Senarai Kawan

Isnin, 11 Jun 2012

Aku Juga Mencintaimu-Bab 15


HAMPIR tiga minggu Qistina bercuti, akhirnya hari ini dia mula bekerja semula. Tak sabar rasanya ingin berjumpa dengan kawan-kawan sepejabat. Rindu sangat pada mereka semua. Bila di fikirkan semula, mahu saja Qistina menyambung cutinya lagi tetapi memandangkan teringatkan kerja yang masih tertangguh, dibiarkankan saja niatnya itu. Nanti tak pasal-pasal kena marah dengan bos bercuti lama-lama. Harap-harap apabila Qistina tiba di pejabat nanti, Encik Kamal tidak memarahinya. Qistina menyanyi-nyanyi kecil sambil mengatur langkahnya menuju ke tempatnya.
             “Selamat pagi semua!” ucap Qistina lantang. Semua mata tertumpu kepadanya.
            “Wah! Pengantin baru dah masuk kerjalah,” usik Syafiq dengan wajah ceria.
            “Fiq, kau kalau tak kacau aku sehari tak boleh ke?” tanya Qistina kepada Syafiq. Syafiq sudah ketawa kegelian.
            “Alah… Kau ni Qis macam tak biasa pulak. Jadi, macam mana kehidupan selepas berkahwin ni? Hisyam ada dera kau tak?” Syafiiq perli Qistina.
            “Dahlah Fiq, aku malas nak cari gaduh dengan kau. Hari ini, banyak kerja yang aku kena buat. Dari kau mengusik aku, lebih baik kau balik ke bilik kau! Nanti kerja aku tak siap, kau jugak yang marah, kan,” kata Qistina.
            “Yalah, aku nak pergilah ni. Tak payah nak halau aku.” Syafiq terus berlalu meninggalkan Qistina yang sudah duduk ditempatnya. Qistina memulakan kerjanya seperti biasa. Dia menggelengkan kepalanya, banyak dokumen dan fail yang perlu dikemaskinikan dan disusun semula. Sempat ke nak siapkan kerja semuanya hari ni? Qistina melepaskan keluhannya perlahan-lahan. Qistina kelam-kabut mengangkat ganggang telefon yang berbunyi nyaring diatas mejanya.
            Hello,”  malas Qistina menjawab.
            “Hmm… Qis kau rasa kau nak aku tunggu kat lobi syarikat ni sampai pukul berapa? Sampai waktu balik ke?” soalan berbau sindiran menjamah telinga Qistina.
            “Tunggu? Buat apa kau tunggu aku? Aku tak ada janji apa-apa pun dengan kau,” lurus Qistina menyoal balas.
            “Weh, cuba kau tengok jam kat tangan kau tu, dah pukul berapa. Perut aku dah lapar ni!” Soffiya sudah hilang sabar. Hiii... Sakit ke kawan aku ni?
            Qistina mngikut arahan Soffiya. Spontan tangannya menepuk dahi.
            “Ya Allah! Aku lupalah Fiya. Kau tunggu aku kejap. Nak turun ni,” ucap Qistina sebelum meletakkan ganggang telefon. Qistina terus mencapai dompetnya dan berlari-lari anak menuju ke pintu lif. Sampai saja di lobi, Qistina melihat sabahat baiknya sudah menunggunya di situ.
            “Sorry Fiya, sorry sangat. Aku lupa,” ucap Qistina. Mereka semua ketawa melihat aksi gelabah Qistina itu.
            “Sudahlah, jom kita pergi makan,” kata Soffiya. Mereka semua mengatur langkah berjalan bersama-sama.
            “Makan kat tempat biasa ke?” Qistina bertanya.
            “Yalah, mana lagi kalau bukan warung Kak Limah tu, akak angkat Fiq,” spontan Soffiya membalas.
            “Aku pulak yang kena,” Syafiq menjawab. Masing-masing ketawa melihat reaksi Syafiq.
            Apabila semuanya sudah berada di meja makan Syafiq memulakan perbualan.
            “Sebelum nak makan ni, aku nak buat pengumuman sikit,” beritahu Syafiq. Qistina dan Soffiya terus memandang wajah Syafiq. “Aku nak jemput kau orang semua pergi ke majlis perkahwinan aku dengan Sarah,” sambil tangannya menyerahkan sampul yang berwarna putih kepada Qistina dan Soffiya.
            “Betul ke Sarah?” tanya Soffiya untuk meminta kepastian sekali lagi.
            “Betullah Fiya. Jangan lupa datang tau,” kata Sarah lagi.
            “Qis, kau jangan lupa beritahu Syam sekali. Hari itu aku dah janji dengan dia nak beritahu kalau kad jemputannya dah siap.” Syafiq cuba mengingatkan Qistina.
            “Aku tahulah. Nanti aku bagitahulah pada dia. Dahlah, jom kita makan. Aku dah lapar ni,” ujar Qistina. Akhirnya mereka berempat menikmati hidangan makan tengah hari itu dengan penuh berselera sekali. Setelah selesai semuanya, mereka kembali semula ke pejabat dan menyambung kerja masing-masing.
            Jam dimeja Qistina sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Segera Qistina mengemas dokumen dan menyusunnya semula. Selepas itu, Qistina mengambil beg tangannya dan menuju ke pintu lif untuk pulang.  Qistina memandu kereta Myvi kesayangannya dengan penuh berhemah. Sesekali matanya melirik jam di dashboard. Qistina mahu sampai  ke rumah sebelum Hisyam pulang. Nasib baik Mak Piah ada, tidak perlulah Qistina tergesa-gesa memandu keretanya.
            Selepas pulang dari bercuti di Cameron Highlands tempoh hari, Hisyam memberitahu Qistina yang dia akan membawa Qistina tinggal dirumahnya sendiri. Sudah agak lama rumah itu tidak berpenghuni, Hisyam juga telah mengambil seorang pembantu rumah yang dipanggil Mak Piah. Sepanjang, Hisyam dan Qistina duduk di rumah itu, Mak Piahlah yang banyak membantu Qistina membuat kerja-kerja rumah. Ada juga keluarga Hisyam, meminta Qistina dan Hisyam duduk di rumah bersama-sama tetapi Hisyam sendiri yang tidak mahu katanya, nak duduk berasingan dengan keluarga dan mahu berdikari sendiri. Keluarga Hiysan sendiri tidak membantah sedikit pun apabila Hisyam mahu tinggal berasingan dengan keluarganya. Hisyam juga banyak membantu Qistina membuat kerja rumah seperti mengemas bilik tidur mereka. Sudah hampir sebulan mereka berdua mendirikan rumah tangga, Hisyam masih tidur di sofa. Qistina juga masih belum bersedia menyerahkan haknya kepada Hisyam. Hisyam juga tidak pernah memaksa Qistina menyerahkan. Hisyam setia menunggu selama mana pun. Qistina terharu dengan layanan yang diberikan oleh Hisyam. Hisyam tidak pernah lalai menjalankan tanggungjwabnya sebagai seorang suami dengan memberi Qistina keperluan dari segi makan, pakai cukup semuanya. Hisyam juga tidak pernah merungut apabila Qistina memintanya tidur di sofa. Kadang-kadang, Qistina merasa kesian terhadap Hisyam kerana terpaksa lakukan semuanya itu.

SUDAH satu bulan Qistina dan Hisyam berkahwin namun hubungan mereka masih macam dulu. Nak kata gaduh, mereka masih bertegur sapa, masih bercakap macam pasangan lain cuma hubungan hubungan rapat mereka masih belum lagi hingga ke katil. Qistina masih belum bersedia untuk menjalankan kewajipannya yang satu itu. Kereta Qistina parkir elok di dalam garaj. Sebaik alarm kereta berbunyi menandakan yang kereta telah dikunci, Qistina melangkah masuk ke dalam rumah. Qistina terus meletakkan beg tangannya di sofa, segera dia menuju ke arah dapur. Qistina melihat Mak Piah sedang mengoreng sesuatu di dalam kuali. Qistina terus menegur Mak Piah. Nasib baik tak terkejut Mak Piah.
            “Mak Piah, goreng apa tu?” tegur Qistina. Mak Piah terus memalingkan wajahnya sambil tersenyum.
            “Qis dah balik. Mak Piah tak dengar pun bunyi kereta pun. Mak Piah tengah goreng ayam. Ingat nak buat ayam masak merah dan goreng sayur sikit,” terang Mak Piah.
            “Biar Qis yang buat ayam masak merah tu. Mak Piah goreng sayur aje boleh?” tanya Qistina. Pantas Mak Piah mengangguk. Qistina terus menyentengkan bajunya, kemudian dia pula mengambil alih tugas memasak lauk. Sekejap lagi, Hisyam pulang dari kerja pasti dia lapar. Duganya.
            “Dah siap pun. Nanti Mak Piah tolong hidangkan ya. Qis nak pergi mandi kejap,” ujarnya. Kemudian Qis terus berlari-lari anak menaiki tangga menuju ke biliknya. Mak Piah yang sedang menghidang makanan di atas meja makan terkocoh-kocoh berlari apabila mendengar bunyi enjin kereta memasuki garaj rumah. Barangkali, pasti Hisyam sudah pulang. Mak Piah terus membuka daun pintu rumah. Hisyam memandang sambil memberi salam. Mak Piah menyambut salamnya.
            “Qis, dah lama balik ke Mak Piah?” tanya Hisyam kepada Mak Piah sambil membuka kasut untuk masuk ke dalam rumah.
            “Dah lama jugak Syam, katanya nak pergi mandi. Tadi, dia baru aje siap memasak,” beritahu Mak Piah lagi. Hisyam menganggukkan kepalanya.
            “Hmm… tak apalah. Syam nak mandi dan solat dulu, lepas tu baru makan malam. Syam naik atas dulu.”
            Hisyam naik ke tingkat atas menuju ke biliknya. Di dalam bilik, Hisyam mencari kelibat Qistina tetapi tiada. Bunyi percikan air di dalam bilik air, tahulah Hisyam pasti Qistina tengah mandi lagi. Sambil menunggu Qistina selesai mandi, Hisyam terus merebahkan dirinya ke atas katil. Penat sangat hari ini. Banyak kerja di pejabat masih tertangguh semenjak dia bercuti tiga minggu. Memang tak menang tangan dia hari ni.
            Qistina yang melihat Hisyam tidur di atas katil, timbul rasa kesian. Pasti Hisyam letih sangat sampai boleh tertidur. Azan maghrib sudah berkumandang, Qistina terus mendekati Hisyam.
            “Bangun bang,” panggil Qistina sambil mengoncang badan Hisyam.
            “Hmm….” ucapnya perlahan dengan mata masih terpejam. Qistina memanggil dengan lebih kuat lagi. Nanti tak gerak mahu terbabas tidur sampai esok pagi ni! Hisyam masih lagi tidur. Apa nak buat ni! Qistina menggaru kepalanya yang tidak gatal. Tiba-tiba Qistina mendapat satu idea macam-mana nak kejutkan Hisyam. Kalau tak bangun jugak, tak tahulah nak buat macam mana lagi. Qistina cuba mendekatkan wajahnya ke wajah Hisyam lalu mencium dahi Hisyam.
            Secara automatik, mata Hisyam terus terbuka. Terkejut dengan perbuatan Qistina sebentar tadi. Hisyam cepat-cepat merapatkan bibirnya ke bibir Qistina. Qistina tergamam. Qistina terus meluru bangun dari katil tersebut. Hisyam bangun sambil tersenyum memandang wajah terkejut Qistina itu.
                “Abang sengaja ambil kesempatan, kan?!” Qistina bertanya sambil marah, keras dan tinggi nadanya.
            Eleh! siapa yang mulakan dulu? Qis tak boleh salahkan abang. Lagipun, abang nak cium isteri abang sendiri. Tak salahkan!” sindir Hisyam. Qistina hanya diam buat muka cemberut apabila Hisyam berkata begitu kepadanya.
            “Okey, okey, abang mintak maaf, abang tak sengaja tadi. Qis janganlah marah. Abang janji tak buat lagi,” kata Hisyam dengan nada memujuk Qistina.
            “Baiklah, kali ni Qis maafkan abang. Kalau abang buat lagi, siap abang Qis kerjakan!” ugut Qistina. Kemudian Hisyam tersenyum dengan karenah Qistina itu.
            “Abang pergi mandi dulu. Qis nak solat tunggu abang tau.” Hisyam terus mengambil tualanya dipenyidai dan terus masuk ke dalam bilik air. Setelah menunaikan solat maghrib, Qistina melipat semula telekung dan sejadah yang digunakan lalu digantungkan ditempatnya semula.
            “Abang, tadi Fiq bagi kad jemputan kahwin. Dia suruh Qis bagi pada abang,” beritahu Qistina sambil mencapai kad jemputan kahwin yang diletakkan diatas meja soleknya. Lalu menyerahkan kepada suaminya itu. Hisyam terus menyambutnya. Dibukanya sampul yang berwarna putih itu kemudian Hisyam membaca isi yang terkandung di dalamnya. Apabila selesai membaca, Hisyam melipat semula dan memasukkannya semula di dalam sampul surat putih itu semula.
            “Akhirnya kahwin jugak dia. Dah lama Fiq dengan Sarah tu bertunang,” luah Hisyam sambil melepaskankan keluhannya.
            “Tulah, dah memang jodoh Fiq dengan Sarah. Kita berdoa saja semoga hubungan mereka berdua berkekalan hendaknya,” ucap Qistina. Hisyam turut mendoakan kebahagian buat sahabatnya itu.
            “Nanti kita pergi majlis mereka berdua ya bang…” kata Qistina lagi.
            “Insya Allah.”
            “Sudahlah tu, mari kita turun makan. Abang mesti dah laparkan. Mak Piah dah hidangkan makanan tadi. Nanti sejuk tak sedap pulak,” ucap Qistina lagi. Hisyam dan Qistina turun menuruni tangga, kemudian terus mengaturkan langkahnya menuju ke ruang makan. Hisyam menarik kerusi dan terus melabuhkan punggunnya duduk di kerusi itu. Matanya tertumpu kepada hidangan yang terhidang di atas meja. Sungguh membuka seleranya!
            “Mak Piah, mari makan sekali,” pelawa Hisyam. Apabila ternampak kelibat Mak Piah yang sedang menuang air di dalam gelas.
            “Haah, marilah kita makan sama-sama,” ajuk Qistina sekali. Mak Piah akur, terus dia melabuhkan punggung di kerusi sekali. Setelah Hisyam habis membaca doa makan, mereka terus menikmati hidangan makan malam itu dengan penuh berselera sekali.
            Usai saja menikmati hidangan makan malam itu, Hisyam berehat di ruang tamu sambil menonton televisyen. Qistina datang kepada Hisyam setelah selesai mengemas meja makan sebentar tadi. Qistina melabuhkan punggungnya duduk disebelah Hisyam.
            “Abang, Qis cadang nak balik kampung Qis minggu ni? Boleh tak? Sejak kita kahwin, kita tak pernah balik kampung lagi kan? Tanya Qistina memulakan bicara. Harap-harap Hisyam tidak memarahinya. Hisyam diam seperti sedang berfikir.
            “Bagus jugak cadangan Qis tu. Boleh abang biasakan diri dengan keluarga Qis. Nanti Qis bawak abang jalan-jalan disekitar kampung Qis tu. Masa kahwin dulu, abang tak berpeluang pun,” ucap Hisyam teruja. Dia yang tak sabar nak balik kampung Qistina!
            “Betul ke bang?” tanya Qistina semula seperti tidak percaya.
            “Betullah sayang. Hari Jumaat Qis boleh ambil cuti tak? Kita balik lepas solat jumaat nanti,” cadang Hisyam.
            “Baiklah. Terima kasih bang.” Qistina begitu gembira sekali. Tidak sabar untuk pulang ke kampung halamannya. Sungguh dia merindui keluargany. Sejak berkahwin dengan Hisyam tiga minggu yang lalu, dia dan Hisyam masih belum berpeluang pulang ke kampung bersama-sama.
            Kali terakhir pun, semasa majlis kenduri menyambut menantu di sebelah pihak lelaki. Sekarang ni, untuk pergi ke mana-mana Qistina harus mendapat keizinan Hisyam terlebih dahulu. Qistina juga bersyukur, sejak berkahwin Hisyam tidak pernah mengongkong kehidupan Qistina. Hisyam sendiri mahu memberi Qistina masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan mereka berdua sekarang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan