jauh. Pandangannya dilemparkan ke sawah padi nan hijau yang terbentang luas. Deruan angin menyapa lembut ke wajahnya. Terasa dingin. Nyaman. Mendamaikan jiwa.
            Ya, di sinilah bermula detik pertemuanan dirinya dengan Qistina. Terlalu banyak kenangan dia bersama dengan Qistina. Ingatannya,  kembali teringat kepada seseorang yang pernah menjadi sebahagian daripada hidupnya dulu. Kini, segalanya sudah musnah disebabkan kesalahannya sendiri. Firdaus melepaskan keluhan perlahan.
            Firdaus tidak menyangka hubungannya dengan Alia berakhir begitu saja. Selama ini, dia mempercayai Alia sepenuh jiwanya, ternyata dia tersilap menilai Alia. Kini, Alia juga curang di belakangnya. Mungkin inilah akibatnya di atas perbuatannya kerana mempermainkan perasaan Qistina dulu. Barulah Firdaus merasa bersalah dan tahulah dia bagaimana perasaan seseoarang apabila dirinya di permainkan. Firdaus dapat merasakannya. Pasti hati dan perasaan Qistina hancur apabila dia memutuskan tali pertunangannya dengan Qistina dulu. Fidaus rasa sungguh menyesal! Firdaus menghela nafas panjang.
            Berfikir nasib yang menimpa ke atas dirinya. Firdaus mengimbau kembali perkenalannya dengan Qistina dulu. Firdaus memerhati dari jauh, seorang gadis yang duduk di kerusi kayu di bawah pokok cermai yang berada tidak jauh dari rumahnya. Gadis itu sedang termenung jauh, pandangannya dilemparkan ke arah sawah padi yang terbentang luas di hadapannya kini. Sungguh mendamaikan. Firdaus mengatur langkahnya cuba mendekati gadis itu secara senyap.
            “Assalamualaikum, awak?” tegur Firdaus. Gadis itu berpaling masih terkejut dengan kehadiran Firdaus di situ.
            “Wa’alaikumsalam,” jawab gadis itu ringkas sambil tersipu menahan malu.
            “Awak memang suka datang kat sini, ya? Hari-hari saya nampak awak,” jelasnya lagi. Gadis itu masih diam membisu. Firdaus cuba memancing.
            “Awak pun suka datang sini jugak ke?” tanya gadis itu tiba-tiba bersuara. Firdaus tersenyum.
            “Saya suka tempat ni. Bila saya ada cuti semesta saya selalu lepak kat sini. Tempat ni sungguh menenangkan fikiran saya,” luahnya kepada gadis itu.
            “Saya tak pernah nampak awak sebelum ni?” tanya gadis itu lagi.
            “Saya jarang balik kampung ni. Saya masih belajar lagi, bila cuti aje baru saya datang sini. Awak pulak?”
            “Dah kat ni dah memang tempat saya. Boleh dikatakan hari-hari saya datang sini,” jawab Qistina lagi. “Saya mintak diri dululah, hari nak gelap ni,” kata Qistina lagi sebelum berlalu.
            “Sebelum tu, boleh saya tahu nama awak?”
            “Err… saya Qistina Alesya awak boleh panggil Qis. Awak pulak?”
            “Saya Alif Firdaus panggil Fir aje,” jawab Firdaus semula sambil memperkenalkan dirinya. Boleh saya jumpa awak lagi esok?”
            “Insya Allah. Saya mintak diri dulu,” ujarnya lagi. Qistina mengayuh basikalnya semula. Firdaus hanya memerhati kelibat Qistina yang kian hilang dari pandangannya.
            “Apa yang kau menungkan tu?” sapaan Qabil mencantas lamunan Firdaus yang sudah menerawang jauh. Firdaus berpaling.
            “Kau Qabil. Aku ingatkan siapalah tadi. Macam mana kau tahu aku kat sini?” tanya Firdaus sebaik saja Qabil melabuhkan punggungnya duduk di kerusi kayu di sebelah Firdaus.
            “Tadi, aku pergi ke rumah kau. Mak kau yang kata kau selalu melepak kat sini,” terangnya lagi.
            “Kau ada masalah ke? Tak pernah aku tengok kau macam ni? Dah macam ayam berak kapur  tau tak?” perli Qabil sambil melepaskan tawanya.
            “Kau jangan nak perli aku.”
            “Cuba kau cerita kat aku apa masalah kau. Manalah tau aku boleh tolong?”
            “Entahlah, susah aku nak cakap.”
            “Pasal Qis lagi ke?”
            “Tu pun satu hal jugak. Aku rasa menyesallah Qabil lepaskan adik kau dulu.”
            “Dahlah, kau jangan fikir lagi pasal hal tu. Qis dah kahwin. Dia dah jadi bini orang lain pun. Kau menyesal pun dah tak guna. Benda dah jadi.”
            “Tu aku tahulah. Aku dah putus dengan Alia. Dia curang kat belakang aku,” luah Firdaus dengan perasaan kecewa.
            “La… macam mana boleh jadi macam tu, pulak? Aku tak sangkalah Fir dia sanggup buat macam tu kat kau.”
            “Tu balasan aku sebab kecewakan perasaan Qis kut? Sekarang aku yang kena balik,” adu Firdaus kepada Qabil.
            “Bersabarlah Fir. Mesti ada hikmah disebaliknya nanti. Kau kena kuat harungi semuanya,” pujuk Qabil sambil tangannya memegang bahu Firdaus. Qabil cuba menyenangkan keadaan Firdaus dengan rasa simpati.
            Qabil dan Firdaus adalah sahabat baik. Mereka berdua sudah lama berkawan sejak di bangku sekolah lagi. Qabil juga tidak menyangka dalam diam-diam Firdaus menyimpan perasaan kepada adiknya Qistina.
            “Oh ya, terlupa pulak aku. Yang kau cari aku sampai ke sini tadi ada apa?” tanya Firdaus semula. Qabil terus mengetuk kepalanya sendiri. Terlupa sekejap tujuannya berjumpa dengan Firdaus tadi.
            “Aku nak mintak tolong dari kau sikit. Boleh tak kau panjat pokok kelapa untuk aku?” soalnya sambil menggarukan kepalanya.
            “Nak buat apa?”
            “Ambil daun ketupat.”
            “Kau gila ke?”
            “Kenapa pulak?”
            “Dah kau suruh aku ambik daun ketupat sedangkan hari raya lambat lagi apa. Ke kau memang buang tebiat.”
            “Masalahnya sekarang kau boleh tolong aku ke tak ni?
            “Kau tak reti panjat pokok ke? Aku rasa kau duduk lama kat kampung dari aku. Tak pasal-pasal aku yang kena pulak,” bidas Firdaus.
            “Alah… banyak songehlah kau ni Fir. Kalau aku tau, tak adalah aku mintak tolong kat kau,” katanya sambil tersengih.”
            “Yalah, mak kau nak buat apa dengan daun ketupat tu?”
            “Nak buat ketupatlah ngok!” Apa, kau ingat bila hari raya aje ke boleh buat ketupat. Hari lain tak boleh!”           
            “Siapa yang mengidam sebenarnya?”
            “Qislah, sapa lagi. Tadi dia telefon bagitahu nak balik kampung hari ni. Lepas tu siap pesan suruh mak aku  buat ketupat sikit. Mengidam katanya,” kata Qabil lagi.
            “Maksud kau, Qis dengan suami dia nak balik sini?”
            “Yalah, siapa lagi.”
            “Cepatlah, lambat bising pulak orang tua nanti.” Qabil sudah membongceng motosikalnya manakala Firdaus duduk dibelakang. Kata-kata dari Qabil sebentar tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Tak akan Qistina mengandung kut! Timbul pelbagai andaian di fikirannya.
            Puan Hashimah sedang sibuk memasak di dapur untuk hidangan tengah hari. Betapa dia gembira sekali, apabila Qistina menelefonnya malam tadi. Tak sabar nak bertemu dengan Qistina. Sungguh, dia merindui anak perempuannya yang seorang ni. Lebih-lebih lagi, apabila Qistina sendiri meminta Puan Hashimah membuat ketupat Katanya, teringin nak makan. Terpaksalah Puan Hashimah menyuruh Qabil dan Firdaus mengambil daun ketupat. Puan Hashimah terkocoh-kocah berlari-lari anak apabila kedengaran enjin kereta memasuki kawasan rumahnya. Setelah memakirkan keretanya, Hisyam dan Qistina disambut oleh Puan Hashimah sendirian.
            “Umi, mana yang lain? Senyap aje rumah ni?” tegur Qistina apabila sudah berada di dalam rumahnya.
            “Abah kamu pergi ke masjid dengan adik. Along pulak, entahlah umi pun tak tau ke mana dia merayap. Pagi tadi, suruh dia anyam daun ketupat, lepas tu aje terus hilang. Dia tu memang tak lekat kat rumah Qis. Tahu ajelah perangai along kamu tu,” adu Puan Hashimah.
            “Syam duduk dulu, ya. Umi nak pergi hidangkan makanan. Kejap lagi kita boleh makan sama-sama,” pelawa Puan Hashimah. Nampaknya, Hisyam masih segan dengan suasana di kampung Qistina.
            “Kalau abang nak berehat dulu, marilah Qis tunjukkan bilik.” Hisyam terus mengikuti langkah Qistina dibelakang. Di dalam bilik, Hisyam terus merebahkan diri di atas katil. Mungkin letih memandu tadi kot!
            “Abang, baring dulu. Qis nak tolong umi kat daput kejap. Nanti, Qis panggil abang,” kata Qistina lagi. Qistina terus berlalu menuju ke dapur meninggalkan Hisyam sendirian di dalam bilik.
            “Umi, ada buat ketupat ke?” tanya Qistina sebaik saja sampai di dapur.
            “Adalah sikit. Qis mengandung ke?” tanya Puan Hashimah lagi.
            “Hish! Mana adalah umi. Qis teringin nak makan aje. Tak salah, kan.”
            “Yalah tu. Qis boleh tolong hantarkan ketupat dan rendang ni ke rumah Mak Jah tak?”
            “Kenapa pulak umi?”
            “Tadi, Fir yang tolong ambilkan daun ketupat tu. Dia cakap kalau dah siap masak nanti dia nak sikit. Tu yang umi nak mintak Qis tolong hantarkan.”
            “Umi, suruhlah adik tak pun along, tu!” Qis tak naklah.”
            “Pergilah kejap hantar, kan Qis. Tadi dia dah susah-susah tolong ambilkan daun ketupat ni tau. Kalau nak tunggu yang lain balik lambat lagilah. Lapar pulak budak tu nanti,” Puan Hashimah mengomel sendirian.
            “Yalah, yalah,” jawab Qistina ringkas. Qistina terus mengambil bekas yang sudah dipesan uminya tadi. Qistina mengambil basikalnya di bawah rumah kemudian meletakkan bekas didalam bakul yang berada di basikalnya itu. Qistina mengayuh perlahan-lahan basikalnya menuju ke rumah Mak Jah.
            “Assalamualaikum Mak Jah,” laung Qistina apabila sudah sampai di hadapan rumah Mak Cik Azizah yang di panggil Mak Jah.
            “Fir, cuba tengok sapa kat luar tu kejap!” laung Mak Jah kepada anaknya Firdaus yang sedang khusyuk menonton TV.
            “Wa’alaikumsalam,” ucap Firdaus. Terkejut bukan kepalang Firdaus apabila Qistina yang datang ke rumahnya.
            “Errr… umi suruh hantarkan ketupat dengan rendang ni kat Fir,” kata Qistina sambil tangannya menghulurkan bekas kepada Firdaus yang masih tercegat memandang Qistina. Qistina rasa tak selesa apabila mata Firdaus sedari tadi asyik merenungnya.
            “La… Qis rupanya. Mak Jah ingatkan siapa tadi.
            “Umi mintak Qis bagi makanan kat Mak Jah tadi. Tunjuknya ke arah bekas yang telah Firdaus pegang.
            “Bila Qis sampai?” tanya Mak Jah.
            “Baru aje Mak Jah. Kalau macam tu Qis balik dululah,” kata Qistina sebelum berlalu meninggalkan kawasan rumah Firdaus. Dari jauh, Firdaus memandang kelibat Qistina yang semakin hilang dari pandangannya. Dia terlalu merindui Qistina.
            “Fir, sudahlah tu. Bini orang tu tak baik pandang macam tu,” kata Mak Jah kepada anaknya Firdaus. Firdaus berlalu masuk ke dalam rumahnya dengan perasaan yang hampa dan kecewa. Mak Jah hanya menggelengkan kepalanya saja apabila melihat wajah kecewa anaknya itu.
            Qistina meluru masuk ke dalam rumahnya. Dia terus merebahkan diri ke dalam biliknya. Nasib baik kelibat Hisyam tiada di situ. Hatinya berdebar-debar apabila bertemu dengan Firdaus tadi. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Firdaus. Lebih-lebih lagi semasa Firdaus merenung wajahnya. Qistina tidak dapat menahan renungan tajam yang diberikan oleh Firdaus. Sehingga kini, dia masih tidak dapat melupakan Firdaus. Qistina mengeluh. Sepatutnya dia memberikan peluang kepada Hisyam yang sudah bergelar suaminya kini, bukannya Firdaus. Dia harus melupakan Firdaus. Nekadnya!
            “Qis, kenapa ni?” tegur Hisyam.
            “Eh… abang. Tak ada apa-apa. Qis okey aje,” jawabnya ringkas. Hisyam hairan dengan sikap Qistina sebentar tadi. Sedari tadi, dia memandang Qistina seperti ada sesuatu yang disembunyikan tanpa pengetahuannya.
            “Mari, umi ajak makan. Semua dah tunggu Qis tu,” kata Hisyam. Qistina terus membuntuti langkah Hisyam dari belakang. Semua ahli keluarga turut berada di situ sedang menunggu kehadirannya saja. Setelah membaca doa, mereka sekeluarga menikmati hidangan makan tengah hari itu dengan penuh berselera sekali. Qistina hanya diam membisu.
            Hisyam melemparkan pandangan ke arah susuk tubuh Qistina yang sudah lena di atas katil. Sejak makan tengah hari tadi, Qistina tidak banyak bercakap dengannya.  Timbul kemusykilan terhadap Qistina. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiran Qistina ketika itu. Kalau tidak, kenapa Qistina tiba-tiba saja berubah. Hisyam cuba menarik selimut untuk menutupi tubuhnya. Kesejukan malam itu terasa hingga sampai ke tulang hitamnya. Akhirnya, dia terlena sehingga ke pagi.
            Bunyi laungan azan subuh menganggu tidurnya. Qistina terjaga dan terus membuka matanya. Dia  melihat jam yang tergantung di dinding biliknya. Sudah berginjak ke pukul 6.00 pagi. Segera dia bangun dan mengambil wuduk. Sebelum itu dia sempat mengejutkan Hisyam yang masih diulit lena. Kesian Hisyam kesejukkan. Selepas menunaikan solat subuh, Qistina bangun menuju ke dapur membantu uminya menyediakan sarapan manakala Hisyam menyambung tidurnya semula.
            “Selamat pagi umi,” ucap Qistina apabila ternampak kelibat uminya berada di dapur.
            “Awalnya Qis bangun. Dah solat? Syam dah bangun?” tanya Puan Hashimah.
            “Dah solat dengan abang tadi. Dia tidur balik.”
            “La… kesian menantu umi.”
            “Umi, nak buat sarapan apa pagi ni?”
            “Kita goreng mihun ajejalah.”
            “Okey, biar Qis yang masak.” Qistina menyediakan bahan-bahan yang perlu mengoreng mihun. Setelah siap menyediakan sarapan pagi dan menghidangkannya di atas meja makan Qistina meminta diri untuk masuk ke dalam biliknya semula untuk membersihkan diri. Kemudian, dia akan mengejutkan Hisyam untuk bersarapan. Hisyam bingkas bangun apabila dikejutkan oleh Qistina. Dia mengosok matanya mungkin masih mengantuk barangkali.
            “Umi, Qis nak keluar ambil angin kejap ya. Nanti Syam keluar umi suruh dia sarapan dulu. Tak payah tunggu Qis,” beritahu Qistina sebelum dia berlalu keluar dari rumah itu.
            “Yalah, Qis nak pergi kat bawah pokok cermai tu ke?
            “Haah, kejap aje umi. Qis dah lama tak pergi sana.” Puan Hashimah hanya memerhati Qistina dari jauh. Dia menggelengkan kepalanya saja.
            Qistina menyandarkan basikalnya di tepi pokok cermai. Kemudian, dia melabuhkan punggungnya duduk di kerusi kayu yang berada di situ. Di sinilah terpahat segala kenangan bersama Firdaus dulu. Kini, semuanya sudah hancur berderai. Tak mungkin, kembali lagi. Sepatutnya Qistina memberi peluang kepada dirinya dan juga Hisyam bukannya Firdaus. Dia harus melupakan semua kenangannya bersama dengan Firdaus. Hisyam adalah suaminya yang sah dan berhak ke atas dirinya. Qistina tidak mahu melukai hati dan perasaan Hisyam terhadapnya.
            Firdaus hanya memerhati Qistina dari jauh. Dia tahu Qistina pasti akan meluangkan masa di tempat ini. Oleh sebab itu, pagi-pagi lagi dia sudah menunggu kedatangan Qistina. Firdaus cuba mendekati Qistina. Dia mengatur langkahnya perlahan-lahan tidak mahu Qistina menyedari kehadirannya di situ.
            “Qis,” panggil Firdaus. Qistina pantas menoleh melihat empunya suara yang memanggil namanya tadi.
            “Fir…” jelas Qistina terkejut dengan kehadiran Firdaus di situ.
            “Maafkan Fir, kalau menganggu Qis. Qis sihat?”
            “Qis sihat macam yang Fir lihat sekarang ni. Fir pulak?”
            “Fir tak sihat. Fir rindukan Qis,” Qistina terkejut dengan pengakuan yang keluar dari bibir Firdaus. Sepatutnya Firdaus tidak berhak berkata begitu kepadanya.
            “Apa yang Fir merepek ni?” katanya dengan nada yang tinggi.
            “Fir, tahu Qis tak bahagia dengan kehidupan Qis sekarang? Fir nak kita berbaik semula,” ucapnya terus-terang.
            “Fir dah gila agaknya. Qis masih isteri orang!”
            “Fir tak gila. Fir masih sayangkan Qis. Fir menyesal putuskan hubungan kita dulu,” katanya separuh tak sedar.
            “Sudahlah. Qis nak balik. Lupakan Qis. Qis bukan milik Fir lagi!” ucapnya dengan tegas.
            “Fir, akan pastikan Qis milik Fir suatu hari nanti,” jeritnya kuat kepada Qistina. Qistina geram dengan tindakan berani yang diucapkan oleh Firdaus tadi. Tidak mungkin, Firdaus akan merampasnya daripada Hisyam.
           








Isnin, 11 Jun 2012

Aku Juga Mencintaimu-Bab 20


LAUNGAN azan subuh berkumandang sayup-sayup di pendengaran Qistina. Qistina terpisat-pisat seperti orang kebingungan. Matanya masih terpejam, terasa malas pula untuk bangun. Tiba-tiba terasa satu ciuman melekat pada tengkuk sebelum merayap di bahu. Qistina kegelian.
            “Terima kasih sayang,” ucap Hisyam di tepi telinga Qistina. Semerta muka Qistina kemerahan menahan malu. Peristiwa semalam kembali terlayar di ruang matanya. Qistina tersenyum melihat Hisyam yang berdiri di hadapannya kini. Mahu saja di bersembunyi daripada melihat wajah Hisyam.
            “Hmm… bangun sayang kita solat subuh sama-sama,” Hisyam mengejutkan Qistina yang masih terbaring di atas katil. “Abang nak mandi dulu,” katanya lagi. Hisyam terus mencapai tuala di hujung katil sebelum dia bangun dan melangkah ke bilik air.
            Usai saja solat subuh, Qistina terus melipat semula sejadah dan telekung lalu di sangkutnya di penyidai semula. Kemudian, dia mengaturkan langkahnya turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Sementara Hisyam menyambung semula tidurnya. Mengantuk sangat. Maklumlah, malam tadi kerja terlebih masa sampai tidak cukup tidur dibuatnya.
            Di dapur, tangan Qistina lincah menyediakan sarapan untuk pagi itu. Pagi ini, dia teringin sangat mahu makan nasi lemak buatannya sendiri. Bukannya mengidam tetapi rasanya sudah agak lama dia tidak masak nasi lemak semenjak dia berkahwin. Baru saja bercadang hendak memasak, tetapi perutnya sudah berkeroncong menahan lapar. Dengan pantas, tangannya menyediakan bahan-bahan untuk dimasak. Apabila Qistina sedang mengacau sambal di dalam kuali, tiba-tiba ada tangan yang melingkar dipinggangnya. Terkejut Qistina apabila memandang wajah Hisyam yang rapat dengannya. Bukan tadi dia kata nak sambung tidur!
            “Bukan ke abang cakap tadi nak sambung tidur? Ni, apa pasal tangan ni asyik nak merayap aje,” Qistina terus mengetuk tangan Hisyam dengan senduk.
            “Sayang ni, abang nak bermanja dengan isteri sendiri pun tak boleh. Abang tak boleh tidur pulak. Mungkin sayang tak ada kat sebelah kut,” kata Hisyam tersengih.
            “Hish! abang ni ngada-ngadalah. Qis nak masak pun tak senang. Mentang-mentang Mak Piah tak ada, asyik nak peluk orang ajelah,” Qistina merungut dengan kerenah manja Hisyam. Memang mengada-ngada!
            “Sayang masak apa ni?” tanya Hisyam sebaik saja melepaskan pelukan dipinggang isterinya itu.
            “Nasi lemak,” jawab Qistina ringkas dan bersahaja.
            “Okey, abang nak tengok TV dekat depan. Tak nak ganggu sayang masak. Nanti dah siap masak, panggil abang ya. Abang pun dah lapar sangat ni,” beritahu Hisyam sambil tangan memegang perutya. Macam mana dia nak lena, kalau perutnya asyik berirama saja.
           
FIRDAUS jauh termenung di pejabatnya. Sudah dua minggu dia bercuti dan berehat di kampungnya. Dia bersyukur kerana keluarganya masih dapat menerima kehadirannya di situ. Semasa dia berada di kampung, dia masih tidak dapat melupakan Qistina. Dia juga tidak menyangka akan bertemu dengan Qistina tempoh hari. Kerana itu juga, dia hampir bertumbuk dengan Hisyam. Nasib baik sempat di selamatkan oleh kehadiran Qistina di rumahnya. Kalau tidak, tak tahulah bagaimana dengan nasibnya hari itu. Qistina yang dilihatnya sudah jauh berubah. Qistina bukan Qistina yang pernah dia kenal dulu. Mungkin betul kata Qistina, bahawa dia sudah mengecapi kebahagiannya dengan Hisyam. Tetapi, Firdaus cuba sedaya upaya untuk melupakan Qistina, ternyata dia masih mencintai bekas tunangnya itu. Firdaus mengeluh. Walaupun jasadnya di pejabat, tetapi fikirannya melayang entah ke mana. Susah untuk di tafsirkan.
            Saiful hanya menggelengkan kepalanya saja melihat Firdaus dari biliknya. Sudah banyak kali dia mengetuk pintu bilik Firdaus, tetapi Firdaus langsung tidak sedar kehadirannya di situ. Tanpa membuang masa, Saiful terus melangkah masuk ke dalam bilik Firdaus. Dia hanya melihat jasad kawannya itu di sofa yang berada di dalam bilik itu. Sudah agak lama dia menjadi pemerhati Firdaus. Ingin saja dia ketawa melihat wajah Firdaus. Saiful malas menunggu lama, dia bangun dari sofa itu dan mengatur langkah mendekati Firdaus.
            “Fir!” jerit Saiful sambil tangannya mengetuk sisi meja. Firdaus terus tersentap dengan bunyian itu. Dia terkejut melihat Saiful berdiri di hadapannya.
            “Kau panggil aku ke? Dah lama kau berdiri kat sini?” tanyanya sebaik saja memandang wajah Saiful. Saiful tersenyum melihat aksi gelabah kawannya itu.
            “Yalah, lama jugak aku duduk kat sini. Kau tu kenapa? Setahu akulah orang balik dari bercuti mesti wajah ceria, ni aku tengok muka kau monyok aje,” kata Saiful tersengih.
            “Entahlah, susah aku nak ceritakan pada kau,” balasnya sambil mengeluh.
            “Cuba kau cerita apa masalah kau lagi.”
            “Masa aku cuti hari tu, aku jumpa Qis dekat kampung. Tak sangka dia pun balik sana jugak. Aku masih tak boleh lupakan dia lagilah Epul,” luah Firdaus hampa.
            “Aku dah agak dah. Tapi, kau kena lupakan dia jugak Fir. Dia dah jadi isteri orang. Tak ada gunanya kau sayangkan dia lagi. Banyakkan berdoa kepada Tuhan. Aku yakin, suatu hari nanti pasti kau dipertemukan jodoh yang sesuai untuk kau,” nasihat Saiful dengan panjang lebarnya. Dia tidak mahu Firdaus terus mengingati Qistina lagi. Memang sudah terlulis jodohnya dengan Qistina sudah berakhir. Dia harus terima jika itu sudah terlulis untuknya. Sebagai seorang kawan, Saiful berdoa kepada Tuhan semoga kawannya itu diberkati olehnya dan meneruskan hidupnya. Dia tidak mahu Firdaus terus tenggelam melayani perasaannya terhadap Qistina.

HISYAM tersenyum sendirian dipejabatnya, dia tidak menyangka bahawa Qistina telah memberikannya hadiah ulangtahun kelahirannya dengan penuh bermakna di dalam kamus hidupnya itu. Dia merasa sungguh gembira dengan layanan diberikan oleh Qistina untuknya. Ternyata, Qistina sudah menerimanya dirinya dengan ikhlas sebagai seorang suami. Walaupun jasadnya berada dipejabat tetapi fikirannya melayang entah ke mana. Masih terbayang senyuman dan layanan Qistina kepadanya. Terlalu instimewa dan berharga. Dia terlupa urusan kerjanya sementara. Kedengaran bunyi telefon bimbitnya berbunyi, Hisyam tersentak seketika. Barangkali terkejut dengan bunyi bingit telefon bimbitnya itu. Hisyam terus melihat nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya.
            “Assalamualaikum Syam, kau tahu tak sudah pukul berapa ni?” tegur Syafiq ditalian. Belum sempat Hisyam menjawab salam darinya. Terus di ajukan soalan.
            “Wa’alaikumsalam, kau ni Fiq bagilah aku jawab salam dulu. Main terjah aje,” marah Hisyam.
            “Yalah. Kau tu janji nak keluar makan dengan aku. Sekarang pukul berapa kau nak datanglah. Perut aku dah berbunyi ni tunggu kau. Cepatlah sikit Syam,” adu Syafiq lagi. Hisyam terus menepuk dahinya. Dia terlupa janjinya keluar makan tengah hari dengan Syafiq. Semua ini gara-gara dia termenungkan Qistina. Aduh! Macam-manalah dia boleh terlupa dengan janjinya itu.
            “Ya Allah! Aku lupalah Fiq. Aku mintak maaf. Kau tunggu aku, kejap lagi aku sampai. Kau order makanan dulu.” Hisyam terus mencapai telefon bimbit dan kunci keretanya dan dia terus bergerak. Pasti Syafiq membebel kepadanya nanti. 
            Lebih kurang 20 minit Syafiq nampak kelibat Hisyam muncul di Coffee House. Hisyam tersengih memandang wajah Syafiq yang sudah berkerut.
            “Aku mintak maaf, memang aku terlupa tadi. Nasib baik kau telefon ingatkan tadi. Kalau tak, mesti kau dah mengamuk,” kata Hisyam sebaik saja tiba di Coffee House tempat mereka berdua berjumpa.
            “Kau memang, selalu macam ni. Nasib baik, aku ni baik hati. Kalau tak memang kau dah kena maki hamun dengan aku tahu tak,” marah Syafiq.
            “Kau dah pesan makan tak?”
            “Sudah, untuk kau sekali.”
            “Ya ke? Thanks bro. Tak apa, biar aku yang belanja kau makan. Hari ni, kau makan puas-puas tau.”
            “Kau biar betul? Tempat ni mahal. Kau jangan menyesal pula kena bayar banyak,” beritahu Syafiq lagi.
            “Untuk kau, apa salahnya. Sekali-sekala, bukannya hari-hari pun. Janji kau dah tak marah dekat aku lagi.”
            “Okey, aku tak marahlah. Oh ya, apa hal kau ajak aku lunch?”
            “Aku ada hal nak cerita dekat kau ni.”
            “Apa dia?”
            “Sebenarnya, Qis dah terima aku sebagai suami dia. Aku rasa bahagia sangat.”
          “Biar betul? Jadi, kau dengan dia dah…” Kata-kata Syafiq hanya berhenti di situ saja apabila Hisyam menganggukkan. Fahamlah maksudnya. Syafiq ketawa.
            “Kau apa hal ketawa?”
            “Baguslah kalau macam tu. Sudah ada perkembangan hubungan kau dengan dia. Aku sebagai kawan, turut tumpang gembira. Tak lama lagi, manalah tahu bakal timbang anak pulak,” beritahu Syafiq.
            “InsyaAllah, aku harap pun macam tu jugak,” doanya lagi. Perbualan mereka berdua terhenti apabila seorang pelayan menghantar pesanan makanan mereka berdua. Selepas itu, mereka berdua menikmati hidangan itu dengan penuh berselera sekali.
            Pulang saja dari tempat kerja, Qistina terus menunaikan solat asar. Kemudian, dia turun ke tingkat bawah dan segera pergi ke dapur. Qistina melihat kelibat Mak Piah sedang menyediakan juadah untuk makan malam. Qistina turut membantu Mak Piah menyediakan hidangan makan malam mereka. Qistina menyanyi-nyanyi kecil di dapur. Mak Piah turut terhibur apabila Qistina menyanyikan lagu kegemarannya. Mak Piah hairan juga, melihat Qistina yang terlalu gembira seperti ada sesuatu yang berlaku kepadanya. Tapi, dibiarkan saja Qistina berperangai sebegitu. Mak Piah tidak mahu bertanya, dia suka melihat Qistina berkeadaan begitu.
            Qistina berehat di bilik apabila selesai menyediakan hidangan makan malam bersama Mak Piah sebentar tadi. Qistina masih menanti kepulangan Hisyam di dalam biliknya. Jam di dinding sudah berganjak ke pukul 7.15 malam. Hisyam masih belum pulang lagi. Seperti tiada tanda-tanda Hisyam akan balik sekarang ini, Qistina mengambil peluang ini untuk membersihkan dirinya. Dicapainya, tuala dipenyidai dan terus masuk ke dalam bilik air. Barulah dirinya rasa segar sikit apabila terkena percikan air. 

            Lebih kurang 20 minit berada di dalam bilik air, Qistina keluar dengan hanya berkemban dengan tuala yang membaluti tubuhnya. Terkejutnya apabila melihat Hisyam yang sudah berada di hadapannya dan sedang memandangnya sambil tersenyum. Qistina terus menyambut kepulangan suaminya itu. Hisyam memeluk tubuh Qistina yang masih basah lagi.
            “Wanginya isteri abang ni,” kata Hisyam sambil mencium dahi Qistina.
            “Dah lama ke abang balik?” tanya Qistina semula.
            “Baru aje. Geram pulak tengok isteri abang yang seksi ni,” usik Hisyam sambil bibirnya didekatkan dibibir isterinya itu.
            “Hmm, abang pergi mandi dulu. Bau masamlah. Kejap lagi kita solat maghrib sama-sama. Qis tunggu abang.” Hisyam terus melepaskan pelukannya dan terus bergegas masuk ke bilik air. Qistina hanya menggelengkan kepalanya melihat kerenah Hisyam yang nakal mengusiknya.
            Hisyam turut gembira dengan sikap manja dan layanan Qistina terhadapnya. Ini yang membuatkan Hisyam bertambah sayang terhadapnya. Hisyam turut memanjatkan syukur kepada Tuhan kerana berkat doa dan kesabarannya melayani kerenah Qistina selama ini dimakbulkan. Qistina sudah mula menyayangi dan menerima dirinya seadanya. 
         Kini, mereka berdua seperti pasangan yang baru bercinta. Selalunya, orang bercinta dahulu, baru berkahwin tetapi Hisyam dan Qistina, berkahwin dahulu baru bercinta. Benarlah kata orang, bercinta selepas berkahwin lebih manis dari bercinta sebelum berkahwin.


Aku Juga Mencintamu-Bab 17


QISTINA mengayuh basikalnya sekuat hati untuk sampai ke rumahnya. Setelah meletakkan basikal di bawah rumah semula, dia terus berlari-lari anak masuk ke dalam rumah. Qistina terus menyebamkan dirinya di atas katil. Qistina menangis teresak-esak. Pertemuan dengan Firdaus sebentar tadi, menimbulkan prasangka yang buruk bakal menimpanya. Tidak mungkin Firdaus akan merampasnya kembali. Tidak mungkin! Jauh di sudut hatinya ingin berbaik semula dengan Firdaus. Qistina tidak mahu menyakiti hari dan perasaan Hisyam terhadapnya. Hisyam juga telah berjanji tidak akan mempersia-siakan Qistina. Qistina bingung!
            Hisyam hanya memerhati gelagat Qistina sedari tadi. Timbul rasa ingin tahu, apabila melihat wajah Qistina sebentar tadi. Apa yang sudah berlaku? Hisyam cuba mendekati Qistina secara dekat.
            “Qis, kenapa ni?” tanya Hisyam risau.
            “Tak ada apa-apa,” jawabnya ringkas dan perlahan.
            “Kalau tak ada apa-apa, kenapa Qis menangis?”
            “Mata Qis masuk habuk. Abang jangan risau ek… Qis okey,” kata Qistina lagi sebelum berlalu meninggalkan Hisyam sendirian di dalam bilik. Hisyam pasti, mesti ada sesuatu yang menghantui fikiran isterinya itu. Kalau tidak, kenapa mata Qistina bengkak. Hisyam mesti cari puncanya! Hisyam meluru keluar daripada biliknya. Segera dia mendapatkan uminya yang kini berada di dapur.
            “Umi, tadi Qis pergi mana?” tanyanya sebaik saja berada di dapur.
            “Kalau tak silap umi, Qis selalu pergi kat pokok cermai kat rumah Fir,” beritahu Puan Hashimah. Hisyam ternyata terkejut apabila nama Fidaus di sebut.
            “Kenapa Syam tanya umi macam tu? Ada apa-apa yang jadi kat Qis ke?” tanya Puan Hashimah bertalu-talu. Risau dengan anaknya yang seorang itu.
            “Tak ada apa-apalah umi. Syam nak keluar kejap.” Puan Hashimah mengangguk-anggukkan. Hisyam melihat Qausar sedang membersihkan motosikal milik ayahnya di bawah rumah. Segera dia pergi ke arah Qausar.
            “Adik,  abang nak tanya sikit. Adik tahu tak kat tempat yang selalu angah pergi?”
            “Tahu,” jawab Qausar.
            “Boleh bawak abang ke sana?” Qausar terus mengangguk. Kita naik motor abah. Biar abang yang bawa, adik tunjukkan aje jalannya.” Hisyam dan Qausar membonceng motosikal milik Haji Ramli untuk pergi ke tempat itu. Apabila sampai di tempat yang ingin dituju, Hisyam memberhentikan enjin motosikalnya dan memakirnya di situ.
            “Abang kat sinilah tempatnya,” beritahu Qausar apabila sudah sampai di tempat itu. Hisyam memerhati disekeliling kawasan itu. Matanya terpukau melihat keindahan yang terpamir di situ. Patutlah Qistina selalu meluangkan masanya di sini.
            “Adik, tu rumah sapa?” soalnya semula sebaik saja matanya ternampak satu rumah yang tidak jauh dari tempat itu.
            “Oh… Tu rumah abang Fir. Dah seminggu dia ada kat sini. Abang nak jumpa dia ke? Adik boleh bawakan,” pelawanya lagi. Qausar berterus-terang. Air muka Hisyam tiba-tiba saja berubah apabila terdengar penjelasan Qausar sebentar tadi. Hisyam mengikuti langkah Qausar yang sudah berada di hadapan rumah Firdaus.
            “Assalamualaikum,” ucap Qausar memberi salam.
            “Wa’alaikumsalam,” jawab Firdaus yang berada di dalam rumah. Segera menjenguk kepala di pintu rumahnya. Alangkah terkejutnya apabila melihat tetamu yang datang bertandang ke rumahnya. Masing-masing terkedu memandang sesama mereka.
            “Abang Fir, ni Qausar kenalkan abang Syam suami Kak Qis,” Mereka berjabat tangan. Senyuman terukir di wajah masing-masing.
            “Mak Jah ada tak abang Fir?” tanya Qausar semula.
            “Dia ada kat dalam.”
            “Adik nak jumpa dengan Mak Jah kejap. Abang berdua berboraklah dulu,” sambungnya lagi. Selepas itu, Qausar terus masuk ke dalam rumah menuju ke dapur mencari kelibat Mak Jah. Sementara di luar, Hisyam mengambil peluang ini untuk berterus-terang dengan Firdaus mengenai Qistina.
            “Aku nak tanya kau sikit. Tadi kau ada jumpa dengan Qis ke?” ajunya dengan nada yang tinggi.
            “Kenapa kau nak tahu.”
            “Sebab aku  ni suami dia! Aku ada hak ke atas dirinya,” ujar Hisyam marah.
            “Hak? Apa kau ingat aku tak tahu, Qis masih tak boleh terimakan kau lagi, kan. Sebab dia masih sayangkan aku. Kau yang jadi penghalang aku nak berbaik semula dengan dia.”
            “Tu salah kau sendiri. Kau yang cari masalah. Kau ada perempuan lain!” Kau ingat ni Fir, aku tak akan biarkan kau rampas Qis dari aku. Kau dah banyak menyeksa diri dia. Dia dah tak sayangkan kau. Ingat tu!” teriaknya. Hisyam berdengus marah. Dia mahu mempertahankan haknya dengan Qistina. Firdaus tidak berhak berbuat begitu kepadanya.
            “Kurang ajar!” belum sempat tangan Firdaus menyambar muka Hisyam, Qistina sudah berada di situ.
            “Fir!” jerit Qsitina sambil memanggil namanya. “Jangan sesekali buat macam tu pada Syam. Dia suami Qis,” ugutnya kepada Firdaus. Firdaus melepaskan cengkamannya. Tidak jadi menumbuk Hisyam. “Fir, tolong jangan ganggu hidup Qis dan Syam lagi,” katanya lagi. Firdaus terpinga-pinga. Dia meraup muka dengan kedua-dua tanganya. Dia tidak menyangka Qistina sanggup mempertahankan Hisyam daripadanya. Firdaus tersalah menilai Qistina. Ternyata, Qistina sudah tidak menyayangi dirinya lagi. Firdaus menyesal!
            Qistina dan Hisyam terkocoh-kocoh masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke bilik mereka. Qistina terus melabuhkan punggung duduk di tepi katil. Amarahnya membuak-buak dengan kerenah Hisyam dan Firdaus sebentar tadi. Mujurlah, dia tiba awal di rumah Mak Jah kalau tidak, tak tahulah apa yang terjadi!
            “Abang ni buat malu Qis aje. Nasib baik umi bagitahu Qis tadi. Kalau Qis tak datang tadi, maunya abang dah bertumbuk dengan Fir tu,” marahnya kepada Hisyam sebaik saja sampai di rumahnya.
            “Salah ke kalau abang nak pertahankan isteri abang?”
            “Tak salah. Tapi, tak payahlah sampai nak bertumbuk-tumbuk tadi.”
            “Qis, tak bagitahu abang yang Qis jumpa dengan Fir tadi.”
            “Okey, Qis mintak maaf. Qis tak sengaja terjumpa dia dekat situ. Qis tak ada niat nak berbohong dengan abang. Qis cuma tak mahu abang risaukan Qis,” luah Qistina. Dia tidak mahu memanjangkan cerita lagi. Biarlah dia berterus-terang saja. Tu lebih baik!
            “Abang pun nak minta maaf. Abang tak sepatutnya mengesyaki Qis yang bukan-bukan. Abang cemburu bila dapat tahu Qis jumpa dengan Fir. Maafkan abang,” Hisyam berterus-terang. Timbul rasa menyesal di wajahnya. Dia tidak patut bertindak melulu tanpa tahu keadaan yang sebenarnya.
            “Abang, jangan risau. Qis tak akan berbaik semula dengan Fir. Qis mahu abang percayakan Qis. Abang yang berhak ke atas diri Qis, bukannya dia.” Lega rasanya apabila Qistina berkata begitu kepadanya. Dia tidak harus mempercayai kata-kata Firdaus. Hisyam terus merangkul badan Qistina dan memeluknya yang berdiri di hadapannya kini.
            “Abang sayangkan Qis,” ucapnya perlahan sambil merangkul tubuh Qistina ke pangkuannya dan memeluknya. Qistina membalas pelukan Hisyam. Terasa dirinya dihargai oleh Hisyam. Lantas Hisyam terus mencium dahi Qistina. Qistina membiarkan saja sehingga bibir mereka bersentuhan. Qistina seperti merelakannya. Dia rasa ada ketenangan di situ, seolah-olah Hisyam ingin meredakan keresahannya dengan caranya tersendiri. Cara seorang lelaki dan suami...
            Bunyi ketukan dari luar bilik, membuatkan Qistina dan Hisyam tersentak. Masing-masing malu dengan keterlanjuan mereka sendiri.
            “Qis, Syam, buka pintu ni,” ujar Puan Hashimah dari luar. Terpancul muka Qistina dan Hisyam. Puan Hashimah pelik dengan anak dan menantunya itu. Apa yang sebenarnya terjadi atau dia sendiri yang tidak kena dengan waktunya. Musykil! Puan Hashimah menggarukan kepalanya yang tidak gatal.
            “Umi, kenapa?” tanya Qistina sebaik saja dia membuka pintu biliknya.
            “Err… tak ada apa-apalah. Umi ada kerja kat dapur ni.” Puan Hashimah terus melangkah menuju ke dapur. Membatalkan niatnya saja untuk bertanya kepada anak dan menantunya itu.
            “Fuh! Nasib baik umi ke syak apa-apa tadi,” Qistina rasa lega sambil mengurut dadanya. Qistina memandang ke arah Hisyam yang masih merenungnya sedari tadi. Naik kecut perutnya! “Qis keluar dulu. Nak tolong umi kat dapur,” sambungnya lagi. Qistina mengambil keputusan untuk keluar daripada bilik itu. Dia tidak sanggup berdepan dengan Hisyam  kini semua  itu disebabkan keterlanjuran mereka sendiri.
            “Umi, ada apa-apa yang boleh Qis tolong?” soalnya sebaik saja berada di dapur apabila uminya sedang membuat sesuatu.
            “Emm… tak payahlah Qis. Dah nak siap ni. Umi tengah buat lepat labu sikit. Abah ambil dari kebunnya tadi,” jawab Puan Hashimah pula.
            “Sedapnya umi. Dah lama Qis tak makan lepat labu yang umi buat ni,” kata Qistina teruja. Rasa tidak sabar nak makan.
            “Syam mana? Umi tak nampak pun dari tadi?” tanya Puan Hashimah baru perasaan apabila tidak nampak kelibat Hisyam di situ.
            “Dia ada kat dalam bilik. Tidur agaknya.”
            “Umi nak tanya sikit ni. Apasal bising-bising kat dalam bilik tadi?”
            “Ohh… tak adalah umi. Abang tu cari pasal dengan Fir. Nyaris-nyaris nak bertumbuk, nasib baik Qis sempat datang, kalau tak maunya dah bergusti kut dekat sana.”
            “Laa… habis tu dia okey ke tak?”
            “Okey aje. Umi jangan risau ya.” Puan Hashimah menganggukkan kepalanya.
            Qabil terkocoh-kocoh bergegas berlari menuju ke rumah Firdaus apabila mendengar cerita daripada mulut adiknya Qausar memberitahu Firdaus dan Hisyam  bergaduh. Nyaris-nyaris bertumbuk, nasib baik keadaaan sempat dikawal oleh Qistina. Kalau tidak, maunya dah bergusti bagai! Qabil terpekik-pekik memanggil nama Firdaus sebaik saja sampai di rumah Firdaus. Firdaus segera menjengukkan kepalanya di tingkap rumahnya melihat kelibat siapa yang memanggilnya.
            “Apa hal kau cari aku ni?”
            “Aku dengar kau bergaduh dengan Syam. Apa cerita?”
            “Dia yang datang cari pasal dengan aku dulu! Anginlah aku.”
            “Kau pun sama, tak mahu mengalah. Siapa suruh? Cuba terima hakikat sikit yang Syam tu suami Qis yang sah. Kau dah tak ada hak ke atas diri Qis lagi. Jangan ganggu hidup dia lagi.”
            “Bukannya apa. Aku masih sayangkan Qislah Qabil. Aku tak boleh lupakan dia.”
            “Kau sengaja cari masalah. Bukan ke kau bercuti nak tenangkan fikiran bukannya timbulkan lagi masalah. Cukuplah Fir. Cuba lupakan Qis Fir. Aku pasti suatu hari nanti kau akan jumpa pengganti yang jauh lebih baik lagi dari Qis dan juga Alia.”
            “Harap-haraplah,” ucapnya dengan penuh pengharapan. Dia tidak sanggup lagi menghadapi semuanya ni. Aduhnya!