Senarai Kawan

Ahad, 8 April 2012

Aku Juga Mencintaimu-Bab 11


HARI minggu datang lagi! Kali ini Qistina bercadang untuk berehat saja di rumah memandangkan pada minggu lepas Hisyam sudah mengajaknya pergi membeli barang untuk dibuat hantaran pada majlis perkahwinan mereka yang bakal tiba tidak lama lagi. Kedengaran telefon bimbit Qistina yang diletakkan di atas meja makan berbunyi segera minta diangkat. Qistina yang sedang berada di dapur sedang mencuci pinggan terus bergegas mendapatkan telefon bimbitnya. Qistina membiarkan telefon bimbitnya berbunyi nyaring, dia takut jika ada panggilan penting dari kampung.
            Namun, apabila dia memandang nama yang tertera di skrin telefon membuatkan dia berfikir… ‘nak angkat ke tak…’ hatinya berkira-kira sendiri. Tanpa membuang masa, Qistina terus menjawab panggilan daripada Hisyam.
            “Assalamualaikum Qis,” ucap Hisyam memberi salam.
            “Wa’alaikumsalam,” jawab Qistina.
            “Syam tak mengganggu Qis ke?” tanya Hisyam lagi.
            “Tak adalah, Qis pun baru aje lepas makan malam,” tambahnya lagi.
            “Sebenarnya, mama minta Syam jemput Qis makan tengah hari di rumah esok. Sambil tu, nak kenalkan Qis dengan along dan Ainaa. Kebetulan Ainaa tu, tengah cuti semester. Kami berkumpul satu keluarga,” beritahu Hisyam dengan panjang lebarnya.” Datin Adibah dan Datuk Suffian dikurniakan tiga orang anak yang pertama Amirul yang bekerja sebagai doktor dan yang seorang lagi Ainaa masih menuntut pelajaran di UiTM. Masa inilah, Qistina kena mengambil peluang untuk mengenali keluarga Hisyam dengan lebih dekat lagi. Nanti bila ada orang tanya, tak adalah terkebil-kebil nak menjawab!
            “Kalau macam tu Qis setuju. Tapi Syam kena ambil Qis kat rumahlah. Boleh?” beritahu Qistina.
            “Esok pukul sebelas pagi Syam ambil Qis kat rumah.”
            “Okey,” kata Qistina. Selepas itu dia terus mematikan talian telefonnya. Baru saja dia berangan nak berehat saja di rumah, alih-alih keluarga Hisyam pula mengajaknya untuk makan tengah hari bersama.
            Jam tepat menandakan pukul 11.00 pagi, Qistina telah bersiap. Tidak mahu membiarkan Hisyam lama menunggunya. Apabila terdengar saja bunyi hon dari luar rumahnya terus saja Qistina bergegas menuju ke arah kereta Hisyam. Qistina terus melabuhkan punggungnya duduk di sebelah Hisyam.
            “Kita datang bertandang ke rumah keluarga Syam tak payah bawak buah tangan ke?” tanya Qistina sebaik saja Hisyam memberhentikan keretanya dihadapan sebuah rumah banglo dua tingkat tu.
            “Tak apa, mama tak marah pun. Lagipun semua barang masakan mama dah beli. Nanti boleh Qis tolong mama masak sekali. Syam teringin nak makan makanan dari air tangan Qis,” beritahu Hisyam sambil mengeyitkan matanya. Perli nampak! “Jom kita masuk mama dah tunggu tu,” katanya lagi. Qistina terpegun apabila memandang suasana disekeliling kediaman keluarga Hisyam. Tampak tersusun dan teratur. Lebih-lebih lagi banyak pokok-pokok bunga yang tersusun di sepanjang pintu masuk rumah banglo itu. Tidak lupa juga, ada sebuah gazebo jika tetamu ingin mengambil angin diluar rumah. Qistina terpegun melihatnya. Hisyam tersenyum melihat gelagat Qistina itu. Pasti Qistina terpegun melihat susunan pokok-pokok bunga yang pelbagai jenis yang tersusun atur di sepanjang pintu masuk rumahnya itu. Memang Hisyam akui mamanya memang suka menanam pelbagai jenis pokok-pokok bunga. Dia tidak membantah hobi kegemaran mamanya itu.
            “Assalamualaikum,” ucap Qistina apabila sudah berada dihadapan pintu masuk.
            “Wa’alaikumsalam,” balas Datin Adibah. Terus saja Qistina menghulurkan tangan bersalam dengan Datin Adibah dan menciumnya. Selepas itu Datin Adibah terus memeluk Qistina. Qistina tergamam dengan kelakuan Datin Adibah. Dia tidak menyangka Datin Adibah bukanlah seorang yang sombong dengan kekayaan yang ada seperti kebanyakkan orang kaya lain. Timbul rasa hormat Qistina kepadanya.
            “Dahlah tu ma, nanti Qis rimas pula,” tegur Hisyam secara tiba-tiba apabila dia melihat Datin Adibah seperti tidak mahu melepaskan pelukannya. Datin Adibah segera melonggarkan pelukannya.
            “Jemput masuk Qis. Mari mama kenalkan Qis dengan anak-anak mama yang lain,” kata Datin Adibah sambil memaut tangan Qistina masuk ke dalam rumahnya. Qistina dibawa ke ruang tamu kelihatan beberapa orang sudah menunggunya sambil melempar senyuman.
            “Mama kenalkan yang ni Amirul anak yang sulong dan yang ini pulak Ainaa anak bongsu mama,” perkenal Datin Adibah kepada Qistina dengan anak-anaknya.
            “Nampaknya, mama yang tak sabar nak terima menantu. Belum apa-apa lagi, dah bahasakan diri mama,” sindir Amirul. Qistina hanya tersimpul menahan malu apabila di sindir sebegitu.
            “Mestilah mama suka, nak harapkan Mirul tu kahwin, kempunanlah mama,” kata Datin Adibah. Semua yang berada di situ turut ketawa apabila Datin Adibah berkata begitu. ‘Tulah padan muka, tak pasal-pasal aku yang kena balik!’ bisik hati Amirul. “Qis, tolong mama masak kat dapur boleh?” tanya Datin Adibah lagi.
            “Qis boleh aje Datin.”
            “Apa pulak Datin, panggil mama,” usik Datin Adibah.
            “Baik ma…mama,” ucap Qistina perlahan. Malu apabila disuruh panggil begitu. Hisyam tersenyum memandang Qistina. Ketawalah tu!
            “Kalau macam tu, marilah kita ke dapur. Nanti berborak lama-lama tak masak pulak kita,” beritahu Datin Adibah lagi sambil mengatur langkahnya menuju ke arah dapur. Qistina hanya mengikuti langkah Datin Adibah dari belakang.
            “Along, kalau nak cari calon buat isteri, cari macam Kak Qis tu. Cantik orangnya. Ainaa suka. Betul tak angah?” tanya Ainaa kepada kedua-dua abangnya. Ainaa cepat-cepat berlari menuju ke arah dapur apabila Amirul hendak mencubitnya.
            “Sudahlah tu long, macam budak-budak. Dengan adik pun nak bergaduh,” kata Hisyam cuba mententeramkan Amirul.
            “Bukan apa, adik tu selalu sangat mengusik along. Along bukannya tak nak kahwin, cuma belum jumpa dengan calon yang sesuai lagi,” luah Amirul. Kata-kata daripada Amirul sebentar tadi memberi maksud yang tersurat. Hisyam tahu, alongnya itu terlalu tumpukan perhatian sepenuhnya terhadap kerja sampai nak cari calon isteri pun tak ada masa. Bukan dekat klinik tu tak ada calon yang buat dirinya berkenan, cuma dia belum bersedia untuk berumah tangga. Biarlah masa yang menentukan. Dia cuma boleh berdoa supaya dipertemukan dengan seseorang yang boleh mengetuk pintu hatinya.
            Sementara di dapur, Qistina dan Ainaa sibuk menyediakan bahan-bahan untuk dimasak untuk hidangan tengah hari.
            “Mama nak masak apa hari ini?” tanya Qistina.
            “Mama ingat nak buat nasi tomato, ayam masak merah dan arca sikit. Macam mana okey tak?” tanya Datin Adibah lagi.
            “Okey aje. Qis tak kisah, tolak batu dan kayu aje,” gurau Qistina. Datin Adibah dan Ainaa turut ketawa apabila Qistina berkata begitu. Nampaknya Qistina sudah mula mesra dengan keluarganya. Pandai pula Qistina buat lawak!
            Usai saja mereka semua menikmati hidangan tengah hari itu, Qistina meminta diri untuk menunaikan solat zohor. Hisyam membawa Qistina ke biliknya untuk mengambil wuduk dan menyediakan telekung dan sedajah buat Qistina. Qistina terpegun memandang keadaan di dalam bilik Hisyam itu. Warna unggu muda yang di hias pada dinding dan setiap sudut tampak begitu indah sekali. Bukan ke itu warna kegemaran Qistina, tak akan Hisyam juga meminati warna itu. Jarang lelaki sukakan warna itu. Pelik!
            “Kenapa Qis pandang macam tu? Tak suka dengan warna ni ke?” tanya Hisyam sambil matanya memandang Qistina seperti terkejut.
            “Tak, tak ada apa-apa. Cantik bilik Syam. Qis suka,” beritahu Qistina.
            “Betul ni?” tanya Hisyam semula. Qistina terus menganggukkan kepalanya saja. Yalah, tu, kan warna kegemaran Qistina. Mestilah dia suka! “Qis, boleh ambil wuduk kat sana,” sambil menuding jarinya ke arah bilik air. “Qis, jangan malu-malu. Buat seperti bilik Qis sendiri. Lagipun tak lama lagi, bilik ni akan jadi bilik Qis jugakan,” usik Hisyam lagi. “Syam keluar dulu.” Hisyam terus mengatur langkah keluar daripada bilik itu dan menutup pintu bilik tersebut. Qistina masih terkebil-kebil, fikirannya melayang masih terfikir kata-kata yang keluar daripada mulut Hisyam sebentar tadi. Tanpa membuang masa, Qistina terus mengambil wuduk dan terus mengerjakan solat zohor.
            Hari sudah menginjak ke petang, Qistina meminta diri untuk pulang. Masih banyak kerja yang masih tertangguh. Hisyam menghantar Qistina menaiki keretanya.
            “Qis, Syam nak ucap terima kasih kerana sudi meluangkan masa makan bersama keluarga Syam,” kata Hisyam apabila suasana senyap tanpa sebarang kata.
            “Qis tak kisah. Sekurang-kurangnya Qis dapat berkenalan dengan keluarga Syam dengan lebih dekat lagi,” beritahu Qistina. Suasana kembali senyap seperti tadi. Hisyam memandu kereta dengan penuh khusyuk, sesekali matanya memandang ke arah Qistina yang asyik memandang di luar cermin kereta. Beberapa minit kemudian, akhirnya Hisyam memberhentikan keretanya dihadapan rumah sewa Qistina.
            “Syam, terima kasih kerana hantar Qis balik. Hati-hati bawa kereta,” ucap Qistina lagi. Hisyam hanya menganggukkan kepalanya saja. Kereta yang dipandu oleh Hisyam hilang sekelip mata jauh dari kawasan perumahan itu. Qistina terus mengatur langkahnya masuk ke dalam rumah. Sampai saja di bilik, Qistina terus merebahkan dirinya ke atas katil. Dia ingin berehat sebentar. Penat dibadannya masih belum hilang lagi. Hampir seharian dia meluangkan masa ke rumah keluarga Hisyam. Ternyata keluarga Hisyam sungguh baik hati. Tidak seperti kebanyakkan orang kaya yang lain. Hari ini Qistina dapat mengenal ahli keluarga Hisyam dengan lebih dekat lagi. Sekurang-kurangnya Qistina dapat menilai peribadi Hisyam. Lebih banyak Qistina termenung, bertambah runsing fikirannya. Dengan langkah yang malas, Qistina terus bangun dari katilnya dan terus mencapai tuala untuk mandi. Tinggal beberapa minit saja lagi untuk masuk solat maghrib. Kata umi, tak baik mandi waktu senja-senja!
            Selepas Qistina menunaikan solat maghrib, Qistina terus duduk di balkoni yang terletak dibiliknya. Sekejap saja masa berlalu, tinggal beberapa hari saja lagi dia akan melangsung majlis perkahwinannya dengan Hisyam. Semua persiapan untuk majlis perkahwinan itu telah dibuat, tinggal kad jemputan saja lagi masih belum diedarkan. Siang tadi, semasa dia menziarah ke rumah keluarga Hisyam, Datin Adibah sempat berbincang tentang persiapan majlis perkahwinan nanti dan terus menyerahkan kad jemputan kahwin. Semua kos perbelanjaan ditanggung oleh keluarga Hisyam. Sedang Qistina asyik melayan fikirannya, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya berbunyi, terus saja Qistina mencapai telefonnya yang diletak di atas katil semasa di pulang dari rumah Hisyam petang tadi.
            “Assalamualaikum Qis,” kedengaran suara Puan Hashimah memberi salam.
            “Wa’alaikumsalam umi,” jawab Qistina keriangan. Seronak apabila mendengar suara uminya itu.
            “Umi nak ingatkan Qis supaya mohon cuti awal takut tak dapat pulak. Qis tu nak kahwin tak lama lagi,” beritahu Puan Hashimah.
            “Yang itu umi jangan risau. Qis dah mohon awal-awal lagi,” balas Qistina. Sememangnya dia telah memohon cuti awal cuma dia masih belum mendapatkan jawapan daripada Encik Kamal selaku bosnya.
            “Pasal persedian itu Qis jangan risau. Kami semua dah uruskan. Sekarang ni, tinggal nak tunggu hari saja untuk kamu bernikah. Oh ya, kamu mula cuti bila?” tanya Puan Hashimah lagi.
            “Kalau diikutkan borang cuti yang Qis mohon, seminggu sebelum majlis akad nikah tu,” beritahu Qistina dengan penuh yakin.
            “Elok sangatlah tu. Dahlah, Qis jangan ingat lagi peristiwa lama. Tak lama lagi Qis dah nak jadi isteri orang, Qis kena lupakan semua tu. Cuba bukak pintu hati Qis tu untuk terima Syam. Umi yakin, Syam tu pilihan yang terbaik buat diri Qis,” terang Puan Hashimah. Dia tidak mahu Qistina mengingati lagi peristiwa lama. Bialah Qistina memulakan kehidupannya yang baru.
            “Umi jangan risau, Qis faham,” kata Qistina.
            “Baguslah kalau macam itu, umi sentiasa mendoakan kebahagian untuk Qis. Jangan lupa edarkan kad jemputan tu semua. Tadi Datin Adibah telefon umi, beritahu kad jemputan dah bagi Qis, kat kampung ni umi dah jemput semua. Jangan tidur lewat sangat. Esok pagi nak kerjakan,” kata Puan Hashimah lagi.
            “Baiklah umi. Assalamualaikum,” Qistina terus saja mematikan talian telefonnya.
            Awal pagi lagi Qistina sudah berada di pejabat.  Kelihatan sudah ada tiga orang pekerja yang tiba awal sepertinya juga. Qistina mengambil masa yang ada untuk mengedarkan kad jemputan kahwinnya kepada rakan-rakan di tempat kerja. Kecoh satu pejabat, ada segelintir pekerja  masih tidak percaya bahawa Qistin akan berkahwin dengan Hisyam. Semasa Hisyam masih lagi bekerja di syarikat yang sama, tiada pula tanda-tanda yang mengatakan mereka berdua bercinta. Alih-alih, terus dapat kad jemputan kahwin. Ternyata ramai rakan sekerja terkejut mendengar berita ini. Mereka tidak menyangka Qistina dan Hisyam akan berkahwin tinggal beberapa hari saja lagi. Apabila rakan sekerjanya sibuk bergosip, Qistina dipanggil oleh bosnya Encik Kamal dibiliknya. Qistina terus mengaturkan langkahnya menuju ke arah bilik Encik Kamal itu.
            Tiba saja di depan pintu bilik bosnya itu, Qistina terus mengetuk daun pintu. Apabila terdengar arahan masuk diberikan, Qistina pantas memulas tombol pintu pintu. Qistina menlangkah masuk ke dalam bilik dan ternampak Encik Kamal memandangnya. Kecut perut Qistina, tak akan Encik Kamal mahu memarahinya pulak. Rasanya dia tidak buat sebarang kesalahan yang menyalahi undang-undang syarikat.     
            “Jemput duduk dulu Qis,” pelawa Encik Kamal. Qistina terus melabuhkan punggungnya duduk di kerusi yang telah disediakan dibilik itu. Hati Qistina berdebar-debar.
             “Pasti awak tertanya-tanya kenapa saya mahu berjumpa dengan awakkan?” tanya Encik Kamal sambil tersengih. Boleh pulak dia buat lawak lagi! Aku kat sini dah kecut perut!
            “Ya, Tapi kenapa Encik Kamal mahu berjumpa dengan saya?” tanya Qistina semula.
            “Begini, mengenai cuti yang awak mohon tu, saya dah luluskan,” beritahu Encik Kamal. Terus berubah air muka Qistina. Dia begitu gembira apabila cutinya sudah diluluskan. “Tapi saya tak sangka pulak, yang awak akan berkahwin dengan Hisyam,” kata Encik Kamal lagi.
            “Sebenarnya Encik Kamal, keluarga kami berdua yang aturkan rancangan ni. Saya ikut aje cadangan orang tua tu. Saya pun tak sangka pilihan keluarga saya adalah Hisyam. Saya juga baru mendapat tahu rupa-rupanya, ayah saya pernah bekerja dengan ayah Hisyam semasa dia muda-muda dulu. Kiranya, ayah Hisyam tu kenalan lama ayah saya jugaklah,” jelas Qistana bersungguh. Dia tidak mahu menceritakan hal yang sebenarnya kepada Encik Kamal yang dia terpaksan berkahwin dengan Hisyam. Biarlah itu menjadi rahsia peribadinya!
            “Oh, macam itu rupanya. Baru saya faham. Kalau begitu, saya doakan semoga kamu berdua bahagia hingga ke akhir hayat. Pilihan keluarga adalah pilihan yang paling baik. Awak tak akan menyesal suatu hari nanti malah awak akan berterima kasih kepada kedua orang tua awak. Ingat kata-kata saya tu,” beritahu Encik Kamal sambil memberi nasihat yang berguna kepada Qistina. Qistina akan pegang kata-kata Encik Kamal itu sebagai satu pengajaran buat dirinya nanti.
            “Kalau macam tu, saya mintak keluar dulu. Encik Kamal jangan lupa datang ke majlis kami nanti,” beritahu Qistina lagi sebelum dia lenglangkah keluar daripada bilik itu.
            “Insya-Allah,” jawab Encik Kamal ringkas. Qistina terus memulas daun pintu semula dan mengatur langkah keluar daripada bilik itu semula.
            Syafiq tengah khusyuk mengadap kerja dibiliknya. Kecoh satu pejabat mendengar cerita mengenai Hisyam yang akan berkahwin dengan Qistina. Syafiq turut mendapat kad jemputan daripada Qistina. Dia turut gembira apabila mendengar berita tersebut cuma dia hairan mengapa Hisyam sendiri tidak menceritakan tentang perkara ini. Tak kan Hisyam sudah melupakan dirinya selaku teman baik kepada Hisyam. Yang jelas, dia mahu mendengar sendiri perkara ini dengan mulut Hisyam sendiri. Sedang Syafiq sibuk mengadap skrin monitornya, tiba-tiba kedengaran telefon bimbitnya berbunyi, pantas Syafiq terus mencapai telefonnya itu. Alangkah gembira hatinya apabila memandang nama yang tertera di skrin telefon bimbitnya itu. Macam tahu-tahu saja!
            “Assalamualaikum Fiq,” Hisyam memberi salam.
            “Wa’alaikumsalam, kau ni macam tahu-tahu aje aku tengah mengumpat kau,” beritahu Syafiq ketawa.
            “Ya ke?” tanya Hisyam sambil ketawa juga.
            “Kau ada apa telefon aku ni?” tanya Syafiq lagi.
            “Aku nak jumpa dengan kau lepas habis kerja petang nanti. Macam-mana boleh tak?” Hisyam bertanya lagi.
            “Okey, petang ni aku jumpa kau kat tempat biasa.”
            “Okey set,” jawab Hisyam sebelum mematikan talian telefonnya. Syafiq tersenyum tidak menyangka Hisyam menelefon dan mengajaknya berjumpa. Pasti ada sesuatu yang mahu dibicarakan oleh Hisyam kepadanya nanti. Emm, tak sabar rasanya nak tahu cerita daripada mulut Hisyam sendiri. Seperti yang dijanjikan Hisyam sedang menunggu Syafiq di Cafe Selera Idaman yang terletak tidak jauh dari tempat Hisyam dan Syafiq melepak dulu. Syafiq tersenggih apabila memandang Hisyam yang berdiri tidak jauh daripada tempat dia berdiri. Segera Syafiq mendekati Hisyam dengan lebih dekat lagi.
            Hello bro? Dah lama kita tak jumpakan? Apa khabar kau sekarang?” soal Syafiq bertalu-talu. Seperti tidak sabar mendengar cerita daripada mulut Hisyam sendiri.
            “Aku sihat aje, macam yang kau tengah tengok sekarang ni. Macam-mana dengan kerja kau? Dengar cerita dah naik pangkat sekarang ni!” sindir Hisyam.
            “Biasalah, kerja mana pernah habis. Ala… bukannya apa, ganti tempat kau aje,” beritahu Syafiq semula. “Oh ya, dengar cerita kau nak kahwin tak lama lagi. Tak cerita pun kat aku, tiba-tiba aje aku dah dapat kad jemputan kahwin korang berdua. Apa cerita ni!” Syafiq berterus-terang.
            “Baguslah kau dah dapat kad jemputan kahwin kami. Kau jangan lupa datang pulak nanti. Ajak sekali Sarah. Kau tu bertunang dah lama, kahwinnya bila? Sendiri mahu ingatlah!” terang Hisyam lagi.
            “Pasal tu, kau jangan risaulah. Aku mesti datang punya. Kawan baik aku sendiri yang kahwinkan. Aku tunggu kau kahwin dulu dengan Qis, lepas tu baru aku dan Sarah pulak,” jelas Syafiq sambil ketawa.
            “Yalah tu.”
            “Betullah, lepas kau kahwin ni, tak lama lepas tu aku dengan Sarah pulak yang akan menyusul. Aku dengan Sarah pun tengah buat persediaan sikit-sikit. Tak lama lagi. Jangan risau, aku mesti jemput kau punya,” beritahu Syafiq.
            “Baguslah kalau macam tu! Aku bukannya apa, cuma kesian aje kat Sarah tu, dah lama sangat tunggu kau,” perli Hisyam.
            “Sekarang ni, aku nak tanya kat kau. Macam mana kau tiba-tiba aje boleh kahwin dengan Qis. Kalau tak silap akulah, majlis perkahwinan Qis dengan Fir dulu bukan ke dah dibatalkan?” tanya Syafiq lagi.
            “Okey, aku akan cerita. Tapi, kau kena janji dulu rahsiakan perkara ni. Aku tak mahu sesiapa yang tahu pasal hal ni lagi, kata Hisyam lagi.”
            “Okey, aku janji,” beritahu Syafiq sambil mengangkat tangannya.
            “Sebenarnya, majlis perkahwinan Qis dulu memang tak boleh dibatalkan sebab semua peralatan yang nak guna masa majlis kenduri tu dah ditempah oleh keluarganya.
 Keluarga Qis, tak mahu mendapat malu jika perkara ni diketahui oleh penduduk kampung. Kebetulan, keluarga aku datang melawat kawan lamanya, rupa-rupanya ayah Qis tu bekas pekerja papa aku. Nak di jadikan cerita, ayah Qis pergi ceritakan masalah ni pada keluarga aku dan pada masa yang sama, mama aku terus meminang Qis untuk aku. Pada mulanya memang aku tak tahu langsung, Qis itulah orangnya, aku bersetuju aje sebab tak mahu kecilkan hati kedua orang tua aku. Aku terima saja sesiapa pilihan mereka. Akhirnya, keluarga aku bawa pergi aku berkenalan dengan keluarga Qis, bila aku dapat tahu yang Qis tu orangnya, alhamdulillahlah…aku bersyukur sangat cuma Qis aje yang tak boleh terima aku. Dia bersetuju pun sebab tak mahu keluarganya mendapat malu,” luah Hisyam. Lega hatinya apabila menceritakan masalah yang dipendamnya kepada Syafiq. Syafiq turut bersimpati dengan nasib yang menimpa Hisyam itu.
            “Syam, aku tabiklah pada kau! Walaupun Qis tak boleh terima kau, tapi kau tetap bersetuju nak teruskan majlis ni. Kalau aku jadi kau tak tahulah macam-mana Syam. Aku turut bersimpati pada kau. Aku cuma   boleh mendoakan kebahagian kau dan Qis,” ucap Syafiq sambil menggenggam tangan Hisyam.
            “Emm, dahlah tu. Perkara dah jadi nak buat macam-mana. Dah nasib aku. Aku cuma berdoa saja kepada Allah untuk kebahagian aku. Kau tahukan aku memang dah lama sukakan Qis, jadi aku tak mahu Qis dikecewakan lagi. Yang penting aku nak Qis bahagia,” katanya lagi. Itu janji dia!
            “Baguslah, kalau kau fikir macam tu. Borak-borak jugak, aku dah lapar ni. Tak sabar nak jumpa dengan kau, sampai tak sempat aku nak makan tengah hari tadi. Cepat-cepat aku siapkan kerja aku tau,” kata Syafiq. Akhirnya mereka berdua melepaskan ketawa. Lucu! Selesai saja mereka berdua makan, akhirnya mereka berdua meminta diri untuk pulang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan