Senarai Kawan

Isnin, 26 Disember 2011

Aku Juga Mencintaimu-Bab 5

                              BAB 5
WAKTU sudah lewat malam benar namun Qistina masih tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya menjadi tidak tenang. Entah kenapa dia sendiri gagal untuk memujuk mata sedangkan dia sendiri perlukan rehat yang cukup. Dia bangun dari katil dan langkah diatur tersusun menuju ke balkoni hotel. Suasana yang sejuk dingin benar-benar menganggu fikiran Qistina ketika ini. Kata-kata daripada Hisyam tadi masih terngiang-ngiang di telinganya. Tidak menyangka bahawa Hisyam mengambil berat terhadap dirinya. Adakah Hisyam menaruh perasaan terhadap dirinya? Qistina serik untuk bercinta lagi.
            Pengalaman lalu mengajar Qistina. Tetapi, dia masih tidak boleh melupakan bekas tunangnya Firdaus. Kini, Qistina nekad dia mengambil keputusan untuk memutus perhubungannya dengan Firdaus. Biarlah Firdaus merayu sekalipun, dia tidak mahu kembali kepada Firdaus. Qistina tarik nafas dalam. Cuba membina kenyakinan diri yang entah ke mana menghilang sejak berpisah dengan Firdaus.
            “Qis, kau belum tidur lagi?” Tegur Soffiya. Qistina terkejut dengan sapaan daripada Soffiya sebentar tadi.
            “Kau ni, suka sangat terkejutkan orang!” marah Qistina. Soffiya hanya tersengih apabila Qistina berkata begitu kepadanya.
            “Alah… dah lama aku panggil kau, cuma kau aje yang tak dengar,” kata Soffiya lagi. “Kau ada masalah ke? Cuba cerita kat aku atau kau masih teringatkan kat Fir lagi?”
            “Entahlah, susah aku nak cakap sekarang ni! Berat sangat kepala aku nak tanggung semua ni, Fiya. Semuanya aku kena hadapi sorang-sorang Fiya. Kadang-kadang aku rasa tak mampu sangat,” luah Qistina. Qistina menangis.
            “Bersabarlah Qis, semua yang berlaku ni pasti ada hikmah disebaliknya. Kau harus kuat, untuk menghadapi semua ni dan aku sentiasa ada disebelah kau. Kau ada aku, Hisyam, Syafiq dan Sarah, mereka semua sentiasa menyokong dan sentiasa memberi semangat pada kau. Kau kena ingat tu!” terang Soffiya. Soffiya cuba menyakinkan Qistina. Soffiya tidak mahu melihat Qistina bersedih, lebih-lebih lagi mengenai hubungannya dengan Firdaus. Qistina perlukan masa untuk melupakan semua itu.
            Oleh kerana itu, Hisyam dan Syafiq cuba mencipta kenangan yang paling indah untuk mereka berlima dengan membawanya bercuti di Cameron Highlands, sekurang-kurangnya Qistina boleh melupakan seketika peristiwa yang terjadi kepada Qistina dan bekas tunangnya Firdaus.
            “Terima kasih, Fiya. Kau memang sahabat baik aku. Kau juga sentiasa menjadi pendengar setia aku bila aku ditimpa masalah,” ucap Qistina sambil memeluk Soffiya. Soffiya terharu dengan tindakan Qistina tadi.   
            “Hmm… sudahlah. Dah jauh malam ni. Aku masuk tidur dulu,” beritahu Soffiya sambil melepas pelukan mereka. Soffiya mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke arah katil. Sudah beberapa kali Soffiya menguap, mungkin dia terlalu letih kerana seharian mereka melawat pelbagai tempat di Cameron Highlands.
            Selepas solat subuh, Qistina terus menyarungkan baju sejuknya. Semalaman dia tidak dapat melelapkan matanya. Akhirnya, Qistina mengambil keputusan untuk mengambil angin di luar. Dia mengatur langkah perlahan-lahan tidak mahu mengganggu tidur kawan-kawannya.
            Cuaca sejuk meresap hingga ke tulang hitamnya. Betapa indahnya bumi ciptaan Tuhan, baru saja dia menyedarinya. Kata-kata semangat dari Soffiya dan juga Hisyam, masih terngiang di telinganya. Qistina bersyukur sangat, kerana dikurniakan kawan-kawan yang baik dan sudi menjadi pendengar setia jika dia ditimpa masalah. Sedikit sebanyak, Qistina dapat melupakan kenangannya bersama Firdaus sedikit demi sedikit.  Qistina duduk dibangku di luar tempat penginapan mereka sambil menghirup suasana pagi yang dingin. Qistina teringin sekali untuk menyaksikan matahari pagi terbit.
            Hisyam hanya memerhati gadis pujaannya dari jauh. Dia berfikir kenapa pagi-pagi lagi Qistina sudah termenung. Pasti ada sesuatu yang mengganggu fikirannya kini. Adakah Qistina sudah faham maksud disebalik kata-kata Hisyam semalam? Dia berharap sangat Qistina tidak berfikir begitu mengenainya. Bukan niat dia ingin mengambil kesempatan terhadap diri Qistina ketika ini. Qistina baru saja putus cinta dengan Firdaus, seharusnya dia perlu memberi kata-kata semangat kepada diri Qistina untuk melupakan kenangannya bersama Firdaus, tetapi mengapa Qistina bertindak begitu? Pasti berat masalah yang ditanggung oleh Qistina ketika ini. Ya, Dia harus mengembalikan semangat baru pada diri Qistina. Dia mesti membantu Qistina untuk melupakan semuanya.
            Dengan langkah yang amat berat, Hisyam mengaturkan langkahnya menuju ke arah Qistina yang masih termenung di situ. Dia tahu pasti Qistina tengah bersedih.
            “Awal pagi lagi Qis dah merayap?” tegur Hisyam. Qistina terkejut dengan sapaan Hisyam itu. Lantas dia terus memalingkan wajahnya kepada Hisyam yang betul-betul berdiri di belakangnya.
            Hish… tak adalah nak merayap ke mana pun. Cuma, nak duduk-duduk kat sini aje sambil menghidup udara pagi,” ucap Qistina kembali menyambung menunggu matahari terbit.
            “Qis, marahkan Syam ke?” tanya Hisyam untuk mendapatkan kepastian.
            “Qis, tak marahkan Syam pun, Qis tak menyangka masih ada orang lagi yang mengambil berat akan diri Qis selama ini. Terharu sangat,” luah Qistina. Perlahan-lahan dia mengeluh.
            “Habis tu kenapa mengeluh?” soal Hisyam lagi.
            “Qis, fikirkan tentang hubungan Qis dengan Fir,” jelas Qistina lagi.
            “Jadi apa keputusan Qis?” duga Hisyam.
            “Qis dah putuskan hubungan dengan Fir.” “Muktamad!” ucap Qistina lantang, lantas tersenyum memalingkan wajahnya kepada Hisyam. Hisyam membalasnya dengan memberikan senyuman kepada Qistina.
            “Pasal semalam tu, Qis nak ucapkan terima kasih sebab sudi berkongsi masalah dengan Qis. Qis tahu Syam cuma nak mengembirakan hati Qis aje kan?”
            “Kalau boleh hari-hari Syam nak Qis gembira,” luah Hisyam sambil merenung mata Qistina. Kata-kata daripada bibir Hisyam sebentar tadi mempunyai makna yang tersurat, hanya Hisyam saja yang mengetahui. Lega hati Qistina apabila Hisyam berkata begitu padanya. Dia bersyukur sangat kerana dikurniakan kawan yang baik dan memahami seperti Hisyam. Mereka terus menikmati keindahan yang sungguh menarik dan bermakna itu bersama-sama sehingga terbit matahari pagi.
            “Tulah, siapa suruh kau tak tidur? soal Soffiya kepada Qistina apabila ternampak Qistina menguap beberapa kali.
            “Dah, aku memang tak boleh nak tidur nak buat macam mana Cik Soffiya oii…” ujar Qistina menyindir Soffiya.
            “Pergi dating dengan Syam takde pulak mengantuknya?”  sindir Soffiya kemudian dia tersegih sambil memandang Qistina.
            “Hish…mulut tu memang tak ada insurans betullah!” Geram dengan Soffiya. Mulut memang main lepas aje! Bukan nak pandang kiri kanan. Huh, nasib baik tak ada sesiapa yang mendengarnya.
            “Cepatlah Qis! Semua dah tunggu kita kat bawah tu,” Soffiya mengomel.
            “Yalah, nak pergilah ni.” Mereka bersama-sama bergegas menuju ke lobi hotel. Semua sudah menunggu mereka berdua. Lepas balik keluar dengan Hisyam pagi tadi, Qistina terus merebahkan dirinya ke katil. Baru aje beberapa jam tidur, dia sudah dikejukkan oleh Soffiya mengajaknya bersarapan. Naik pening kepalanya bila tak cukup tidur, lebih-lebih lagi tak tahan mendengar Soffiya berleter mengalahkan mak nenek… Sakit telingannya!
            “Aku peliklah Syam?” tanya Syafiq sambil matanya memerhati Hisyam.
            “Apa yang peliknya?” tanya Hisyam lagi.
            “Yang kau tu tersenyum sorang-sorang tu apa hal?”
            “Ehh… tak adalah. Mana ada. Kau yang salah tengok ni,” ucap Hisyam tergagap-gagap. Dalam hatinya macam-manalah Syafiq boleh tahu yang dia keluar dengan Qistina pagi tadi.
            “Hah, tengok tu. Baru cakap macam tu kau dah kelam- kabut. Dengan aku kau tak payah nak kelentonglah. Macamlah aku tak kenal kau.”
            “Parahlah macam ni, cepat betul kau dapat hidu.”
            “Jadi betullah kau dating dengan Qis pagi tadi?”
            “Kami tak pergi datinglah, cuma kebetulan aje berjumpa, tu pun secara tak sengaja,” ucapnya lagi cuba menyakinkan Syafiq.
            “Baguslah kalau macam tu. Aku tumpang seronok kalau kau dengan Qis bercinta. Lagi pun Qis tu kan baru aje putus cinta dengan Fir.”
            “Entahlah susah aku nak cakap.” Hisyam mengeluh.
            “Sudahlah, tu kekasih hati kau dah sampai,” ucap Syafiq kepada Hisyam sambil memuncungkan mulutnya pada Hisyam apabila ternampak kelibat Qistina dan Soffiya di meja makan. Hisyam dan Syafiq pun mengatur langkah menuju ke meja makan bersama kawan-kawannya yang lain.
            Selepas mengemaskan kesemua pakaian dan di masukkan ke dalam beg, mereka bertiga pun berlalu meninggalkan kawasan bilik penginapan. Sekejap saja masa berlalu, hari ini mereka semua sudah boleh check-out dari hotel tempat mereka menginap. Berat hati Qistina untuk meninggalkan kawasan ini. Sepanjang 3 hari 2 malam mereka menginap di sini, banyak kenangan manis bersama-sama yang tidak dapat Qistina melupakan. Qistina tahu, kawan-kawannya sengaja membawanya bercuti semata-mata untuk Qistina lupakan tunangnya Firdaus. Semua ini adalah rancangan Hisyam. Selesai saja urusan pendaftaran keluar, mereka semua dengan berat hati mengatur langkah menuju ke kereta Hisyam yang telah sedia menunggu. Hisyam dengan rasa berat hati memandu kereta dengan perlahan meninggalkan kawasan percutian mereka semua.

Selasa, 6 Disember 2011

Aku Juga Mencintaimu-Bab 4


BAB 4
SUDAH seminggu Qistina bercuti dan berehat di rumah akibat dilanda demam yang teruk tempoh hari. Nasib baiklah ada Soffiya dan Hisyam yang banyak membantunya. Kalau tidak kerana mereka berdua, tak tahulah apa yang akan terjadi pada dirinya. Semua ini gara-gara bekas tunangnya Firdaus. Kalau dia tidak mengikut Soffiya tempoh hari, pasti dia masih tidak mengetahui perkara yang sebenarnya mengenai Firdaus.
            Yang pasti kini, Qistina nekad untuk memutuskan hubungannya dengan Firdaus. Mungkin sudah tersurat bahawa dia tiada jodoh dengan Firdaus. Mungkin suatu hari nanti, dia akan dipertemukan dengan lelaki yang jauh lebih baik dan menghargai dirinya. Tetapi, buat masa ini biarlah dia berkeadaan seperti ini, dia malas memikirkan lagi tentang cinta. Biarlah masa yang menentukan. Memang berat untuk dia melupakan semua perkara yang terjadi itu. Dia perlukan masa untuk melupakan semua ini.
            Lapang hatinya bila tiba di pejabat seperti selalu. Puas juga dia memujuk Soffiya untuk membenarkannya bekerja semula. Dah macam Puan Hashimah pula. Nasib baik Soffiya tidak memberitahu kepada keluarganya di kampung, takut juga dia jika keluarga tahu yang dia dimasukkan ke hospital. Soffiya sudah memaklumkan memintakan berehat selama seminggu lagi tapi dia sudah bosan duduk dirumah seorang. Nasib baiklah dia dapat seorang majikan yang baik dan boleh dibawa berbincang seperti Encik Kamal tu, kalau diikutkan mana ada majikan yang sanggup memberikan pekerjanya cuti lama. Betul tak? Hari ini dengan semangat yang baru dia memulakan langkahnya menuju ke tempatnya. Sudah lama dia berdiri depan pintu pejabatnya itu.
            “Selamat pagi semua!” laung Qistina. Semua mata tertumpu memandangnya dengan penuh ceria.
            “Kau dah sihat ke Qis?” Soal Sarah yang sudah berada di depannya.
            “Aku dah sihatlah, sebab tu aku masuk kerja hari ini,” kata Qistina dengan wajah yang penuh ceria.
            “Betul ni? tanya Sarah lagi. Qistina terus menganggukkan kepalanya. Lega hati Sarah. Risau juga bila Soffiya beritahunya Qistina demam teruk hari itu. Dia dan Syafiq tidak dapat menziarah Qistina kerana sibuk dengan urusan kerja di pejabat. Terpaksa dia membuat semua kerja Qistina yang sudah lama tertangguh itu.
            “Sarah, terima kasih tolong buatkan kerja aku,” luah Qistina. Rasa tak sedap hati pula semasa dia bercuti panjang, Sarah yang mengambil-alih semua kerjanya. Kesian Sarah.
            “Okey aje, apa salahnya bantu-membantu,” kata Sarah. “Hmm… dahlah aku nak pergi sambung kerja ni,” sambungnya lagi. Qistina mengangguk. Dia hanya memandang Sarah yang sudah hilang dari tempatnya.
            Pukul 1.00 tengah hari, mereka berlima berkumpul di tempat biasa. Sudah lama mereka berlima tidak keluar rehat bersama-sama. Hari ini menyambut kepulangan Qistina yang baru sihat. Mereka semua kelihatan begitu gembira sekali.
            “Bagaimana rancangan kita yang nak pergi Cameron Highlands minggu depan? Jadi ke?” ucap Syafiq setelah semua berkumpul di sini.
            “Kau orang semua nak pergi tak?” tanya Soffiya. Mereka semua memandang sesama sendiri.
            “Aku on aje,” ucap Soffiya. Selepas itu semua beralih ke arah Qistina yang sedari tadi hanya membisu.
            “Okey, aku pun setuju,” beritahu Qistina setelah lama mendiamkan diri. Semua yang berada di situ kelihatan gembira sekali terutama Hisyam. Lega hatinya bila Qistina juga bersetuju mengikuti rancangan mereka. Dia tidak mahu Qistina susah hati, sekurang-kurangnya bila Qistina pergi sekali dia boleh melupakan Firdaus.
            “Sekarang ni, apa rancangan kita bila dah sampai kat sana? Kalau setakat makan, tidur aje, lebih baik tak payah!” Sindir Soffiya sambil matanya menjeling kepada Syafiq.
            “Yang tu kau orang semua jangan risau. Aku dengan Syam dah rancang baik cantik punya!” Terang Syafiq. Rancangan apalah yang dibuatnya nanti. Risau juga Soffiya.
            “Macam mana dengan bayaran?” tanya Soffiya lagi.
            “Yang tu semua ditanggung percuma. Kau orang semua hanya tinggal bawa pakaian dan diri sendiri aje,” jelas Syafiq lagi sekadar mengusik.
            “Kau biar betul Fiq?” Soffiya bertanya lagi. Seperti tidak percaya saja.
            “Betullah! Kalau masih tak percaya cuba tanya Syam,” semua mata tertumpu kepada Hisyam. Hisyam menggangguk mengiakan.
            “Aku belanja, tapi kau orang semua kenalah ikut rancangan yang aku dan Fiq aturkan,” ujar Hisyam perlahan. Masing-masing bersetuju.
            “Hmm… kita nak pergi sana naik kereta siapa?” Sarah mencela.
            “Naik kereta aku,” Hisyam bersuara. Dia menberi cadangan.
            “Cantik! Nanti semua berkumpul dekat rumah Fiya,” masing-masing bersetuju dengan cadangan Syafiq dan Hisyam. Selepas habis berbincang, mereka semua bersurai dan menyambung kembali kerja masing-masing. Tidak sabar rasanya nak pergi Cameron Highlands.
            “Syam, betul ke nak naik kereta kau?” ulang Syafiq lagi sepeti tidak percaya.
            “Yalah, Kau ni berapa kali nak aku cakap.”
            “Masalahnya Syam, muat ke kereta kau tu?” tanya Syafiq. Hisyam rasa macam nak lempang saja mulut Syafiq ni! Syafiq hanya tersengih memandangnya.
            “Kau jangan risaulah, nanti aku bawa kereta yang sesuai nak pergi sana. Takkanlah aku nak bawak kereta buruk yang aku tengah pakai sekarang ni, giler kau!”
             “Opss… aku terlupa pula yang kau ni kan anak kepada Datuk Suffian,” Syafiq menyindir Hisyam.
            “Eiii… mulut kau tu boleh slow sikit tak! Kalau orang lain dengar macam mana?”
            Sorry…sorry… aku tak sengaja. Terlepas cakaplah.”
            “Kereta buruk kau cakap? Mazda tu! Kalau kau tak nak, bagi aje kat aku,” kata Syafiq lagi sambil memandang Hisyam yang tengah khusyuk mengadap kerjanya.
            “Banyak cantik muka kau! Tak ada maknanya aku nak bagi dekat kau,” balas Hisyam. “Dahlah… pergi tempat kau, aku banyak kerja lagi nak buat. Menyemak aje kat sini!” Hisyam menghalau Syafiq. Syafiq tersengih sambil mengaru kepalanya yang tidak gatal.

HARI Sabtu seperti yang dijanjikan, mereka semua berkumpul di rumah sewa Soffiya dan Qistina. Syafiqlah diantara orang yang pertama tiba di rumah mereka bersama tunang kesayangannya, siapa lagi kalau bukan Sarah. Tak tahulah kenapa Sarah tu boleh jatuh cinta dekat Syafiq ni. Kalau dengan Soffiya, asyik nak bertekak aje. Pening juga Sarah nak melayan karenahnya. Tapi Sarah tak kisah, mereka sudah biasa, lagipun mereka sudah lama berkawan baik. Bagi Sarah, walaupun perangai Syafiq begitu tetapi Syafiq seorang yang baik hati. Cuma kadang-kadang tu sengal sikit!
            “Hish… manalah Syam ni. Janji pukul berapa, sekarang dah pukul berapa. Nanti lambat pulak sampai sana. Habis semua rancangan musnah! Batang hidung pun tak nampak lagi,” Syafiq berungut. Panas hatinya dengan perangai Hisyam.
            “Fiq, cuba kau telefon Syam,” beritahu Soffiya. Sudah lama mereka menunggu. Baru saja Syafiq nak mengambil telefonnya di dalam poket tiba-tiba dia nampak sebuah kereta Audi Q7 yang berhenti di depannya. Alangkah terkejut semua yang berada di situ apabila nampak Hisyam turun dari kereta tersebut. Syafiq lagilah, matanya tak berkelip-kelip memandang Hisyam. Kurang asam betul mamat sorang ni!
            “Terlebih dahulu aku nak minta maaf dekat korang sebab lewat,” ucap Hisyam seperti nak beri ucapan pula. Dari tadi dia nampak Syafiq dah tercegat seperti pengawal dengan muka menahan marah. Pasti Syafiq akan membelasahnya nanti, fikirnya.
Syafiq terus melangkah menghampiri Hisyam lalu dia membisikkan sesuatu di telinga Hisyam.
            Bro, agak-agaklah nak bawa kereta, ni Audilah siot! Kau nak rahsia kau pecah ke?” bisik Syafiq di telinga Hisyam. Hisyam hanya tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
            “Dah… kereta ni aje yang ada dekat rumah keluarga aku, aku bawa ajelah! Tapi, kalau kau tak buka mulut tu, tak adalah rahsia tu nak pecah! Hanya aku dengan kau aje yang tahu pasal ni.”
            “Jomlah, nanti lambat pula kita sampai sana,” Soffiya bersuara. Mereka semua mengangkat beg masing-masing dan memasukkannya ke dalam bonet kereta milik keluarga Hisyam. Kereta Audi Q7 yang dipandu oleh Hisyam itu pun meluncur dengan laju meninggalkan kawasan perumahan itu.
            “Syam, kereta siapa yang kau bawak ni?” Soffiya bertanya kepada Hisyam.
            “Aku pinjam kereta kawan akulah,” beritahu Hisyam sambil matanya memandang ke arah Syafiq yang duduk di sebelah pemandu. Syafiq menjongketkan bahunya. Lega Hisyam dapat menjawab pertanyaan Soffiya sebentar tadi.
            “Kawan kau ni baik hati sangat bagi kau pinjam kereta dia. Dia tak marah ke?” tanya Soffiya lagi.
            “Hmm… dia tak marah pun,” jawab Hisyam ringkas. Syafiq sudah tersenyum di sebelahnya. Tulah, siapa suruh dia pergi bawa kereta mewah dia ni. Berlagak sangat! Kan dah kena soal siasat. Nasib baik Syafiq dah boleh agak Hisyam yang memandu kereta tadi. Terkejut juga dia, Hisyam bawa kereta Audi keluarga dia. Biar betul dia ni! Nasib baik kawan-kawan yang lain tidak mengesyaki apa-apa tadi. Lebih kurang 3 jam 30 minit, akhirnya mereka tiba di Cameron Highlands.
            “Kita pergi check-in hotel dan berehat dulu. Pukul tiga petang semua berkumpul dekat sini. Lepas tu, baru kita baru mulakan rancangan kita seterusnya,” beritahu Syafiq. Sudah macam ketua rombongan sekolah pula. Giler kuasa betul Syafiq ni! Masing-masing dah letih, sampai dah tak larat nak bersuara. Terima sajalah. Syafiq menyerahkan kunci bilik kepada Sarah. Hisyam hanya menempah dua bilik saja, memandangkan yang pergi pun tiga orang perempuan dan dua orang lelaki. Jadi, tak  ada hallah nak berkongsi bilik pun. Tiba saja dibilik, mereka bertiga terus merebahkan diri masing-masing di atas tilam yang empuk.
            Setelah menunaikan solat zohor, mereka bertiga bersiap secepat yang mungkin. Pasti Hisyam dan Syafiq sudah menunggu di lobi. Mana tidak kelam-kabutnya, tak sangka boleh terbabas tidur pula, tu pun nasib baik Syafiq telefon Sarah suruh kejutkan mereka semua. Bagus juga Syafiq ni!
            “Syam, semua dah ada ni, mari kita jalan-jalan di sekitar tempat ini,” ajak Syafiq memulakan rancangan seterusnya.
            Mereka semua mengikuti langkah Syafiq di belakang. Syafiq dan Hisyam membawa kami semua ke tempat Ladang Teh. Suasana dingin di atas bukit ini begitu cantik dan indah sekali. Dari atas bukit, dapat melihat kehijauan ladang teh. Tidak lupa juga, terdapat beberapa orang pekerja yang sedang mengutip daun teh dan dibelakang mereka ada sebuah bakul untuk memasukkan daun teh tersebut.
            Lebih kurang 30 minit di situ, mereka semua melawat pula ke Stawberry Park. Sempat juga kami merasa buah strawberry yang baru saja dipetik, rasanya masam-masam manis. Memang meriahlah suasana dekat sini. Tidak ketinggalan juga, pelancong asing yang datang berkunjung ke sini. Mereka tidak lupa juga mengambil beberapa keping gambar di sini untuk di buat kenangan. Tidak lama pula, mereka pergi ke Taman Bunga. Hati pun rasa bagai berbunga-bunga.
            Semasa mereka meronda di sekitar Taman Bunga itu, Soffiya perasan Hisyam tak habis perhatikan Qistina. Lebih-lebih lagi semasa Qistina sedang memegang bunga ros putih kesukaannya. Sudah ada peluang depan mata, lembab betullah! Puas Soffiya dan yang lain beri peluang untuk Hisyam meluahkan perasaannya kepada Qistina. Sampai Syafiq merungut tidak puas hati dengan perangai Hisyam yang lembab ni! Sempat juga mereka membeli cenderahati untuk di bawa pulang.
            Setelah penat berjalan disekitar Taman Bunga, mereka mengambil keputusan untuk pulang ke hotel memandangkan hari sudah semakin gelap.
            “Malam ni karaoke nak? Aku dah tempah bilik.” Syafiq beritahu kepada kawan-kawannya yang lain setelah mereka selesai menikmati keindahan di Cameron Highland sebentar tadi.
            “Wei, agak-agaklah.” Soffiya bersuara. Dia pandang wajah Syafiq. Dia orang berdua ni, memang selalu cari pasal tak habis-habis!
            “Ada aku kisah!” balas Syafiq selamba. Soffiya mencebik.
            “Lama tak karaoke, kan. Gian!” ujar Hisyam penuh teruja.
            “Hah, tengok tu. Syam pun okey. Aku tak kira, malam ni pukul lapan malam semua berkumpul dekat lobi. Sebarang rayuan tidak akan dilayan,” bidas Syafiq lagi. Soffiya menjengilkan matanya. Geram dengan perangai Syafiq.
            “Kau orang berdua ni, asyik nak gaduh aje. Sudah-sudahlah tu. Pening kepala aku tengok tau!” Qistina bersuara. Padan muka, kan dah kena marah! 
            Usai solat Maghrib, mereka semua keluar untuk menikmati hidangan makan malam pula. Malam ini, Hisyam membawa semua ke sebuah restoran yang agak eksklusif. Syafiq beritahu tempat ini ada menyediakan bilik untuk karaoke, sebab itulah dia dan Hisyam memilih tempat ini. Mereka dibawa ke dalam sebuah bilik yang ditempah khas. Masing-masing tidak sabar untuk memulakan nyanyian sambil mencari lagu-lagu yang ingin di dendangkan.
       “Siapa nak mulakan dulu ni?” Syafiq menyoal. Mikrofon sudah berada di dalam genggamannya.
“Eh! Dah kau yang ajak kita orang, kaulah yang nyanyi dulu.” bidas Soffiya.
            “Yalah, yalah. Aku tanya je kalau-kalau kau nak mula dulu,” sahut Syafiq sebelum mencari-cari lagu yang dia minati. Selepas itu giliran Hisyam dan Soffiya pula.
            Saat yang dinanti-nantikan telah tiba. Kini, giliran Qistina pula. Pada mulanya Qistina menolak, namun setelah dipujuk oleh kawan-kawannya, Qistina bersetuju juga. Dia mula mendendangkan lagu yang keluar di skrin.
            Ku mencari, ku mencari,
            Apakah salahku,
            Kau buat ku termenung seorangan,
            Dalam diri sangsi, akhirnya begini,
            Perpisahan tak kuduga,
            Ku mengerti, ku fahami,
            Keputusan diri,
            Biar saja aku sebegini,
            Permintaan terakhirku, jangan kau lafazkan,
            Simpan saja kata-kata,
            Jangan diucap selamat tinggal,
            Jangan kau ucap selamat tinggal,
            Jangan diucap selamt tinggal,
            Kepadaku...,
            Walaupun seketika... walaupun sekelip mata,
            Simpan saja kata-kata, ke akhir hayat yang ada,
            Walaupun seketika... walaupun sekelip mata,
            Simpan saja kata-kata, ke akhir hayat yang ada…
            Mula-mula, semasa Qistina nyanyi boleh tahanlah suaranya. Apabila masuk aje rangkap ke tiga Qistina terus bagi ‘mic’ tu pada Syafiq yang berada di sebelahnya. Terus Qistina meluru keluar dari bilik tu. Masing-masing pelik dengan perangai Qistina. Nasib baiklah Hisyam sempat kejar Qistina dari belakang.
            “Fiq, yang kau pergi pilih lagu tu pasal apa?” Marah Soffiya sambil tangannya menepuk belakang Syafiq. Syafiq tergamam.
            “Manalah aku tahu lagu tu yang nak keluar,” balas Syafiq. “Habis tu, kita nak buat macam mana ni Fiya?” tanya Syafiq kepada Soffiya yang berdiri disebelahnya. Mengelabah Syafiq. Dia tidak berniat menyakiti hati Qistina.
            “Hmm… tak apa. Lagipun, Syam dah pergi pujuk dia. Kejap lagi okeylah tu,” Soffiya cuba memujuk Syafiq yang dilanda keresahan itu.
            “Qis, okey ke?” tanya Hisyam. Dia sudah berdiri betul-betul di hadapan Qistina. Qistina mengesat air mata yang mengalir tadi.  Qistina mengangguk lemah. Bukan salah Syafiq memilih lagu itu untuknya, tetapi hatinya sedih dah lama dia cuba menahan air matanya daripada mengalir. Mesti Syafiq merasa serba-salah.
            “Betul ni?” Sekali lagi Hisyam bertanya. Dia tidak mahu melihat Qistina bersedih lagi.
            “Qis okey aje, Syam jangan risau ek…,” lega hati Hisyam melihat Qistina tersenyum kembali. Hatinya kembali ceria.
            “Betul ni?” tanya Hisyam lagi. Terus saja Qistina mengangguk.
            “Qis, kalau Qis ada masalah dan perlukan seseorang untuk diluahkan, Qis boleh saja panggil Syam. Syam sedia meluangkan masa untuk Qis. Qis jangan risau selagi Syam ada, tiada sesiapa yang boleh menyakiti hati dan perasaan Qis. Percayalah,” luah Hisyam. Dia tidak sampai hati untuk meluahkan perasaannya terhadap Qistina. Lebih-lebih lagi sekarang ini Qistina sedang bersedih. Gara-gara putus tunang dengan Firdaus. Dia tidak mahu Qistina merasa serba-salah. Biarlah dia hanya menyintai Qistina di dalam diam. Dia sanggup, walaupun hatinya menidakkan. “Kalau macam itu, mari kita pergi kat kedai situ. Semua dah tunggu kita tu,” beritahu Hisyam. Mereka berjalan beriringan bersama-sama menuju arah kawan-kawannya yang lain.