Senarai Kawan

Khamis, 12 Januari 2012

Aku Juga Mencintaimu-Bab 7


BAB 7
QISTINA sudah bersiap mengemas barang-barang untuk dibawa pulang bersamanya di kampung. Sudah sebulan dia tidak pulang ke kampung halamannya di Sungai Sireh, Tanjong Karang. Selesai sahaja memasukkan barang-barang di dalam bonet kereta Myvinya, Qistina terus menghidupkan enjin kereta. Bunyi enjin yang berderum, beberapa minit kemudian kereta Myvi itu meluncur dengan laju meninggalkan kawasan perumahan rumah Qistina. Qistina terus memandu kereta dengan penuh berhati-hati.  
            Perjalanan dari Kuala Lumpur ke kampung Sungai Sireh, Tanjong Karang mengambil masa lebih kurang satu jam tiga puluh minit. Qistina meneruskan pemandunannya dengan begitu berhati-hati. Sampai saja di simpang masuk ke kawasan rumahnya, kelihatan sawah padi nan hijau luas terbentang. Sejuk hati Qistina apabila melihatnya. Terasa beban yang ditanggungnya kini hilang begitu sebaik saja dia melihat permandangan yang indah sebentar tadi. Qistina perlu memandu keretanya dengan perlahan-lahan, apabila menyelusuri lorong yang sempit untuk sampai ke rumahnya yang terletak di hujung kampung. Beberapa minit kemudian, Qistina tiba di rumah keluarganya.
            “Umi, angah dah sampai!” laung Qausar adik kepada Qistina. Qausar terus mendapatkan Qistina dan menyalaminya.
            “Qausar sihat?” ucap Qistina semula. Qausar terus mengangguk kepalanya. Tahulah Qistina adiknya itu sihat.
            “Alhamdulillah, Qis balik juga akhirnya,” ucap Puan Hashimah sebaik saja ternampak kelibat Qistina. Qistina terus menyalami tangan uminya. Mereka terus masuk ke dalam rumah.
            “Hari ini umi masak asam pedas ikan pari untuk Qis,” beritahu Puan Hashimah kepada Qistina.
            “Ya ke? Macam tahu-tahu aje Qis nak balik. Tak sabar Qis nak makan.”
            “Kejap lagi kita boleh makan, umi nak pergi hidangkan dulu.”
            “Umi nak Qis tolong tak?”
            “Tak payahlah. Lagipun Qis kan baru saja sampai. Qis berehat dulu. Kejap lagi umi panggil Qis untuk makan.” Qistina mengangguk. Dia melihat Puan Hashimah menuju ke dapur. Qistina merasa gembira sekali apabila dapat pulang ke kampung halamannya. Terubat rindu untuk menatap wajah kedua umi dan abahnya serta abang dan adiknya . Hari ini, Qistina perlu berterus-terang kepada kedua ibubapa tentang hubungannya dengan Firdaus. Qistina tidak mahu keluarganya terpedaya dengan sikap Firdaus yang kepura-puraan itu. Dia harus menjelaskan perkara sebenar.
            Usai saja menikmati makan tengah hari dan berehat sebentar, Qistina keluar mengambil angin di luar. Pandangannya beralih ke sawah padi yang terbentang luas di sekeliling kawasan rumahnya. Fikirannya cukup tenang ketika ini. Dia dapat melupakan sedikit kenangan bersama bekas tunangnya Firdaus. Dia redha dengan ketentuan Tuhan yang maha Esa. Baginya, mereka berdua tiada jodoh untuk bersama.
            Suasana dingin di kampung Sungai Sireh amat mengasyikkan. Qistina jauh termenung di jendela melayan perasaannya sendiri. Hatinya dilanda resah, bagaimana dia harus menjelaskan tentang hubungannya dengan Firdaus yang sudah berpisah kepada uminya Puan Hashimah. Argh… runsing fikirannya apabila memikirkan tentang perkara ini.
            “Qis,” teguran daripada Puan Hashimah sedikit menganggunya. Qistina terus memalingkan wajah memandang uminya. “Qis ada masalah ke?” soal Puan Hashimah lagi.
            “Sebenarnya umi, Qis ada perkara yang nak beritahu pada umi ni,” terang Qistina sambil matanya memandang tepat ke arah uminya itu.
            “Pasal apa?” tanya Puan Hashimah lagi.
            “Sebenarnya, Qis dah putus dengan Fir,” luah Qistina. Kelihatan Puan Hashimah sedikit terkejut dengan pengakuan yang terkeluar dari bibir Qistina.
            “Tapi kenapa Qis?”
            “Fir ada perempuan lain,” terus saja Puan Hashimah memeluk Qistina. Dia tahu pasti Qistina sedih.
            “Sabarlah Qis, umi yakin suatu hari pasti Qis akan di pertemukan dengan seseorang yang jauh lebih baik dari Fir,” ucap Puan Hashimah yang cuba menenangkan perasaan sedih Qistina. Dia tidak menyangka Firdaus sanggup mempermainkan perasaan anak gadisnya itu. Dia turut sedih melihat Qistina sebegitu.
            “Umi, macam mana dengan semua persiapan yang kita dah buat tu? Kita dah tempah semua khemah dan peralatan yang lain. Duit cengkeram pun kita dah bayarkan.”
            “Pasal tu Qis jangan risau, nanti umi bincang dengan along kamu dulu. Sekarang ni Qis pergi tidur, lagi pun dah jauh malam ni. Tak baik tidur lewat.” Qistina hanya mengangguk. Lega hatinya apabila uminya berkata begitu. Dia juga bersyukur kerana di kurniakan seorang ibu yang memahami seperti Puan Hashimah.
            Keesokkan harinya, selepas Puan Hashimah memaklumkan dan berbincang dengan suami dan anak sulungnya, Puan Hashimah terus menyuruh Qabil berjumpa dengan tuan punya khemah. Manalah tahu, kalau kena dengan gayanya mereka dapat membatalkan tempahan khemah yang di buat dua bulan serta duit cengkeram yang telah diberikan sebelum ini. Qabil terus saja membonceng motosikalnya menuju ke rumah Pak Leman tuan punya khemah di dalam kampung ini untuk berbincang tentang tempahan khemah yang telah dibuat sebelum ini.             
Setengah jam kemudian, kedengaran motosikal Qabil sudah sampai di perkarangan rumahnya, Puan Hashimah yang sibuk memasak di dapur terus mendapatkan Qabil yang sudah berada di luar rumah.
            “Umi, tadi along pergi jumpa dengan Pak Leman, dia tak bagi kita cancelkan khemah yang kita tempah hari itu. Duit cengkeram yang kita bayar pun di kira burn. Macam mana ni umi? Tadi pun Pak Leman dah bising-bising,” jelas Qabil kepada Puan Hashimah sebaik saja sampai dari rumahnya.
            “Hmm, tak apalah long. Kita nak buat macam-mana lagi. Dah macam tu dia kata, kita ikutkan saja. Bukan kita tak tahu perangai Pak Leman tu macam mana. Nanti umi pergi berbincang balik semula dengan dia macam mana. Manalah tahu, dengan umi dia boleh bawak berbincang, kalau tak boleh jugak, terpaksalah kita buat kenduri kahwin tu jadi kenduri kesyukuran nampaknya,” akur Puan Hashimah. Puan Hashimah sudah menggeleng kepalanya. Tahu benar dengan perangai panas baran Pak Leman itu. Nampak gayanya, terpaksa jugalah kenduri itu dijalankan, walaupun pengantinnya tiada. Kira, bersedekah bagi orang kampung makan sajalah. Qabil yang mendengar turut berasa simpati di atas perkara yang menimpa Qistina. Kesian adiknya itu, terpaksa menanggung malu oleh tohmahan yang di lemparkan oleh orang kampung.
            Qistina berdiri di tepi dinding sedari tadi. Segala perbualan dari abangnya Qabil dan Puan Hashimah sebentar tadi, semua sudah didengarinya. Hatinya sayu mendengar semua itu. Kesian kepada keluarganya, pasti orang kampung akan tertanya-tanya nanti kenapa kenduri kahwin tiba-tiba menjadi kenduri kesyukuran. Pasti ada tohmahan yang dilemparkan oleh orang kampung erhadap keluarganya. Apalah yang harus dia lakukan untuk keluarganya itu. Bagaimana pula, dengan kesihatan Haji Ramli kalau dia dapat tahu? Pelbagai persoalan yang terlintas di fikirannya sekarang ini. Tak akanlah dia nak cari pengganti untuk Firdaus masa majlis perkahwinan itu nanti. Qistina sendiri tidak rela!
            “Qis, dah lama ke berdiri kat sini?” tanya Puan Hashimah. Dia terkejut apabila mendapati Qistina sudah berdiri di belakangnnya sedari tadi.
            “Qis dah dengar semuanya umi. Tak payah umi nak rahsiakan semuanya dari Qis. Betul ke apa yang along cakap tadi?” Qistina bertanya semula kepada Puan Hashimah. Puan Hashimah hanya mengangguk mengiakan. Biarlah Qistina tahu keadaan sebenar.
                 “Umi, ada orang datang,” beritahu Qabil tiba-tiba saja.
        “Siapa?” tanya Puan Hashimah lagi. Qabil hanya menjongket kedua bahunya menandakan dia tidak tahu gerangan tetamu yang datang bertandang ke rumahnya sekarang. Puan Hashimah terus saja meluru ke pintu rumah dia mendapati sebuah kereta Mercedes Benz berwarna hitam baru saja memasuki kawasan rumahnya. 
          Hati Puan Hashimah tertanya-tanya gerangan siapakah yang berkunjung ke rumahnya pada waktu ini. Puan Hashimah ternyata terkejut dengan kehadiran tetamu yang datang bertandang ke rumahnya itu. Dia terus saja memeluk tetamu perempuan itu. Qistina, Qabil dan Qausar kelihatan tertanya-tanya sesama sendiri gerangan siapakah yang Puan Hashimah memeluknya sampai begitu mesra sekali. Seperti kenalan rapat kawan uminya. Puan Hashimah menjemput tetamu yang datang itu, masuk ke dalam rumah.
            “Datin dan Datuk sihat?” tanya Puan Hashimah apabila mereka berdua sudah melabuhkan punggung di kerusi.
            “Sihat saja Shimah. Abang Haji kamu mana? Dia sihat? Tak nampak pun dari tadi,” kata Datuk Suffian lagi.
            “Dia macam tu jugaklah Datuk. Dia pergi ke kebun kejap,” jawab Puan Hashimah.
            “Semua ni anak kamu ke Shimah?” tanya Datin Adibah apabila pandangannya beralih ke arah anak-anak Puan Hashimah yang berdiri sedari tadi. Pasti mereka semua tertanya-tanya siapa gerangan tetamu itu.
            “Along, angah, adik mari sini. Umi nak kenalkan kamu semua dengan tetamu yang datang ni.” Puan Hashimah memanggil ketiga-tiga anaknya itu. Mereka semua mengatur langkah mendekati tetamu dan bersalaman. Tidak lama kemudian, muncul pula kelibat Haji Ramli yang baru saja pulang tadi kebun. Dia terkejut dengan kehadiran tetamu yang datang ke rumahnya. Dia tersenyum dan terus memeluk Datuk Suffian. Bertambah hairanlah anak-anaknya semua dengan tindakan Haji Ramli sebentar tadi. Dah macam jejak kasih pula.
            “Along, angah, adik, inilah bekas majikan abah dulu, Datuk Suffian dan Datin Adibah. Dulu, abah pernah kerja dengan jadi drebar Datuk Suffian. Masa itu kamu semua masih kecil lagi. Abah pernah bawak kamu semua berkunjung ke rumah Datuk Suffian dan Datin Adibah. Kalau tak silap masa tu, Datuk Suffian dan Datin Adibah buat kenduri kesyukuran untuk anaknya Badrul. Betul tak Datuk? Mungkin kamu semua tak ingat. Masa tu, Qabil dan Qis masih kecil lagi. Qausar pulak baru beberapa bulan lahir,” terang Haji Ramli. Barulah anak-anaknya tahu kenapa umi dan abahnya terkejut sangat dengan kehadiran tetamu tadi. Rupanya bekas majikan abahnya dulu.
            “Jadi, yang ini Qistina Alesya? Wah, dah makin cantik sekarang. Dulu kamu pernah bermain dengan anak uncle yang kedua namanya Badrul. Mesti kamu tak ingatkan,” terang Datuk Suffian lagi. Dia melihat muka Qistina yang sudah berkerut-kerut. Nampak sangat Qistina tak ingat zaman dia masih kecil lagi.
            “Kalau macam tu, Datuk dan Datin makan tengah hari sajalah kat sini. Sambil tu boleh kita berbual panjang. Dah lama kita tak jumpa kan,” beritahu Haji Ramli.
            “Tak payahlah, buat susah-susah kamu saja.”
            “Tak susah pun Datuk, Datin,” kata Haji Ramli lagi. Kemudian, Haji Ramli menyuruh isterinya Puan Hashimah ke dapur untuk memasak makanan tengah hari itu. Qistina turut membuntuti Puan Hashimah dibelakang membantu uminya.
            “Oh ya, anak kamu Qistina tu dah berpunya ke abang Haji?” tanya Datin Adibah seperti sudah terpikat dengan Qistina.
            “Sebenarnya Datuk, Datin, Qis dah bertunang dan tak lama lagi akan berkahwin dengan pilihannya, tetapi tak sangka pula saya mereka berdua sudah berpisah. Segala persiapan untuk majlis perkahwinan tu semua dah tempah, tapi mereka pula yang tak jadi kahwin,” luah Haji Ramli. Datin Adibah dan Datuk Suffian kelihatan terkejut dengan pengakuan dari Haji Ramli itu. Qistina juga turut terkejut mendengarnya. Macam mana abahnya boleh tahu tentang masalah itu. Padahal, abahnya tiada di rumah. Mulut siapalah yang canang pergi cerita semuanya dekat Haji Ramli. Qistina dah mula risau memikirkannya.
            “Macam mana boleh jadi macam tu pulak abang Haji?” tanya Datuk Suffian.
            “Entahlah Datuk, tadi masa saya singgah pergi minum dekat warung depan simpang sana tu, ada orang beritahu pada saya. Saya pun terkejut jugak. Nampaknya, terpaksalah kami buat jugak kenduri tu. Duit cengkeram pun kami dah bayar, tapi dah kira burn pulak. Terpaksalah jadikan kenduri kahwin tu sebagi kenduri kesyukuran pula. Kira bersedekah bagi orang kampung makanlah Datuk,” terang Haji Ramli sambil melepaskan keluhan perlahan-lahan. Hampa.
            “Bersabarlah abang Haji, nak buat macam mana mulut orang kita memang tak boleh nak tutup,” kata Datuk Suffian. Dia cuba menenangkan Haji Ramli. Pasti fikirannya kusut sekarang ini.
            “Lupa pulak saya Datuk, macam mana dengan Badrul sekarang ini? Dia dah kahwin? Dia dah kerja dengan Datuk? Dah lama saya tak jumpa dengan dia. Entah, dia masih ingat pada saya lagi ke tidak. Mesti segak sekarang ini,” puji Haji Ramli pula.
            “Macam tu jugaklah abang Haji, dia masih tak mahu kerja dengan saya. Nak berdikari katanya. Tak tahulah saya dengan perangai Badrul ni. Abang dengan adiknya tidaklah sedegil sangat macam dia,” beritahu Datuk Suffian. Selepas itu masing-masing ketawa. Mengimbas peristiwa masa dulu-dulu.
            “Qis, dah siap ke semua bahan-bahan yang nak masak tu?” tanya Puan Hashimah. Dia pelik Qistina masih tidak menyahut. Qistina sedari tadi, memasang telinga mendengar perbualan abahnya dengan tetamu yang berada kat ruang tamu. Qistina berfikir siapa pulaklah Badrul ini. Dari dari asyik sebut nama tu saja.
            “Qis!” panggil Puan Hashimah lagi. Qistina terus terkejut.
            “Hah, ada apa Umi?” tanya Qistina mengelabah.
            “Umi tanya tadi, Qis tak menyahut pun. Qis dah siapkan semua bahan-bahan yang umi suruh sediakan tadi ke?” kata Puan Hashimah lagi.
            “Oh! Dah siap umi,” Qistina terus menyerahkan kesemua bahan-bahan tadi kepada Puan Hashimah. Puan Hashimah hanya menggelengkan kepalanya saja. Apalah yang Qistina fikirkan tadi sampai tak sedar dia panggil.
            Setelah selesai memasak dan menghidang untuk hidangan makan tengah hari itu, Puan Hashimah dan Haji Ramli menjemput Datuk Suffian dan Datin Adibah makan. Mereka keluarga duduk menyimpuh, untuk menjamu selera. Datuk Suffian dan Datin Adibah begitu teruja dengan lauk-pauk yang terhidang, ternyata membuka seleranya. Baginya, sudah lama dia tidak makan lauk-pauk kampung seperti ini. Sampai terliur apabila ternampak sambal belacan berserta ulam-ulaman. Setelah Qabil membaca doa makan, mereka semua menikmati hidangan tengah hari itu dengan penuh berselera sekali.
            “Terima kasihlah abang Haji sekeluarga, kerana jemput kami berdua makan tadi. Kami minta diri dululah. Pasal yang kita bincang tadi tu, abang Haji berbincanglah dulu dengan keluarga abang Haji dulu, kalau dah buat keputusan beritahu pada saya,” ucap Datuk Suffian. Qistina sedikit terkejut apabila Datuk Suffian berkata begitu kepada abahnya.
            “Insya Allah.  Kalau kami dah buat keputusan, kami beritahu pada Datuk dan Datin,” balas Haji Ramli semula. Selepas itu, kereta Mercedez Benz berwarna hitam itu meluncur dengan lajunya meninggalkan kawasan rumah mereka sekeluarga.
            “Qis, abah dan umi ada sesuatu nak bincangkan dengan Qis sikit,” ucap Haji Ramli. Berat mulutnya untuk meluahkan hajat Datuk Suffian dan Datin Adibah sebentar tadi.
            “Apa dia abah?” Sambil memandang wajah Haji Ramli, kemudian berpaling ke wajah Puan Hashimah pula.
            “Sebenarnya tadi, Datuk Suffian dan Datin Adibah datang merisik Qis untuk anaknya Badrul.” Qistina terkejut dengan pengakuan dari bibir Haji Ramli tadi.  “Abah dan umi tak memaksa Qis untuk menerima pinangan dari Datuk Suffian dan Datin Adibah tadi, tapi abah nak Qis fikir dulu mana yang terbaik untuk Qis. Abah juga terima apa saja keputusan dari Qis. Qis fikirkan juga tentang majlis persiapan yang telah kita aturkan itu, abah tak nak keluarga kita dapat malu,” luah isi hati Haji Ramli. 
          Tergamam Qistina apabila mendengar luahan dari Haji Ramli tadi. Bebanan yang ditanggungnya kian bertambah. Bagaimana harus dia untuk membuat keputusan. Kesian kepada keluarganya, sekiranya dia menolak pinangan daripada keluarga Datuk Suffian itu, dan bagaimana pula jikalau dia menerima pinangan dari keluarga Datuk Suffian, Qistina tak kenal pun dengan anaknya Badrul. Mereka memang tidak mengenali diantara satu sama lain. Bagaimana dengan hidup Qistina nanti, apabila sudah berkahwin dengan Badrul. Argh… Qistina harus memikirkan yang terbaik untuk dirinya dan juga maruah keluarganya.

1 ulasan: