Senarai Kawan

Rabu, 8 Februari 2012

Aku Juga Mencintaimu


BAB 10
SOFFIYA mengatur langkahnya perlahan-lahan menuju ke bilik Syafiq. Sampai saja di depan pintu bilik, dia terus mengetuk pintu. Apabila terdengar saja arahan masuk diberikan, Soffiya terus memulas tombol pintu. Terpancul mukanya yang tersengih sambil memandang Syafiq yang tengah khusyuk mengadap kerjanya. Tekunnya!
            “Hah!  Ada apa yang kau datang bilik aku ni,” kata Syafiq dengan tegas.
            “Tak akan aku nak datang bilik kau dah tak boleh kut? Sejak naik pangkat ni berlagak sangat!” bidas Soffiya geram dengan perangai Syafiq.
            “Aisey… mulut tu memang tak ada insurans ke? Aku sibuklah banyak kerja nak kena siapkan. Naik pening kepala aku tahu tak!” Syafiq merungut. “Syam tu pun satu, semua kerja serah kat aku. Kalau aku tahulah banyak kerja macam ni, aku tak akan terima jawatan penganti Syam tu,” katanya lagi.
            “Tulah siapa suruh kau terima! Okey apa, sesuai aje kau pegang jawatan penganti Syam tu. Kau memang layak pun,” balas Soffiya cuba menyakinkan Syafiq.
            “Ya ke?” soal Syafiq kali ni dengan nada yang rendah. Kembanglah tu bila kena puji sikit!
            “Yalah, siapa lagi yang layak selain dari kau.”
            “Oh ya, yang kau datang bilik aku ni pasal apa?”
            “Lupa pulak aku, ni aku nak serahkan resume untuk kau tengok. Senarai calon-calon untuk jawatan lama kau tu merangkap pembantu penolong pengurus!” beritahu Soffiya sambil tergelak. Syafiq terus menyambut senarai dokumen yang diberikan kepadanya. “Kau jangan lupa pulak, besok temuduganya, Encik Kamal minta kau temuduga calon-calon ini.”
            “Okey, tu akulah. Dah alang-alang kau datang sini, aku nak tanya kat kau. Qis tu ada masalah ke? Aku tengok sejak Syam dah berhenti, asyik termenung aje kerjanya. Pelik aku! Kau kan kawan baik dia, cuba tanya pada dia. Aku sebagai kawan, tak naklah dia jadi macam tu, jangan campur hal peribadi dengan kerja. Kau nasihat dia sikit,” terang Syafiq. Soffiya menganggukkan kepalanya saja.
            “Hmm… okeylah. Nanti aku cuba tanya dia. Sejak dia pulang dari kampung, terus jadi macam tu. Aku pun pelik jugak dengan perangai dia tu,” beritahu Soffiya. “Kalau macam tu, aku balik tempat aku dululah. Esok, kau jangan lupa  pulak pasal temuduga tu.”
            “Yalah, aku ingat,” jawab Syafiq ringkas. Soffiya terus mengaturkan langkahnya menuju ke tempat Qistina yang tidak jauh dari bilik Syafiq. Soffiya menggelengkan kepalanya, apabila mendapati Qistina tidak menyedari kehadirannya di situ.
            “Qis,” panggil Soffiya. Qistina terus tersedar apabila terdengar ada orang memanggil namanya. Qistina berpaling.
            “Kau Fiya, buat apa kau datang sini?”
            “Hisy, kau ni asyik termenung aje kenapa? Ada masalah ke? Syafiq tu, risau kat kau aje,” Soffiya berterus-terang.
            “Kenapa pulak dia yang risau?” tanya Qistina lagi.
            “Dah, kau asyik termenung aje, kerja tak buat,” beritahu Soffiya saja mengusik Qistina.
            “Dia ni, sejak dinaikkan pangkat ambil-alih jawatan Syam berlagak pulak! Sakit hati aku. Selalu cari masalah betullah!” marah Qistina. Qistina mencebik.
            “Sudahlah tu, dia cuma risaukan keadaan kau. Tu aje. Qis, kalau kau ada masalah, ceritalah kat aku, sekurang-kurangnya tak adalah berat kepala kau nak tanggung semua masalah tu. Kitakan dah lama kenal, tak akan kau masih tak percayakan aku lagi,” kata Soffiya. Dia cuba berkongsi masalah dengan Qistina. Dia tahu, Qistina pasti ada sesuatu yang menganggu fikirannya ketika ini. Dia sebagai seorang kawan, cuma mengambil berat akan diri Qistina.
            “Tengoklah. Masa rehat nanti aku cerita kat kau. Dahlah, pergi balik tempat kau. Aku nak sambung buat kerja ni, nanti tak pasal-pasal Encik Syafiq kita tu marah pulak,” kata Qistina kepada Soffiya.  Soffiya terhibur dengan usikan daripada Qistina sebentar tadi. Sekurang-kurangnya, dia merasa sedikit lega akan perubahan yang ditunjukkan oleh Qistina. Dia tidak mahu, Qistina terlalu memikirkan masalah sehingga mengganggu kerjanya.
            Tepat jam 1.00 tengah hari, Soffiya sudah menunggu Qistina di tempat biasa mereka berdua selalu pergi. Soffiya tidak sabar menunggu kedatangan Qistina di situ. Apabila Soffiya ternampak kelibat Qistina di gerai itu, terus saja Soffiya melambaikan tanganya. Qistina terus mengatur tangkah menuju ke arah Soffiya yang sudah menunggu kedatangannya.
            “Fiya, kau dah pesan makanan?” tanya Qistina.
            “Sudah! Untuk kau sekali,” beritahu Soffiya. Qistina lega. Dia tidak perlu bersusah payah beratur mengambil makanan. “Qis, tadi kau dah janjikan nak cerita pada aku, apa masalah kau?” soal Soffiya. Qistina melepaskan keluhan perlahan-lahan. Nampaknya, dia tidak boleh lari dari Soffiya lagi. Terpaksalah Qistina bercerita masalahnya kepada Soffiya. Sebelum Qistina memulakan ceritanya, datang seorang pelayan membawa makanan yang telah Soffiya pesan sebentar tadi.
            “Kau masih ingat lagi tak, aku pernah cerita pada kau yang keluarga aku terima pinangan Datuk Suffian dan Datin Adibah untuk anaknya Badrul?” Qistina memulakan ceritanya. Soffiya terus menganggukkan kepalanya. “Sebenarnya, anak Datuk Suffian yang bernama Badrul  tu adalah Hisyam!” jelas Qistina. Soffiya terkejut dengan pengakuan Qistina sebentar tadi.
            “Apa? Maksud kau, Hisyam tu adalah Badrul? Macam tu?” soal Soffiya semula untuk mendapatkan kepastian.
            “Yalah, nama sebenar Syam adalah Badrul Hisyam! Dia anak kedua daripada tiga orang adik-beradik. Anak kepada Datuk Suffian dan Datin Adibah,” jelas Qistina lagi.
            “Aku tak sangka Qis, rupa-rupanya selama ni kita boleh tertipu dengan Syam. Aku yakin, Syafiq memang dah tahu pasal hal ini. Lagipun dia sahabat baik kepada Syam. Mesti dia tahu punya!”
            “Entahlah Fiya, masa mula-mula tu aku pun terkejut jugak, tapi nak buat macam mana lagi, benda dah jadi.”
            “Habis tu, kau nak teruskan majlis perkahwinan tu Qis?” tanya Soffiya.
            “Nampak gayanya macam tulah. Dah terpaksa! Lagipun aku tak nak keluarga aku dapat malu,” terang Qistina lagi.
            “Bersabarlah Qis, aku yakin Syam pasti boleh terima kalau kau berbincang baik-baik dengan dia. Dia okey Qis. Aku doakan kebahagian kau dan dia.”
            “Terima kasih Fiya, kau selalu beri semangat pada aku.”
            “Hmm… sudah-sudahlah tu. Mari kita makan. Nanti sejuk dah tak sedap pulak,” kata Soffiya. Qistina tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Terasa bebanan yang ditanggungnya sedikit berkurangan. Mereka berdua meneruskan menikmati hidangan makan tengah hari itu dengan penuh berselera sekali.
            Qistina sedang khusyuk meneliti kerja diskrin moniter komputernya, kedengaran bunyi telefonnya berbunyi. Qistina terus mencapai telefon dan jarinya menekan butang hijau. Qistina terkejut apabila kedengaran suara si pemanggil itu.
            “Qis,” panggil Hisyam.
            “Ya, Ada apa Syam?”
            “Qis sibuk ke?” tanya Hisyam kepada Qistina
            “Boleh tahanlah. Kenapa?” balas Qistina.
            “Syam nak jumpa dengan Qis, boleh tak?” tanya Hisyam lagi. “Pasal hal kita. Syam rasa kita patut berbincang.”
            “Kalau macam tu, baiklah. Petang nanti kita jumpa,” beritahu Qistina sebelum mematikan talian telefonnya.            Hisyam merasa sedikit lega apabila Qistina bersetuju untuk berjumpa dengannya nanti. Ya! Dia harus berterus-terang kepada Qsitina tentang perasaannya terhadap Qistina.
            Waktu petang seperti yang dijanjikan, Qistina berjumpa Hisyam disebuah Taman Reaksi berdekatan dengan tempat kerja Qistina. Qistina ternampak satu susuk tubuh yang sedang duduk di sebuah kerusi kayu tidak jauh dari tempat Qistina berdiri. Qistina mengaturkan langkah mendekati Hisyam yang dengan perlahan-lahan. Hisyam yang sedang leka memerhati kanak-kanak sedang leka bermain di Taman Rekreasi itu, tidak menyerdari kehadiran Qistina.
            “Assalamualaikum,” ucap Qistina dengan lembut.
            “Wa’alaikumsalam,” jawab Hisyam. Segera dia mengalihkan pandangannya apabila mendengar suara orang memberi salam.
            “Dah lama Syam sampai?” tanya Qistina lagi. Qistina terus melabuhkan punggungnya duduk di kerusi berhadapan mengadap Hisyam.
            “Baru aje,” jawab Hisyam sambil tersenyum.
            “Okey, kita teruskan perbincangan kita,” kata Qistina lagi. Dia tidak mahu menbuang masa lebih lama di situ.
            “Sebenarnya, Syam tahu yang Qis masih tak boleh melupakan Firkan? Syam tak boleh nak memaksa Qis untuk menerima Syam. Untuk pengetahuan Qis, Syam dah lama pendamkan perasaan Syam terhadap Qis. Bukan niat Syam untuk merahsiakan semuanya, tapi belum masanya untuk Syam dedahkan semuanya. Apa yang Syam mahukan, Syam harap Qis dapat menerima Syam sebagai seorang kawan seperti selalu. Syam jugak tak mahu disebabkan kita terpaksa kahwin, Qis nak mengelak dari jumpa dan berkawan dengan Syam. Syam boleh menerima keadaan Qis seadanya dan Syam tahu, nama Fir masih terukir diingatan Qis. Syam redha semua tu. Hanya satu yang perlu Qis tahu, walau apa pun yang terjadi, Syam sentiasa berada disamping Qis,” luah Hisyam terhadap Qistina. Lega hatinya, apabila sudah meluahkan segala yang terbuku dihatinya. Walaupun masih banyak rahsia yang disimpannya, baginya biarlah masa yang menentukan. Qistina hanya diam seribu bahasa, tidak menyangka Hisyam meluahkan perasaannya terhadap dirinya. Baginya, semua yang terjadi terlalu mendadak. Dia perlukan masa untuk melupakan semuanya. Dia redha, andai sudah tertulis jodohnya dengan Hisyam.
            “Syam, tolong bagi Qis sedikit masa untuk terima semua ni,” kata Qistina setelah mendengar luahan hati Hisyam terhadap sebentar tadi.
            “Qis, ambillah seberapa masa yang Qis perlukan. Syam sanggup tunggu,” beritahu Hisyam sambil tersenyum. “Oh ya, hari minggu ini Syam ambil Qis kat rumah boleh? Kita beli barang hantaran sikit,” katanya lagi. Qistina terus mengangguk tanda bersetuju.
            “Hmm… Kalau tak ada apa-apa lagi Qis balik dulu,” beritahu Qistina. Segera dia bangun dari kerusinya dan mengatur langkahnya perlahan-lahan. Hisyam hanya memerhati Qistina sehingga bayangnya hilang dari pandangannya.
           
HARI minggu seperti yang dijanjikan, Hisyam telah memandu kereta Mazda miliknya menuju ke rumah sewa Qistina. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 30 minit.  Hisyam tenang memandu keretanya dengan penuh berhati-hati.
            “Pin! Pin!” bunyi hon kereta Hisyam yang baru saja tiba. Hisyam memberhentikan keretanya di hapadan rumah sewa Qistina. Qistina terus saja menghampiri ke arah kereta Hisyam yang sedang menunggunya. Soffiya turut menghantar Qistina. Hari ini keluar untuk membeli barang persiapan untuk majlis perkahwinan mereka. Hanya Soffiya saja yang tahu mengenai masalah yang menimpa Qistina dan Hisyam. Bagi Qistina, belum sampai masanya lagi untuk memberitahu kepada kawan-kawannya yang lain. Hisyam memandu kereta Mazda dengan tenang. Sesekali matanya beralih memandang wajah Qistina yang duduk disebelahnya. Langsung tidak mahu berbicara sepatah perkataan pun.
            “Hmm, nanti kita nak cari barang apa dulu?” tanya Qistina. Tiba-tiba bersuara.
            “Kita cari barang yang penting saja dulu. Mula-mula sekali kita cari cincin,” Hisyam mengeluarkan cadangan. Qistina yang duduk disebelahnya diam tidak terkata. Sengaja Hisyam mahu mengenakannya. Hisyam hanya melemparkan senyumananya apabila melihat reaksi dari Qistina.
Lebih kurang 45 minit memandu, kereta Mazda yang dipandu Hisyam berenti di pusat membeli-belah Mid Valley. Hisyam telah meletakkan keretanya di tempat letak kereta yang telah disediakan. Mereka berdua berjalan beriringan bersama-sama menuju ke pintu masuk di Mid Valley. Tempat pertama yang mereka kunjungi adalah kedai menjual cincin. Sampai di kedai cincin, Hisyam meminta Qistina memilih cincin yang disukainya. Qistina malu untuk memilihnya memandangkan harganya yang agak mahal. Hisyam tersenyum melihat reaksi Qistina terus saja dia memilih sepasang cincin emas putih bertatah batu belian, walaupun agak ringkas, tapi amat sesuai jika di sarungkan di jari manis Qistina.  Qistina agak terkejut apabila melihat harganya.
“Syam mahalnya, takut  Qis nak pakai,” beritahu Qistina kepada Hisyam.
“Tak apalah, tak kisah berapa harganya yang penting Syam berkenan dengan cincin tu, lagi pun Syam tengok cincin tu sesuai sangat dengan Qis,” balas Hisyam semula. Qistina hanya memerhatikan Hisyam membayar harga cincin itu. Dia turut menggelengkan kepalanya apabila Hisyam sudah selesai membayar harga cincin itu. Emm, apa nak buat ikut sajalah! Lagi pun Hisyam yang beria-ria sangat pilih cincin itu!
Selepas itu, mereka berdua meneruskan langkah menuju ke arah kedai untuk membeli barang kelengkapan peribadi untuk dijadikan hantaran. Puas mereka masuk ke semua kedai untuk membeli keperluan yang lain. Setelah penat berjalan di dalam pusat membeli belah tersebut, akhirnya Qistina meminta diri untuk pulang ke rumah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan