LAUNGAN azan subuh berkumandang sayup-sayup
di pendengaran Qistina. Qistina terpisat-pisat seperti orang kebingungan.
Matanya masih terpejam, terasa malas pula untuk bangun. Tiba-tiba terasa satu
ciuman melekat pada tengkuk sebelum merayap di bahu. Qistina kegelian.
“Terima
kasih sayang,” ucap Hisyam di tepi telinga Qistina. Semerta muka Qistina
kemerahan menahan malu. Peristiwa semalam kembali terlayar di ruang matanya.
Qistina tersenyum melihat Hisyam yang berdiri di hadapannya kini. Mahu saja di
bersembunyi daripada melihat wajah Hisyam.
“Hmm…
bangun sayang kita solat subuh sama-sama,” Hisyam mengejutkan Qistina yang
masih terbaring di atas katil. “Abang nak mandi dulu,” katanya lagi. Hisyam
terus mencapai tuala di hujung katil sebelum dia bangun dan melangkah ke bilik
air.
Usai saja solat
subuh, Qistina terus melipat semula sejadah dan telekung lalu di sangkutnya di
penyidai semula. Kemudian, dia mengaturkan langkahnya turun ke dapur untuk
menyediakan sarapan pagi. Sementara Hisyam menyambung semula tidurnya.
Mengantuk sangat. Maklumlah, malam tadi kerja terlebih masa sampai tidak cukup
tidur dibuatnya.
Di dapur,
tangan Qistina lincah menyediakan sarapan untuk pagi itu. Pagi ini, dia
teringin sangat mahu makan nasi lemak buatannya sendiri. Bukannya mengidam
tetapi rasanya sudah agak lama dia tidak masak nasi lemak semenjak dia
berkahwin. Baru saja bercadang hendak memasak, tetapi perutnya sudah
berkeroncong menahan lapar. Dengan pantas, tangannya menyediakan bahan-bahan
untuk dimasak. Apabila Qistina sedang mengacau sambal di dalam kuali, tiba-tiba
ada tangan yang melingkar dipinggangnya. Terkejut Qistina apabila memandang
wajah Hisyam yang rapat dengannya. Bukan tadi dia kata nak sambung tidur!
“Bukan ke
abang cakap tadi nak sambung tidur? Ni, apa pasal tangan ni asyik nak merayap
aje,” Qistina terus mengetuk tangan Hisyam dengan senduk.
“Sayang ni,
abang nak bermanja dengan isteri sendiri pun tak boleh. Abang tak boleh tidur
pulak. Mungkin sayang tak ada kat sebelah kut,” kata Hisyam tersengih.
“Hish!
abang ni ngada-ngadalah. Qis nak masak pun tak senang. Mentang-mentang Mak Piah
tak ada, asyik nak peluk orang ajelah,” Qistina merungut dengan kerenah manja
Hisyam. Memang mengada-ngada!
“Sayang
masak apa ni?” tanya Hisyam sebaik saja melepaskan pelukan dipinggang isterinya
itu.
“Nasi
lemak,” jawab Qistina ringkas dan bersahaja.
“Okey,
abang nak tengok TV dekat depan. Tak nak ganggu sayang masak. Nanti dah siap masak,
panggil abang ya. Abang pun dah lapar sangat ni,” beritahu Hisyam sambil tangan
memegang perutya. Macam mana dia nak lena, kalau perutnya asyik berirama saja.
FIRDAUS jauh termenung di pejabatnya. Sudah dua minggu dia
bercuti dan berehat di kampungnya. Dia bersyukur kerana keluarganya masih dapat
menerima kehadirannya di situ. Semasa dia berada di kampung, dia masih tidak
dapat melupakan Qistina. Dia juga tidak menyangka akan bertemu dengan Qistina
tempoh hari. Kerana itu juga, dia hampir bertumbuk dengan Hisyam. Nasib baik
sempat di selamatkan oleh kehadiran Qistina di rumahnya. Kalau tidak, tak
tahulah bagaimana dengan nasibnya hari itu. Qistina yang dilihatnya sudah jauh
berubah. Qistina bukan Qistina yang pernah dia kenal dulu. Mungkin betul kata
Qistina, bahawa dia sudah mengecapi kebahagiannya dengan Hisyam. Tetapi,
Firdaus cuba sedaya upaya untuk melupakan Qistina, ternyata dia masih mencintai
bekas tunangnya itu. Firdaus mengeluh. Walaupun jasadnya di pejabat, tetapi
fikirannya melayang entah ke mana. Susah untuk di tafsirkan.
Saiful hanya menggelengkan kepalanya
saja melihat Firdaus dari biliknya. Sudah banyak kali dia mengetuk pintu bilik
Firdaus, tetapi Firdaus langsung tidak sedar kehadirannya di situ. Tanpa
membuang masa, Saiful terus melangkah masuk ke dalam bilik Firdaus. Dia hanya
melihat jasad kawannya itu di sofa yang berada di dalam bilik itu. Sudah agak
lama dia menjadi pemerhati Firdaus. Ingin saja dia ketawa melihat wajah
Firdaus. Saiful malas menunggu lama, dia bangun dari sofa itu dan mengatur
langkah mendekati Firdaus.
“Fir!”
jerit Saiful sambil tangannya mengetuk sisi meja. Firdaus terus tersentap
dengan bunyian itu. Dia terkejut melihat Saiful berdiri di hadapannya.
“Kau
panggil aku ke? Dah lama kau berdiri kat sini?” tanyanya sebaik saja memandang
wajah Saiful. Saiful tersenyum melihat aksi gelabah kawannya itu.
“Yalah,
lama jugak aku duduk kat sini. Kau tu kenapa? Setahu akulah orang balik dari
bercuti mesti wajah ceria, ni aku tengok muka kau monyok aje,” kata Saiful
tersengih.
“Entahlah,
susah aku nak ceritakan pada kau,” balasnya sambil mengeluh.
“Cuba kau
cerita apa masalah kau lagi.”
“Masa aku
cuti hari tu, aku jumpa Qis dekat kampung. Tak sangka dia pun balik sana jugak.
Aku masih tak boleh lupakan dia lagilah Epul,” luah Firdaus hampa.
“Aku dah
agak dah. Tapi, kau kena lupakan dia jugak Fir. Dia dah jadi isteri orang. Tak
ada gunanya kau sayangkan dia lagi. Banyakkan berdoa kepada Tuhan. Aku yakin,
suatu hari nanti pasti kau dipertemukan jodoh yang sesuai untuk kau,” nasihat
Saiful dengan panjang lebarnya. Dia tidak mahu Firdaus terus mengingati Qistina
lagi. Memang sudah terlulis jodohnya dengan Qistina sudah berakhir. Dia harus
terima jika itu sudah terlulis untuknya. Sebagai seorang kawan, Saiful berdoa
kepada Tuhan semoga kawannya itu diberkati olehnya dan meneruskan hidupnya. Dia
tidak mahu Firdaus terus tenggelam melayani perasaannya terhadap Qistina.
HISYAM tersenyum
sendirian dipejabatnya, dia tidak menyangka bahawa Qistina telah memberikannya
hadiah ulangtahun kelahirannya dengan penuh bermakna di dalam kamus hidupnya
itu. Dia merasa sungguh gembira dengan layanan diberikan oleh Qistina untuknya.
Ternyata, Qistina sudah menerimanya dirinya dengan ikhlas sebagai seorang
suami. Walaupun jasadnya berada dipejabat tetapi fikirannya melayang entah ke
mana. Masih terbayang senyuman dan layanan Qistina kepadanya. Terlalu instimewa
dan berharga. Dia terlupa urusan kerjanya sementara. Kedengaran bunyi telefon
bimbitnya berbunyi, Hisyam tersentak seketika. Barangkali terkejut dengan bunyi
bingit telefon bimbitnya itu. Hisyam terus melihat nama yang tertera di skrin
telefon bimbitnya.
“Assalamualaikum
Syam, kau tahu tak sudah pukul berapa ni?” tegur Syafiq ditalian. Belum sempat
Hisyam menjawab salam darinya. Terus di ajukan soalan.
“Wa’alaikumsalam,
kau ni Fiq bagilah aku jawab salam dulu. Main terjah aje,” marah Hisyam.
“Yalah. Kau
tu janji nak keluar makan dengan aku. Sekarang pukul berapa kau nak datanglah.
Perut aku dah berbunyi ni tunggu kau. Cepatlah sikit Syam,” adu Syafiq lagi.
Hisyam terus menepuk dahinya. Dia terlupa janjinya keluar makan tengah hari
dengan Syafiq. Semua ini gara-gara dia termenungkan Qistina. Aduh!
Macam-manalah dia boleh terlupa dengan janjinya itu.
“Ya Allah!
Aku lupalah Fiq. Aku mintak maaf. Kau tunggu aku, kejap lagi aku sampai. Kau
order makanan dulu.” Hisyam terus mencapai telefon bimbit dan kunci keretanya
dan dia terus bergerak. Pasti Syafiq membebel kepadanya nanti.
Lebih kurang 20
minit Syafiq nampak kelibat Hisyam muncul di Coffee House. Hisyam tersengih
memandang wajah Syafiq yang sudah berkerut.
“Aku mintak
maaf, memang aku terlupa tadi. Nasib baik kau telefon ingatkan tadi. Kalau tak,
mesti kau dah mengamuk,” kata Hisyam sebaik saja tiba di Coffee House tempat
mereka berdua berjumpa.
“Kau
memang, selalu macam ni. Nasib baik, aku ni baik hati. Kalau tak memang kau dah
kena maki hamun dengan aku tahu tak,” marah Syafiq.
“Kau dah
pesan makan tak?”
“Sudah,
untuk kau sekali.”
“Ya ke? Thanks bro. Tak apa, biar aku yang
belanja kau makan. Hari ni, kau makan puas-puas tau.”
“Kau biar
betul? Tempat ni mahal. Kau jangan menyesal pula kena bayar banyak,” beritahu
Syafiq lagi.
“Untuk kau,
apa salahnya. Sekali-sekala, bukannya hari-hari pun. Janji kau dah tak marah
dekat aku lagi.”
“Okey, aku
tak marahlah. Oh ya, apa hal kau ajak aku lunch?”
“Aku ada
hal nak cerita dekat kau ni.”
“Apa dia?”
“Sebenarnya,
Qis dah terima aku sebagai suami dia. Aku rasa bahagia sangat.”
“Biar
betul? Jadi, kau dengan dia dah…” Kata-kata Syafiq hanya berhenti di situ saja
apabila Hisyam menganggukkan. Fahamlah maksudnya. Syafiq ketawa.
“Kau apa
hal ketawa?”
“Baguslah
kalau macam tu. Sudah ada perkembangan hubungan kau dengan dia. Aku sebagai
kawan, turut tumpang gembira. Tak lama lagi, manalah tahu bakal timbang anak
pulak,” beritahu Syafiq.
“InsyaAllah,
aku harap pun macam tu jugak,” doanya lagi. Perbualan mereka berdua terhenti
apabila seorang pelayan menghantar pesanan makanan mereka berdua. Selepas itu,
mereka berdua menikmati hidangan itu dengan penuh berselera sekali.
Pulang saja
dari tempat kerja, Qistina terus menunaikan solat asar. Kemudian, dia turun ke
tingkat bawah dan segera pergi ke dapur. Qistina melihat kelibat Mak Piah
sedang menyediakan juadah untuk makan malam. Qistina turut membantu Mak Piah
menyediakan hidangan makan malam mereka. Qistina menyanyi-nyanyi kecil di dapur.
Mak Piah turut terhibur apabila Qistina menyanyikan lagu kegemarannya. Mak Piah
hairan juga, melihat Qistina yang terlalu gembira seperti ada sesuatu yang
berlaku kepadanya. Tapi, dibiarkan saja Qistina berperangai sebegitu. Mak Piah
tidak mahu bertanya, dia suka melihat Qistina berkeadaan begitu.
Qistina
berehat di bilik apabila selesai menyediakan hidangan makan malam bersama Mak
Piah sebentar tadi. Qistina masih menanti kepulangan Hisyam di dalam biliknya.
Jam di dinding sudah berganjak ke pukul 7.15 malam. Hisyam masih belum pulang
lagi. Seperti tiada tanda-tanda Hisyam akan balik sekarang ini, Qistina
mengambil peluang ini untuk membersihkan dirinya. Dicapainya, tuala dipenyidai
dan terus masuk ke dalam bilik air. Barulah dirinya rasa segar sikit apabila
terkena percikan air.
Lebih kurang 20 minit berada di dalam bilik air, Qistina
keluar dengan hanya berkemban dengan tuala yang membaluti tubuhnya. Terkejutnya
apabila melihat Hisyam yang sudah berada di hadapannya dan sedang memandangnya
sambil tersenyum. Qistina terus menyambut kepulangan suaminya itu. Hisyam
memeluk tubuh Qistina yang masih basah lagi.
“Wanginya
isteri abang ni,” kata Hisyam sambil mencium dahi Qistina.
“Dah lama
ke abang balik?” tanya Qistina semula.
“Baru aje.
Geram pulak tengok isteri abang yang seksi ni,” usik Hisyam sambil bibirnya
didekatkan dibibir isterinya itu.
“Hmm, abang
pergi mandi dulu. Bau masamlah. Kejap lagi kita solat maghrib sama-sama. Qis
tunggu abang.” Hisyam terus melepaskan pelukannya dan terus bergegas masuk ke
bilik air. Qistina hanya menggelengkan kepalanya melihat kerenah Hisyam yang
nakal mengusiknya.
Hisyam
turut gembira dengan sikap manja dan layanan Qistina terhadapnya. Ini yang
membuatkan Hisyam bertambah sayang terhadapnya. Hisyam turut memanjatkan syukur
kepada Tuhan kerana berkat doa dan kesabarannya melayani kerenah Qistina selama
ini dimakbulkan. Qistina sudah mula menyayangi dan menerima dirinya seadanya.
Kini, mereka berdua seperti pasangan yang baru bercinta. Selalunya, orang bercinta
dahulu, baru berkahwin tetapi Hisyam dan Qistina, berkahwin dahulu baru
bercinta. Benarlah kata orang, bercinta selepas berkahwin lebih manis dari
bercinta sebelum berkahwin.
best
BalasPadam