Senarai Kawan

Isnin, 30 Januari 2012

Aku Juga Mencintaimu


BAB 9
KELAM-KABUT Qistina semalam, apabila Qabil menelefon memintanya pulang ke kampung dengan kadar segera. Tiba saja di rumah, Qistina di beritahu bahawa Haji Ramli di masukkan ke hospital kerana pengsan semalam. Itu pun, nasib baik Puan Hashimah menyuruh Qabil mencari Haji Ramli. Mujur, Qabil ternampak kelibat Haji Ramli yang sudah terbaring di dalam kebun, terus saja Qabil memapah Haji Ramli dan membawanya pulang ke rumah. Mengikut cerita yang diberitahu oleh Haji Ramli, pagi semalam Haji Ramli pergi menebas rumput di kebunnya. Puan Hashimah risaukan keadaan Haji Ramli, matahari sudah memakin meninggi tetapi kelibat Haji Ramli masih belum muncul lagi. Selalunya, Haji Ramli pergi ke kebun sekejap sahaja, memandangkan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan. Sejak, akhir-akhir ini, Haji Ramli selalu mengadu kepada isterinya Puan Hashimah selalu sakit di bahagian dada. Mungkin disebabkan itu, Haji Ramli pengsan dikebunnya.
            “Along, dah bawak abah pergi hospital ke?” tanya Qistina sebaik saja sampai dikampung halamannya. Risau dia melihat keadaan Haji Ramli yang lemah tidak bermaya itu.
            “Sudah, tapi tahu-tahu sajalah abah bukannya nak duduk lama-lama di hospital tu, rimas dengan bau ubat-ubat katanya,” terang Qabil semula. Qistina hanya menggelengkan kepalanya saja. Tahu benar dengan perangai degil Haji Ramli itu.
            “Habis tu, tak akan kita nak biarkan saja keadaan abah macam ni? Angah risaulah dengan keadaan abah. Cuba mintak umi nasihatkan abah supaya pergi ke hospital semula. Sekurang-kurangnya ada pemantauan dari doktor dan jururawat di sana,” cadang Qistina semula. Qabil hanya menurut saja cadangan daripada adiknya Qistina. Dia juga bersetuju dengan cadangan adiknya yang sorang itu.
            “Masalahnya sekarang, cakap umi pun abah tak mahu dengar angah!” Tiba-tiba Puan Hashimah mencela. Terkejut Qistina dan Qabil apabila melihat Puan Hashimah sudah berada di belakangnya sedari tadi.
            “Biar betul umi?” tanya Qistina semula. Kelihatan Puan Hashimah mengangguk mengiakan saja. Qistina mengeluh. “Habis, kita biarkan saja keadaan abah macam tu?” sambungnya lagi. Masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Puan Hashimah sebentar tadi.
            “Habis tu, nak buat macam mana lagi angah? Jenuh umi dan along nasihatkan abah kamu tu. Masih tak mahu. Katanya, besok kawannya Datuk Suffian dan Datin Adibah nak datang ke rumah nak bincang mengenai majlis perkahwinan angah dan anaknya Badrul tu. Mereka nak bawak sekali Badrul untuk berkenalan dengan angah, sebab tulah abah tak mahu pergi hospital. Kalau pergi pun, memang dah sah-sah kena tahan wad!” terang Puan Hashimah lagi. Barulah Qistina tahu, mengapa abahnya tidak mahu pergi hospital. Dia sanggup menunggu semata-mata Datuk Suffian dan keluarga.
            “Angah tak kira. Tak pun, kita bawak abah pergi klinik saja. Tak boleh biarkan keadaan abah macam ini. Kalau disebabkan angahlah abah tak mahu pergi klinik, angah sanggup berkorban demi abah. Angah terima saja, segala keputusan abah untuk menerima pinangan dari Datuk Suffian sekeluarga tu,” luah Qistina.
            Tergamam Haji Ramli apabila mendengar luahan dari bibir Qistina. Dia tidak menyangka Qistina sanggup mengorbankan kebahagiaannya semata-semata untuknya. Haji Ramli begitu terharu sangat. Tanpa membuang masa, Qabil dan Qausar terus saja memapah Haji Ramli masuk ke dalam kereta Qistina. Akhirmya, Haji Ramli bersetuju untuk membawanya ke klinik berhampiran. Lapang hati Qistina dan seisi keluargannya. Hati Puan Hashimah merintih. Tidak menyangka begitu sekali nasib yang menimpa anaknya Qistina. Qistina sanggup mengorbankan kebahagiannya demi maruah keluarga mereka.
            Qistina terus saja memberhentikan keretanya apabila tiba saja di depan klinik yang berhampiran dengan kampungnya. Qistina membukakan pintu keretanya, dan memberi peluang kepada Qabil memapah Haji Ramli masuk ke klinik itu. Doktor yang bertugas, terus saja memeriksa tahap kesihatan Haji Ramli yang tampak seperti tenat. Setelah diberikan rawatan yang secukupnya oleh doktor berkenaan, keadaan Haji Ramli kembali pulih sedikit. Doktor yang bertugas di situ ada juga menasihati supaya membawa Haji Ramli ke hospital tetapi cadangan itu ditolak mentah-mentah oleh Haji Ramli sendiri. Qabil dan Qistina sedikit geram dengan kedegilan abahnya itu. Dalam keadaan sakit, dia masih tidak mahu dihantar ke hospital!
            Puan Hashimah kelihatan begitu risau sekali, apabila terkenangkan kesihatan suaminya Haji Ramli, dalam keadaan sakit pun suaminya itu masih berdegil. Bukan nak dengar nasihat doktor menyuruhnya pergi ke hospital, tetapi dia sendiri yang tidak mahu. Takut ditahan wad nanti. Puan Hashimah menggelengkan kepalanya saja. Haji Ramli ada memberitahu kepada isterinya Puan Hashimah bahawa, pada esok hari keluarga Datuk Suffian akan berkunjung ke rumahnya untuk membincangkan tentang majlis perkahwinan yang diaturkan oleh anaknya, dan pada masa yang sama Datuk Suffian juga ingin memperkenalkan anaknya Badrul kepada Qistina yang akan dinikahinya nanti. Hati Qistina berdebar-debar apabila memikirkan tentang hal ini. Bagaimanalah wajah anak Datuk Suffian yang bernama Badrul itu? Walaubagaimana pun, pilihan keluarga Qistina akur dengan keputusan yang telah dibuat olehnya. Mungkin, sudah suratan takdir jodohnya ditentukan oleh keluarganya sendiri. Qistina tidak mahu maruah keluarganya tercemar disebabkan Firdaus. Majlis perkahwinan yang telah dirancangkan, pasti  dijalankan. Tu, janji Qistina kepada keluarganya!
            Pagi lagi, Puan Hashimah sudah pergi ke pasar tani untuk membeli barang-barang keperluan untuk dimasak. Qistina juga sibuk membantu menyediakan juadah untuk tetamu yang akan bertandang ke rumahnya. Qistina dan keluarganya begitu gembira dengan perkembangan tahap kesihatan Haji Ramli yang sudah beransur pulih. Haji Ramlilah orang yang paling gembira sekali dengan kehadiran Datuk Suffian sekeluarga dan dia juga tidak sabar melihat wajah Badrul. Menurut Haji Ramli, keluarga Datuk Suffian akan bertandang ke rumahnya tengah hari ini untuk membincangkan tentang majlis perkahwinan anaknya Badrul dan Qistina dan sekali gus memperkenalkan Badrul kepada Qistina.
            “Hah… kan cantik anak umi kalau pakai baju kurung macam ni,” tegur Puan Hashimah apabila Qistina muncul di depannya. Qistina mencebik.
            Hish! Nak datang, datang ajelah, tak payah nak paksa-paksa suruh bersiap lawa-lawa,” Qistina mengomel sendirian. Mukanya masam mencuka.
             “Qis, cuba senyum sikit. Nanti tak manis tetamu tengok,” kata Puan Hashimah lagi. Qistina terus melemparkan senyuman kepada uminya.
            Debaran di dada Qistina kian terasa apabila kedengaran bunyi kereta tiba berkarangan rumahnya. Puan Hashimah cepat-cepat ke muka pintu menyambut tetamu yang datang.
            “Dah sampai pun orang yang kita tunggu, jemput masuk!” pelawa Puan Hashimah, kemudian berpelukan dengan Datin Adibah. Mereka sama-sama ketawa.  Qistina mengintai dari dapur untuk melihat wajah pemuda yang bernama Badrul tetapi wajah itu terselindung di sebalik tetamu yang lain.
            “Inilah anak bujang saya Badrul Hisyam,” kata Datin Adibah sambil memperkenalkan lelaki yang datang bersama dengannya. Hisyam terus bersalaman dengan Puan Hashimah dan Haji Ramli.
            “Jemput duduk dulu Datin, Datuk, Badrul,” pelawa Haji Ramli.
            “Makin segak kamu Badrul, pasti kamu tak ingat Pak cik, kan Badrul?” tanya Haji Ramli sambil menepuk-nepuk bahu anak majikannya itu.
            “Tak berapa nak ingatlah Pak cik,” jawabnya ringkas sambil tersenyum.
            “Macam mana nak ingatnya abang Haji, dia pun masih kecil lagi,” kata Datuk Suffian.
            “Betullah tu,”  sokong Haji Ramli. Masing-masing ketawa apabila terkenangkan kenangan lalu.
            “Dengar cerita abang Haji tak sihat?” tanya Datuk Suffian kemudian.
            “Tak adalah teruk sangat Datuk. Semalam sakit dada, tiba-tiba aje pengsan, tu pun nasib baik Qabil yang jumpa. Kalau tak, tak tahulah macam mana,” terang Haji Ramli lagi.
            “Tulah abang Haji ni degil, sudah berapa kali saya cakap, jangan kerja berat-berat, badan tu bukannya sihat sangat!” pesan Datuk Suffian.
            “Hmm… nak buat macam mana Datuk, urat semua dah longgar. Dulu masa muda-muda bolehlah buat semua kerja, ni dah tua-tua semua dah tak larat,” ucap Haji Ramli lagi.
            “Oh ya, mana anak abang Haji yang perempuan tu? Saya nak kenalkan dengan Badrul ni,” tanya Datuk Suffian.
            “Ada kat dapur tu, malu agaknya. Kejap saya panggilkan,” jelas Haji Ramli. Kemudian dia bangun menuju ke dapur memanggil Qistina. Lebih kurang 10 minit, Qistina datang dengan membawa dulang yang berisi air minuman.
            “Jemput minum,” kata Qistina sambil atur cawan ke dalam piring.
            “Qis kenalkan ni anak aunty namanya Badrul Hisyam,” beritahu Datin Adibah sambil memperkenalkan anaknya. Qistina jelas terkejut apabila memandang wajah lelaki yang di hadapannya itu. Begitu juga dengan Hisyam. Masing-masing terpaku. Qistina tidak menyangka Badrul dan Hisyam adalah orang yang sama. Barulah Qistina tahu nama penuh Hisyam adalah Badrul Hisyam. Aduhai!
            “Ehem… ehem…” deheman itu membuatkan Qistina dan Hisyam tersentak. Qistina terus berlari menuju ke arah dapur semula. Manakala, Hisyam masih terkejut dengan pertemuan yang tidak disangkanya. Memang dia terkejut apabila memandang wajah Qistina. Sudah lama dia memendam perasaan terhadap Qistina. Dia tidak tahu langsung pilihan mamanya adalah Qistina, gadis yang dipujanya selama ini. Syukur Alhamdulillah.
            “Kenapa ni Syam?” tanya Datin Adibah.
            “Hah! Tak ada apa-apa. Terkejut sikit aje,” ucap Hisyam. Kemudian masing-masing turut ketawa dengan tindakan Hisyam dan Qistina sebentar tadi.
            Selesai saja menikmati hidangan makan tengah hari itu, Hisyam meminta kebenaran kepada mama dan papanya untuk mengambil angin di luar. Hisyam melemparkan pandangannya ke arah sawah padi yang luas terbentang. Matanya terpandang tubuh seorang gadis yang sedang berdiri di batas sawah padi. Segera Hisyam mengaturkan langkahnya perlahan-lahan, cuba mendekati gadis itu.
            “Qis!” panggil Hisyam. Qistina terus memalingkan wajahnya mengadap Hisyam yang berdiri tidak jauh darinya. “Syam tak sangka kita dapat jumpa lagi,” kata Hisyam dengan nada gembiranya.
            “Qis pun terkejut juga bila pandang wajah Syam tadi. Tak sangka Qis rupa-rupanya nama sebenar Hisyam adalah Badrul Hisyam anak kepada Datuk Suffian dan Datin Adibah,” ucap Qistina seperti tidak percaya. Agaknya inilah identiti sebenar yang dirahsiakan oleh Hisyam dan Syafiq. Patutlah Hisyam jarang bercerita perihal tentang keluarga. Qistina rasa seperti ditipu oleh Hisyam.
            “Syam mintak maaf, bukan niat Syam nak rahsiakan semua ni. Sumpah! memang Syam tak tahu, gadis yang mama dan papa nak kenalkan tu adalah Qis. Mama yang beria-ria nak jodohkan kita berdua! Syam cuma ikutkan saja kata mama, dan Syam tak mahu hampakan perasaan mama dan papa,” luah Hisyam kepada Qistina. Qistina sendiri masih keliru. Dia tidak dapat menerima semua kejutan ini. Semua ini terlalu mendadak!
            Di rumah, kelihatan kedua belah keluarga sedang rancak berbincang tentang majlis perkahwinan yang bakal tiba tidak lama lagi. Hisyam dan Qistina hanya menjadi pendengar setia saja. Semua keputusan terserah kepada keluarga masing-masing.
            “Kalau semua dah setuju, eloklah kita jalankan seperti yang telah dirancangkan. Pada pendapat Datuk?” tanya Haji Ramli.
            “Saya setuju aje, kalau diikutkan seperti yang dirancangkan, maknanya dua bulan dari sekaranglah. Syam pun minggu depan dah mula uruskan syarikat saya. Makin sibuklah dia lepas ini,” kata Datuk Suffian. Masing-masing ketawa. Qistina dan Hisyam hanya mendiamkan diri, akur saja dengan semua keputusan yang telah dibuat. Dalam tempoh dua bulan lagi, dia akan berkahwin dengan Hisyam. Dia sendiri bagai tidak percaya.
            “Tak lama lagi kita berbesanlah Shimah,” kata Datin Adibah lantas tersenyum. Gembira betul dapat berbesan dengan keluarga Haji Ramli.
            “Hah! Syam kenapa diam aje dari tadi? Ada yang tak kena ke?” tanya Datuk Suffian. “Syam macam mana?” tanyanya lagi.
            “Syam okey aje pa… Syam ikut saja apa yang telah dirancangkan,” beritahu Hisyam sambil memandang ke arah Qistina. Dia tahu, Qistina berat hati menerima pinangan ini. Hati masih tidak dapat melupakan bekas tunangnya Firdaus.
            “Kalau macam itu, kami mintak diri dululah abang Haji. Hari pun dah petang ni. Kalau ada apa-apa, telefon saya,” kata Datuk Suffian sebelum pulang.
            “Insya Allah Datuk,” ucap Haji Ramli. Selepas itu, Datuk Suffian sekeluarga meminta diri untuk pulang.
           
           

Tiada ulasan:

Catat Ulasan