Senarai Kawan

Khamis, 26 Januari 2012

Aku Juga Mencintaimu

BAB 8
“QIS, datang kat tempat aku kejap boleh?” pinta Azura, salah seorang penyambut tetamu di syarikat di mana Qistina bekerja.
            “Kenapa Zura?” tanya Qistina semula.
            “Ni, ada orang hantar bunga untuk kau lagi. Lagipun aku, kan kena jaga kat kaunter penyambut tetamu ni. Mana boleh hilang sesuka hati aje,” terang Azura.
            “Okey,” balas Qistina malas sebelum mematikan talian telefon di mejanya. Bunga lagi? Rasanya dah penuh tempat Qistina dengan bunga dan coklat. Hari ni dapat bunga, semalam dapat bunga, dua hari lepas dapat bunga juga dan begitulah hari-hari yang sebelumnya. Adalah dekat seminggu juga Qistina jadi penerima bunga yang setia. Dah naik jemu jugalah Qistina  pandang bunga-bunga tu.
            Perlahan-lahan Qistina melangkah menuju ke tempat Azura. Kalau nak tahu, siapa yang hadiahkan bunga tu semua? Entahlah, Qistina sendiri masih tidak dapat meneka gerangan siapa yang baik hati sanggup menghadiahkan bunga dan coklat kegemarannya hampir setiap hati. Bertambah runsing fikirannya.
            Bukan itu saja masalah yang belenggu fikiran Qistina. Puan Hahimah dan Haji Ramli juga tidak habis-habis telefon Qistina untuk meminta keputusan mengenai pinangan daripada Datuk Suffian dan Datin Adibah. Sampai sekarang, Qistina masih belum beritahu keputusannya. Qistina sendiri pun tidak tahu, haruskah dia menerima pinangan daripada Datuk Suffian dan Datin Adibah ataupun tidak?  Sejak Qistina pulang dari kampung macam-macam perkara yang berlaku ke atas dirinya. Pasal pinangan tu pun, dah satu hal. Rimas!
            “Aku peliklah Qis?” tanya Azura sebaik saja Qistina tiba di tempatnya.
            “Apa yang peliknya, Zura?” soalan dibalas soalan.
            “Yalah, hampir tiap-tiap hari kau terima bunga dan coklat dari pemberian orang yang kau sendiri tak kenalkan? Habis tu, kau buat apa dengan bunga dan coklat tu,” kata Azura lagi.
            “Entahlah, siapa yang hantar tu pun aku masih tak tahu lagi siapa pengirimnya. Bukan kau seorang aje yang pelik, aku ni pun bertambah pelik. Yang aku hairan tu, macam-mana pengirim itu boleh tahu bunga dan coklat kesukaan aku,” terang Qistina kepada Azura lagi.
            “Aku tak boleh nak cakap lebih-lebih, nanti tak pasal-pasal orang cop aku ini mulut tempayan pulak! Sudahlah, pergi ambil kau punya bunga dan coklat itu. Malas aku nak layan,” beritahu Azura kepada Qistina. Qistina hanya tersenyum apabila Azura berkata begitu padanya. Qistina mengambil bunga dan coklat. Kemudian, dia mengatur langkahnya menuju ke tempatnya semula.
           
“BRO… jauh menung?” terkejut Hisyam apabila mendengar sapaan dari kawan baiknya itu.
            “Kau kenapa ni? Muka dah macam ayam berak kapur aje aku tengok? Kau ada masalah ke?” tanya Syafiq lagi.
            “Entahlah,” ucap Hisyam sambil mengeluh.
            “Jarang kau macam ini. Cuba cerita kat aku. Tak akan dengan aku pun kau nak sorok? Macamlah aku tak kenal dengan perangai kau,” bidas Syafiq lagi.
            “Papa, dia suruh aku tolong uruskan syarikat. Aku bukannya tak mahu, cuma aku belum bersedia lagi nak pikul semua tanggungjawab tu . Lagipun, tak sampai hatilah aku nak resign kat sini,” luah Hisyam kepada Syafiq.
            “La… pasal itu saja ke? Aku ingatkan macam ada masalah besar sangat!” Syafiq yang duduk disebelahnya boleh ketawa.
            “Apa yang lucu sangat? Tadi suruh aku cerita masalah aku, kan. Sekarang kau boleh gelak-gelak pulak. Aku sekeh baru tau!” adu Hisyam lagi.
            “Opps… nanti dulu!” Sambil mengangkat kedua tangannya. “Aku tahu kau tak sampai hati berhenti kerja kat sini sebab Qis, kan? Kalau tak silap aku tempoh yang Datuk berikan pada kau selama 2 tahun tu dah tamat, kan? Jadi, sekarang memang terpaksalah kau kena resign jugak. Kau dah janji, kan?” soal Syafiq bertubi-tubi.
            “Tu aku tahu, terpaksa jugaklah aku hantar notis kat Encik Kamal nanti.”
            “Sabarlah Syam, sepatutnya dari dulu lagi kau kena bantu Datuk Suffian tu. Lagipun kau pewaris yang akan menggantikan papa kau,” jelas Syafiq lagi.
            “Nak buat macam mana lagi, terpaksalah ikut telunjuk papa aku tu. Nanti tak pasal-pasal merajuk pulak orang tua tu. Susah aku nanti. Nak harapkan along, bukannya dia minat pun. Dia lagi suka dengan kerjanya sekarang ni sebagai doktor. Jadi, pada siapa lagi papa nak harapkan jadi pewarisnya kalau bukan aku.” Hisyam melepaskan keluhannya perlahan-lahan.
            “Hmm… Tahu pun. Pasal hal ini aku sendiri tak dapat nak bantu kau.  Lagipun, ini hal keluarga kau. Aku sebagai kawan, cuma boleh tolong sokong apa saja keputusan kau. Tu aje. Oh ya, sebelum aku lupa. Kau ke yang bagi Qis bunga ros dan coklat tu?” soal Syafiq. Hisyam yang berada disebelahnya hanya memandang dengan wajah yang berkerut-kerut.
            “Macam mana kau tau ni?” soal Hisyam pula.
            “Ni, Syafiqlah. Macamlah aku baru kenal kau Syam. Lagipun siapa yang tau bunga dan coklat kesukaan Qis tu kalau bukan kau. Dengan orang lain bolehlah kau kelentong, tapi dengan aku jangan haraplah,” luah Syafiq dengan nada berlagak. Hisyam yang mendengar rasa macam nak pelempang saja Syafiq!
            “Aku tahu kat kawan baik aku, jadi aku nak mintak tolong kau supaya rahsiakan perkara ini. Jangan beritahu pada sesiapa walaupun tunang kau, Sarah. Kalau tak, kita putus sahabat!” kata Hisyam dengan tegasnya.
            “Yalah, kau jangan risau. Macam kata pepatah tu, biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.” Syafiq dah tersegih memandang wajah Hisyam yang sudah menahan geram. Memang sengal!
            Hari sudah berginjak ke pukul 11.00 malam, mata Qistina masih belum terlelap. Sebentar tadi, sudah acap kali dia menguap tapi bila dia merebahkan diri ke katil matanya masih belum mengantuk. Sekejap pusing ke kiri, sekejap pusing ke kanan, alih-alih dia terus saja bangun dari katilnya menuju ke balkoni di luar biliknya. Arghh, kenapa matanya masih belum mengantuk. Mindanya masih memikirkan tentang lelaki misteri yang menghadiahkannya bunga ros dan coklat kesukaannya hampir setiap hari. Qistina juga masih belum memberikan keputusannya tentang pinangan oleh Datuk Suffian dan Datin Adibah tempoh hari. Macam-macam peristiwa yang berlaku ke atas dirinya. Sudahlah Firdaus meninggalkannya, kini pada siapa lagi yang harus dia luahkan segala isi hatinya kepada sesiapa.
            Soffiya mengintai di bilik Qistina, tetapi kelibat Qistina tiada di dalam biliknya. Hairan juga Soffiya, di manakah Qistina berada ketika ini. Lantas mindanya berfikir, dia ternampak satu susuk badan yang sedang berdiri di balkoni di luar, pasti itu Qistina. Mungkin Qistina tidak boleh tidur. Soffiya mengatur langkahnya perlahan-lahan, mendekati Qistina yang jauh termenung.
            “Qis!” laung Soffiya. Qistina terus tersedar dari lamunannya apabila mendengar suara orang memanggilnya.
            “Terkejut aku tau!” tengking Qistina.
            “Alah… aku dah panggil kau banyak kali, siapa suruh kau tak menyahut. Janganlah marah ya…” Soffiya cuba memujuk Qistina sambil tersengih menampaknya barisan giginya yang putih.
            “Yalah, aku tak marah kau pun, cuma terkejut aje,” terang Qistina.
            “Qis, kau belum tidur lagi? Ada masalah? Cuba kau cerita kat aku?” soal Soffiya lagi.
            “Entahlah Fiya, aku masih fikirkan siapa peminat misteri aku, dan juga mengenai pinangan Datuk Suffian dan Datin Adibah tu.” Qistina mengeluh.
            “Pasal peminat misteri tu, kau jangan risaulah sangat. Adalah tu yang minat kau sampai sanggup dia berikan hadiah bunga ros dan coklat tu. Kalau kau tak nak coklat tu, kau boleh bagi pada aku,” beritahu Soffiya.
            “Aku serius ni, kau main-main pulak. Kalau kau nak sangat coklat tu, ambil ajelah! Bukan habis pun kalau aku makan sorang,” kata Qistina.
            “Yalah, aku pun serius jugak ni. Tapi betullah apa aku cakap tadi.” Qistina memandang wajah Soffiya.
            “Okey, okey, sekarang ini apa keputusan kau mengenai pinangan itu?”
            “Nampaknya terpaksalah aku terima. Aku tak mahu keluarga aku tanggung malu. Biarlah aku yang berkorban. Lagipun semua ini berpunca daripada aku jugak, kan,” luah Qistina.
            “Kalau itu dah keputusan kau, aku sentiasa menyokong kau Qis. Kau kena ingat tu pilihan keluarga, adalah pilihan yang paling terbaik tau. Kalau kau ada apa-apa masalah, cerita kat aku. Aku tak nak kau sedih,” ucap Soffiya sambil memeluk Qistina. Terharu Qistina dengan tindakan daripada Soffiya itu. Qistina bersyukur sangat kerana di kurnia kawan yang baik seperti Soffiya.
            “Qis, kau tahu pasal Hisyam nak resign?” tanya Soffiya semula.
            “Mana kau tau Fiya?” soal Qistina pula.
            “Fiq yang bagitahu tadi. Bulan ini Syam last kerja dengan kita. Kata Fiq lagi, Syam kena bantu uruskan syarikat ayahnya, sebab itu dia resign. Kalau macam tu, kira Hisyam ni anak orang berada jugaklah kan Qis,” kata Soffiya lagi.
            “Betul apa yang kau cakapkan tu Fiya. Aku pun rasa macam tu jugak. Tapi yang peliknya, kenapa Hisyam berahsia sangat tentang keluarganya? Memang dia sengaja tak nak cerita. Aku rasakan Syafiq seorang saja yang tahu pasal dia,” beritahu Qistina lagi. Soffiya juga berpendapat seperti itu.
            “Pasal tu, nanti kita tanya pada Syafiq. Kita mintak dia berterus-terang semuanya apa yang kita tak tahu,” cadang Soffiya. Qistina terus menganggukkan kepalanya tanda bersetuju dengan cadangan Soffiya itu.
            “Okeylah Qis, aku masuk tidur dulu. Kau tu jangan tidur lewat sangat. Esok nak bangun pergi kerja,” kata Soffiya kepada Qistina sebelum berlalu meninggalkan Qistina dibiliknya. Qistina hanya menganggukkan kepalanya saja. Tidak lama kemudian, Qistina berlalu keluar dari balkoni dan menuju ke katilnya. Matanya sudah mengantuk. Terus saja Qistina terlelap. Qistina berharap, semoga keputusannya ini, dapat membantu mengurangkan masalah yang melanda keluarganya ketika ini.

“ABAH, Qis dah buat keputusan. Qis terima pinangan dari Datuk Suffian dan Datin Adibah itu. Nanti bagitahu pada umi,” ucap Qistina sebaik saja Haji Ramli menelefonnya pagi itu untuk bertanyakan tentang keputusan daripada Qistina sendiri.
            “Alhamdulillah,” ucap Haji Ramli lega sebaik saja mengetahui tentang keputusan dari Qistina. Nanti abah beritahu pada Datuk Suffian dan Datin Adibah mesti mereka gembira. Qistina terus saja menamatkan panggilan telefon. Dia sedih, tidak dapat menahan air matanya. Inilah keputusan yang terbaik dia lakukan demi maruah keluarganya. Keputusan telah dibuat, sekarang ini terserah kepada Datuk Suffian dan Datin Adibah untuk menetapkan tarikh perkahwinannya. Qistina masih belum tahu lagi keputusan daripada Badrul anak kepada Datuk Suffian dan Datin Adibah.
            Datin Adibah kelihatan gembira sebaik sahaja mendapat tahu berita daripada Haji Ramli dan keluarga mengenai pinangannya tempoh hari. Alangkah terkejutnya dia, bila Qistina bersetuju berkahwin dengan anaknya Badrul Hisyam. Segala perancangan yang diatur olehnya, diterima pakai oleh Datuk Suffian. Pasti, Qistina tidak tahu bahawa calon suaminya itu adalah kawan baiknya di syarikat tempat Qistina bekerja. Bukan niat, Datin Adibah untuk merahsiakan tentang nama sebenar anaknya Hisyam dan dia tahu Qistina bersetuju kerana tidak mahu memalukan maruah keluarga. Apa-apa pun keputusan daripada Qistina, Datin Abidah sanggup menerimanya. Datin Adibah seperti tidak sabar untuk memberitahu tentang majlis perkahwinan ini kepada Hisyam. Pasti Hisyam gembira mendengarnya.
            Hisyam memandu masuk keretanya ke garaj. Jam sudah menunjuk ke angka 11.30 malam. Seharian dia duduk di pejabat mengadap kerjanya yang bertimbun-timbun. Banyak sangat kerjanya sampai dia sendiri tidak menang tangan. Nasib baik Syafiq sanggup menunggunya hingga kerjanya selesai. Setelah dipastinya yang keretanya selamat berkunci, Hisyam melangkah ke arah pintu rumah. Biasan cahaya malap yang terpancar keluar dari dalam rumah membuatkan Hisyam yang seisi rumah sudah tidur. Pintu rumah dibuka, dia melangkah masuk dan pintu dikunci kembali. Dia mengatur langkah perlahan-lahan ke arah tangga.
            “Baru balik?” suara teguran seseorang telah mematikan langkahnya. Pantas badan menoleh mencari kelibat si empunya suara. Kakinya pantas melangkah melihat siapa yang menegurnya sebentar tadi.
            “Mama tak tidur lagi?” soal Hisyam. Apabila melihat mamanya masih duduk di sofa barangkali menunggunya.
            “Lewat Syam balik malam ni?” Datin Nora menyoal.
            “Banyak kerja ma. Tu pun nasib baik Fiq yang tolong Syam. Lagipun minggu ni kan minggu terakhir Syam kerja di syarikat tu, jadi Syam kenalah siapkan semua kerja Syam dulu. Letih sangat ma,” beritahu Hisyam sambil tangannya mengurut tengkuk.
            “Mama ada perkara yang hendak bagitahu pada Syam.”
            “Apa dia ma?” tanya Hisyam lagi.
            “Sebenarnya papa dan mama dah pilihkan calon menantu untuk Syam. Dia anak kepada bekas majikan papa. Dulu, ayahnya pernah jadi drebar papa dan kami berkawan baik. Hari itu, papa dan mama ada pergi melawat dan terus merisik gadis itu. Memang sesuai sangat dengan Syam. Syam pulak macam-mana?” beritahu Datin Adibah.
            “Kalau itu dah keputusan mama dan papa yang terbaik untuk diri Syam, Syam terima aje,” ucap Hisyam tenang dan ringkas. Dia tidak menyangka bahawa papa dan mamanya sanggup mencari calon yang sesuai untuk dirinya. Biarlah, kalau itu yang terbaik buat dirinya. Hisyam redha. Kata orang, pilihan keluarga adalah pilihan yang terbaik, jadi Hisyam harus menerimanya. Dia tidak mahu mengecewakan perasaan mama dan papanya itu.
            “Baguslah kalau macam itu, anak kawan papa tu pun dah setuju. Kalau Syam tak sibuk, minggu ini kita pergi melawat ke rumahnya.  Kali ini Syam bolehlah lihat sendiri calon pilihan yang dipilih oleh papa dan mama. Mama dan papa pasti Syam setuju dengan pilihan kami ini.
            “Baiklah,” jawabnya ringkas dan perlahan. Selepas itu, Hisyam terus mengatur langkahnya menuju ke bilik. Maafkan Syam, Qis. Syam tidak boleh menghampakan perasaan mama dan papanya. Rintih hatinya!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan