Senarai Kawan

Ahad, 8 April 2012

Aku Juga Mencintaimu-12


HARI yang ditunggu-tunggu pun telah tiba. Hati Qistina berdegup dengan cepat. Seperti gunung berapi yang hanya menunggu masa meletup mengeluarkan lavanya. Begitulah perasaan Qistina ketika ini. Qistina memandang kedua-belah tangannya yang sudah dipenuhi oleh inai, seperti tidak percaya bahawa dirinya yang akan berkahwin. Jika, Firdaus tidak buat hal dulu, sudah tentu sekarang ini dia pasti gembira dengan pilihannya sendiri. Tetapi, itu sekadar angan-angan kosong saja. Tidak mungkin perkara itu akan terjadi. Sebentar saja lagi dia akan hidup bersama orang lain. Pilihan keluarganya.
            Mungkin sudah tertulis Firdaus bukan jodohnya. Qistina pasrah. Kata-kata daripada Encik Kamal sebelum dia memulakan cuti masih berlegar-legar difikirannya. Betulkah jodoh yang ditentukan oleh keluarga, adalah pilihan yang paling tepat? Qistina sendiri masih keliru, apa-apa pun sekejap saja lagi dia akan menjadi isteri kepada Hisyam.
            Mampukah dia menjadi seorang isteri walaupun hakikatnya dia tidak mencintai lelaki itu? Bagaiman perasaan Hisyam nanti? Pasti Hisyam kecewa dengannya. Qistina terus meraup mukanya berkali-kali. Soffiya hanya memandang tingkah laku Qistina yang kelihatan berdebar-debar. Apalah yang sedang Qistina fikirkan sedangkan majlis akan bermula sekejap saja lagi. Majlis pernikahan bakal berlangsung pada pukul 11.00 pagi dan majlis kenduri menyusul selepas itu.
“Qis, kau okey tak ni?” tanya Soffiya apabila memerhati tingkah-laku Qistina sebentar tadi. Qistina tergamam. Terkejut dengan sergahan daripada Soffiya.
“Entahlah, aku pun tak pasti yang aku okey atau tak sekarang ni. Fiya, betul ke apa yang aku buat ni?” tanya Qistina semula.
Soffiya memandang ke arah Qistina. “Apa yang kau merepek ni? Kau tahu tak kejap lagi kau nak nikah. Jangan buat hal pulak!” sergah Soffiya semula.
“Aku tahulah. Aku takutlah Fiya,” kata Qistina jelas suaranya seperti terketar-ketar. Qistina sudah tidak keruan. Sekejap dia berdiri, sekejap dia duduk. Naik pening kepada Soffiya melihatnya!
“Cuba kau relaks, bawak mengucap banyak-banyak. Aku pasti pilihan keluarga kau tepat. Kau tak akan menyesal kahwin dengan Syam,” kata Soffiya cuba menyenangkan perasaan Qistina ketika ini. Qistina terus menganggukkan kepalanya dan selepas itu dia turut buat seperti yang disuruh Soffiya tadi. Soffiya menggenggam tangan Qistina cuba menyakin Qistina.
Tidak lama kemudian, kedengaran suara riuh-rendah di dalam rumah. Pasti wakil daripada sebelah pengantin lelaki sudah tiba barangkali. Soffiya terjenguk-jengukkan kepalanya disebalik pintu bilik Qistina yang tidak jauh daripada ruang tamu itu. Ternyata tetamu yang dimaksudkan sudah berada di situ. Soffiya melemparkan pandangannya ke susuk badan Hisyam yang sudah duduk mengadap tok kadi. Kelihatan beberapa orang lelaki di sekeliling Hisyam.
“Mana pengantin perempuannya?” tanya Tok Kadi itu sebelum memulakan upacara. “Pergi panggil keluar, dia kena tandatangan borang ni dulu,” katanya lagi. Soffiya terus memimpin tangan Qistina dan terus dibawa ke ruang tamu. Qistina melabuhkan punggungnya duduk ditempat yang telah disediakan. Hisyam sempat melirik matanya memandang ke wajah Qistina yang sudah dimekap. Terpegunnya dia apabila melihat Qistina. Begitu cantik sekali. Qistina memakai baju kurung moden yang dihiasi labuci dan sulaman yang ditempah khas oleh keluarga Hisyam kepada Qistina. Qistina tampak begitu ayu dan anggun sekali. Manakala Hisyam, mengenakan sepasang baju melayu yang sedondon dengan Qistina. Kacak. Hati Hisyam berdebar-debar menanti ucapan akad nikah sebentar saja lagi. Begitu juga dengan Qistina berdebar-debar sekejap lagi dia akan menjadi isteri kepada lelaki yang bernama Badrul Hisyam. Suasana di dalam rumah itu begitu hening sekali. Semua hadirin menunggu saat lafaz ijab dan kabul. Hisyam segera mencapai tangan jurunikah dihadapannya.
“Aku terima nikahnya, Qistina Alesya binti Haji Ramli dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai,” ucap Hisyam tenang dan lancar. 
Usai ucapan itu lancar terbit dari mulut Hisyam dan disahkan oleh saksi, dengan sekali lafaz sahaja, Qistina sah menjadi isteri kepada Hisyam. Hisyam segera menghampiri Qistina yang ayu dengan busana nikahnya, duduk di atas kusyen empuk bertatah benang emas untuk upacara membatalkan air sembahyang. Hisyam terdiam seketika saat melihat raut wajah Qistina yang sudah bercalit mekap, lain benar dengan wajah Qistina sekarang, dengan wajah yang sering dilihatnya. Kecantikan aslinya, kian terselah dengan palitan mekap. Datuk Suffian yang sedari tadi duduk disebelah Hisyam segera mencuit bahu anaknya, menyuruh jejaka itu segera menyarungkan cincin ke jari manis isterinya.
Hisyam tersedar, segera mengambil tangan kanan Qistina yang cantik dihiasi inai kemerahan, jari manis isterinya itu segera disarungkan cincin emas bertatah sebentuk permata unggu. Qistina gagai pula tangan suaminya itu lalu dikucup lembut. Sebuah kucupan hinggap ke dahi Qistina. Qistina tergamam apabila Hisyam membuat sebegitu kepada dirinya. 
Usai saja majlis akad nikah pagi itu, tengah harinya pula majlis bersanding untuk meraikan kedua-dua mempelai. Qistina dan Hisyam diapit dan bersanding. Riuh rendah suasana disekitar majlis perkahwinan itu, ada sesetengah penduduk memuji kedua-dua mempelai boleh dikatanya sama cantik dan sama padan. Upacara diteruskan lagi dengan menepung tawar, dan seterusnya makan beradap. Orang kampung turut terhibur menyaksikan gelagat Qistina dan Hisyam. Macam-macam gaya dibuat oleh Qistina dan Hisyam apabila disuruh oleh jurugambar. Sampai naik malu Qistina dan Hisyam. Lebih kurang jam 4.30 petang para tetamu beransur pulang.
Qistina sudah berada di dalam bilik sendirian, sengaja dia tidak mempelawa Hisyam masuk ke dalam bilik. Qistina mengambil peluang yang ada untuk membersihkan diri. Dicapainya tuala di penyangkut dan terus meluru masuk ke dalam bilik air. Niatnya cuma satu, dia tidak mahu menyalin pakaian apabila Hisyam berada di dalam bilik. Walaupun dirinya sudah bergelar isteri kepada Hisyam, tetapi dia masih tidak dapat menerima Hisyam sebagai suaminya. Barulah badannya merasa sedikit lega apabila terkena percikan air.
Hisyam melangkah masuk ke dalam bilik, terpegun apabila dia melihat bilik yang telah dihias dengan begitu cantik sekali. Sesuai dengan suasana malam pengantin meraikannya. Hisyam memberhentikan langkahnya apabila terdengar percikan air di dalam bilik air tersebut, pasti Qistina tengah mandi. Sementara menunggu Qistina selesai mandi, Hisyam terus merebahkan diri ke katil. Barulah dia merasa begitu selesa sekali baru kini dia dapat merehatkan dirinya sebentar. Beberapa hari ini, Hisyam sibuk menguruskan segala persiapan terakhir di rumah mertuanya dan pada minggu depan di sebelah keluarganya pula.
Hari ini malam pertamanya dengan Qistina. Dia tersenyum sendirian. Macam-manalah reaksi Qistina nanti! Apabila terdengar pintu bilik di kuak Hisyam terus meluru bangun dari katil itu semula. Matanya memandang ke arah Qistina yang sedang berkemban dengan tuala yang hampir menutup sebahagian tubuhnya. Siap menyanyi-nyanyi kecik pulak! Naluri kelakiannya berkocak apabila melihat susuk tubuh Qistina yang terdedah sedikit itu. Ternyata Qistina masih tidak sedar kehadirannya di bilik itu. Hisyam hanya memerhati gelagat Qistina sehingga Qistina menuju ke almari untuk mengambil bajunya.
“Qis,” tegur Hisyam. Qistina tergamam apabila ditegur oleh Hisyam. Cepat-cepat Qistina mencapai baju tidur dan terus menyarungnya. Bila masa pula dia masuk dalam bilik ni! Menggelabah Qistina. Tak akan dia, dah nampak aku berkemban tadi kut! Malunya aku! Bisik hatinya.
“Err… dah lama ke awak masuk bilik ni? tanya Qistina minta kepastikan.
“Hmm… lamalah jugak. Sempat jugaklah tengok free show tadi. Boleh tahan jugak ya Qis nyanyi,” jawab Hisyam sambil tersenyum. Matanya masih memandang Qistina yang sudah kemerahan. Malu dengan kelakuannya sebentar tadi. “Tak kan Qis malu dengan abang kut? Kitakan dah jadi suami isteri jadi tak ada timbul perasaan malu lagi okey,” katanya lagi. Qistina terus menganggukkan kepalanya. Perasaan malunya masih berbekas lagi. “Okeylah abang nak mandi, lepas tu kita solat maghrib berjemaah bersama-sama. Qis tunggu abang tau.”
Selepas itu Hisyam terus menyambar tuala ditangan Qistina dan terus masuk ke dalam bilik air. Sempat lagi Hisyam mengeyit mata kepada Qistina. Selesai saja menunaikan solat maghrib, Hisyam terus memanggil Qistina duduk disebelahnya, ada sesuatu yang ingin dikatanya. Qistina akur dengan arahan daripada suaminya itu. Hisyam memegang tangan Qistina dan terus menggenggamnya.
“Abang tahu Qis belum bersedia lagi untuk menempuh alam rumah tangga kita berdua. Tapi hakikatnya kita dah jadi suami isteri yang sah. Mulai malam ni dan seterusnya, abang tak mahu minta apa-apa dari Qis. Abang tak mahu paksa Qis tunaikan tanggungjawab sebagai seorang isteri. Cuma, abang mohon Qis jaga tingkah laku Qis semasa diluar dan hormati abang sebagai seorang suami dan abang mohon agar Qis boleh panggil abang dengan panggilan ‘abang’ bukan saya atau awak lagi. Ingat tu!” beritahu Hisyam.
“Qis, janji aaa… abang. Qis nak ucapkan terima kasih kerana sudi memperisterikan Qis,” luah Qistina semula. Sayu hati Hisyam mendengarnya.
“Mari, kita keluar. Abang dah laparlah. Tadi dapat makan sikit aje,” rengek Hisyam. Qistina ketawa apabila Hisyam berbuat begitu. Macam budak kecik! Qistina dan Hisyam sama-sama mengatur langkahnya menuju ke dapur.
“Abang duduk sini dulu,” Qistina terus menarik kerusi dan mengarah Hisyam duduk dikerusi tersebut. Hisyam akur. Terus saja dia melabuhkan punggungnya di situ. “Qis, nak panaskan lauk kejap lepas tu baru Qis hidangkan makanan. Abang boleh tunggu kejap tak?” tanya Qistina lagi. Hisyam tidak menyangka Qistina sudi melayan karenahnya. Tercuit pintu hatinya dengan layanan mesra daripada isterinya itu. Setelah beberapa minit memanaskan makanan, Qistina terus menghidangkannya. Dicedoknya nasi ke dalam pinggan suaminya. Hisyam terus menyambutnya. Kedengaran suara umi memanggilnya.
“Qis,” panggil Puan Hashimah sudah berada di dapur.
“Umi, tak nak makan ke?” tanya Qistina kepada Puan Hashimah lagi.
“Tak apalah, umi kenyang lagi. Tak payah risaukan umi, dah pergi layan suami kamu tu,” arah Puan Hashimah semula. Qistina menganggukkan kepalanya. Segera dia menuju ke Hisyam yang sedang makan.
“Qis, tak nak makan ke?” tanya Hisyam kepada Qistina.
“Qis tak lapar. Masih kenyang lagi.”
“Betul ni?” tanya Hisyam lagi. Qistina terus menganggukkan kepadanya sambil membalas senyuman kepada Hisyam. “Kalau macam tu, abang saja yang makan.” Hisyam memandang ke wajah Qistina yang sedang menguap beberapa kali. Pasti Qistina sudah keletihan.
“Qis dah mengantuk sangat ke?” tanya Hisyam lagi sesudah dia habis makan. Qistina hanya menganggukkan kepala. Qistina sudah tiada daya lagi. Matanya terasa amat berat sekali. Kalau dapat katil mahu terus tidur gayanya! “Qis pergi tidur dulu, kejap lagi abang kemaskan semuanya,” kata Hisyam lagi. Qistina akur. Qistina terus mengatur langkah menuju ke arah biliknya. Sampai saja dibilik terus saja merebahkan dirinya. Tak ada masa dah nak fikir pasal malam pertama. Hisyam pun sudah beritahu tadi bahawa dia tidak mahu memaksa Qistina melayannya. Ternyata Qistina belum bersedia menyerahkan haknya kepada Hisyam. Qistina percaya dengan kata-kata Hisyam dan dia tahu Hisyam tidak akan melanggar janjinya.
Selesai saja Hisyam mengemas meja makan, Hisyam terus mengatur langkah menuju ke bilik. Hisyam memandang ke arah Qistina yang sudah dibuai lena. Barangkali terlalu letih, Qistina tidak sedar langsung kehadiran Hisyam disisinya. Hisyam cuba mendekati Qistina dan melemparkan pandangannya ke arah wajah Qistina. Hisyam menguis rambut Qistina yang menutupi wajah polos Qistina itu. Barulah dia dapat melihat wajah Qistina secara dekat. Sungguh cantik sekali wajah yang sedang lena disisinya. Indahnya ciptaan Tuhan. Tidak sia-sia Hisyam menyimpan perasaanya terhadap Qistina.
Akhirnya, termakbul juga doanya kini. Qistina adalah miliknya yang sah. Hisyam merapatkan mukanya ke wajah Qistina lalu mencium dahi isterinya. ‘Haish, nak tidur atas apa ni?’ Hisyam mencari-cari. Toto yang disimpan di dalam almari. Segera ditarik keluar dan membentangkannya ditepi katil. Akhirnya dia terlena.

BUNYI bingit jam loceng disebelah Qistina mengganggu tidurnya. Lalu Qistina terus mencapainya dan mematikan bunyi jam tersebut. Qistina memandang ruang disebelahnya, kosong. Hisyam tiada di situ. Habis tu, dia tu tidur kat mana? Fikirnya. Segera Qistina menjenguk menghala ke bawah, apabila terdengar rengekan kecil daripada Hisyam. Fuh! Terkejut aku! Boleh pula dia tidur kat bawah ni! Qistina kembali merenung ke wajah Hisyam yang masih tidur nyenyak. Kini, barulah Qistina dapat melihat dengan jelas wajah Hisyam.   Terpegun Qistina melihatnya. Hisyam memiliki wajah yang putih dan bersih tiada sebarang cela di situ, matanya yang sepek sedikit ala-ala hero pelakon ‘Bradley James’ hero cerita Merlin. Hisyam juga memiliki bibir merah tiada tanda-tanda dia menghisap rokok. Sesiapa pun, akan jatuh cinta dengan Hisyam apabila melihatnya. Hati Qistina berdegup dengan kencang. Argh… kenapa pula dia nak menilik Hisyam.
            Akhirnya, Qistina bangun dan menuju ke bilik air untuk mengambil wuduk. Semasa Qistina berlalu, Hisyam tersenyum. Sebenarnya, dia sudah terbangun sebelum Qistina lagi. Tetapi dia pura-pura belakon tidur. Dia tidak mahu Qistina mengesyaki apa-apa. Apabila dia, melihat Qistina memerung ke wajahnya sambil tersenyum, hati Hisyam bagai berbunga-bunga. Dia tahu, sudah ada tanda-tanda Qistina menyukai dirinya itu. Hisyam bangun daripada pembaringannya dan terus mengemas semula bantal dan toto yang digunakannya malam tadi. Apabila Qistina keluar daripada bilik air dia mendapati Hisyam tiada ditempatnya. Ke mana pula Hisyam pergi. Qistina terkejut apabila Hisyam masuk ke dalam bilik semula.
“Abang pergi ke mana tadi,”? tanya Qistina.
“Abang pergi ambil wuduk kat luar. Lagipun, Qis dalam bilik air tadi. Abang tak nak ganggu Qis.” Pantas Qistina mengangguk kepalanya. “Qis, dah solat subuh?” tanya Hisyam lagi.
“Belum lagi. Qis tunggu abang,” jawab Qistina. Hisyam terus membentang sejadah dan mereka solat subuh berjemaah bersama-sama. Selepas saja menunaikan solat, Qistina terus melipat semula telekung dan sejadah yang digunakan. Kemudian, dia keluar daripada biliknya itu. Dia mahu menyediakan sarapan. Qistina mengaturkan langkahnya perlahan-lahan. Pagi ini, Qistina bercadang mahu membuat nasi lemak saja. Nanti boleh makan bersama-sama keluarganya. Qistina menyediakan bahan-bahan untuk dimasak.
“Qis, nak abang tolong ke?” tegur Hisyam. Terkejut Qistina apabila disergah begitu.
“Maaf, abang tak sengaja nak terkejutkan Qis,” beritahu Hisyam apabila melihat Qistina kelihatan terkejut dengan tegurannya tadi.
“Tak payahlah. Abang pergi duduk kat depan tak pun pergilah tidur balik. Pasti abang tak dapat tidur lena kat bawah malam tadikan. Lagi pun, Qis boleh masak sendiri,” kata Qistina semula.
“Betul ni?” tanya Hisyam lagi untuk mendapatkan kepastian.
“Betul,” jawab Qistina ringkas.
“Kalau macam tu abang masuk bilik semulalah. Nak tidur kejap. Nanti Qis kejutkan abang ya. Takut terlajak pulak,” beritahu Hisyam. Qistina menganggukkan kepalanya saja apabila melihat Hisyam berlalu pergi. Apabila Hisyam masuk ke bilik terus saja dia menuju ke katil. Sebenarnya, memang dia tidak lena tidur malam tadi. Hisyam tak biasa tidur dibawah. Apabila teringat janjinya kepada Qistina malam tadi, Hisyam mengambil keputusan untuk tidur dibawah. Dia tidak mahu mengambil kesempatan ke atas diri Qistina walaupun hubungannya dengan Qistina sudah halal baginya. Dia tidak mahu memaksa Qistina. Biarlah Qistina sendiri dengan relanya dan sudah bersedia menyerahnya suatu hari nanti. Hisyam pasti Qistina dapat menerima dirinya nanti. Hisyam sanggup tunggu masanya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan