BAB
QISTINA
ALESYA sedang bersiap-siap mengemas semula kertas kerja
yang berselerak di atas mejanya. Hari ini, Qistina diberi perlepasan daripada
Encik Kamal untuk pulang awal, setelah dia menyerahkan laporan kerja untuk
bulan ini. Lapang hatinya apabila semua kerjanya sudah selesai. Qistina
mengambil peluang ini, untuk berjumpa dengan tunangnya Alif Firdaus. Hatinya
berbunga-bunga, tidak sabar untuk bertemu dengan jejaka pujaannya itu. Sudah
beberapa hari mereka berdua tidak ketemu.
Sedang
Qistina bersiap mengemas di mejanya, Syafiq terus mendekati Qistina yang duduk
tidak jauh dari tempatnya. Hisyam hanya memerhati gelagat kawan baiknya itu.
Malas dia mencampuri urusan kawannya itu. Nanti, tak pasal-pasal dituduh menyibuk
pulak! Dia tahu, Syafiq suka menyakat staff
pejabat lebih-lebih lagi, staff
perempuan. Selalunya, yang menjadi mangsanya adalah Qistina. Hisyam hanya
menggelengkan kepalanya saja apabila melihat Syafiq sudah bertempek di meja
Qistina.
“Qis,
kenapa kau kemas meja kau ni? Takkan dah nak balik kut? Sekarang baru pukul
tiga petang, masih awal lagi kalau nak balik,” soal Syafiq apabila melihat
Qistina kelam-kabut mengemas mejanya.
“Banyaknya
soalan kau Fiq. Aku tak larat nak jawab semua. Sebenarnya, Encik Kamal dah beri
perlepasan untuk aku balik awal,” terang Qistina semula apabila melihat Syafiq
menyoalnya seperti seorang pegawai polis.
“Ya
ke? Laporan bulan ni, yang Encik Kamal minta tu, kau dah siapkan ke?” tanya
Syafiq sekali lagi. Dia masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan
oleh Qistina sebentar tadi.
“Dah siap pun. Sebab tulah,
Encik Kamal bagi aku balik awal. Kau tahukan, beberapa hari ni aku asyik balik
lewat aje, sebab nak siapkan laporan tu. Jadi, hari ini Encik Kamal bagi aku balik
awallah,” terang Qistina. Riak wajahnya begitu ceria.
Patutlah
tergesa-gesa sahaja Qistina mengemas mejanya. Kesian juga Syafiq kepada
Qistina, mana tidaknya sejak beberapa hari ini, Qistina selalu balik lambat
untuk menyiapkan laporan kewangan untuk bulan ini. Hari ini, bagilah peluang
pada Qistina pulang awal sekali-sekala. Bukannya selalu pun!
“Kau
nak pergi mana sebenarnya ni?” tanya Syafiq lagi. Masih tidak puas hati selagi
Qistina menjawab soalannya tadi.
“Aku
nak pergi jumpa tunang kesayangan aku tulah!” tekan Qistina. Suaranya sedikit
keras. Sengaja dia buat begitu. Dia tahu, Syafiq tidak akan berpuas hati selagi
soalannya tidak berbalas. Qistina kepada Syafiq sambil tersenyum geli hati
melihat perangai gelabah Syafiq. Qistina yang nak berjumpa dengan tunangnya,
Syafiq pula yang lebih-lebih!
“Hish…
Kau ni! Selalu buat aku suspen
ajelah. Aku ingatkan, ada hal mustahaklah sangat, sampai kau bersiap awal ni.
Rupa-rupanya nak pergi dating,” kata
Syafiq lagi yang sudah tersengih seperti kerang busuk.
“Kau
cemburu ke?” tanya Qistina pula.
“Tak
ada maknanya, aku nak cemburu dengan kaulah Qis! Lagipun, aku dah ada Sarah. Buat
apalah aku nak cari yang lain! Aku takut aje ada orang lain yang cemburu,”
beritahu Syafiq kepada Qistina sambil matanya menjeling kepada Hisyam yang
duduk tidak jauh dari situ. Saja nak cari pasal dengan Hisyam.
Hisyam
dah menahan geram dengan perangai Syafiq itu. Mulut memang tak ada insurans betullah!
“Okeylah,
Encik Syafiq oii… aku pergi dulu. Kalau duk layan kau aje, sampai esok pagi
belum tentu habis,” sindir Qistina sekali lagi sebelum berlalu meninggalkan
Syafiq yang masih terkebil-kebil di meja Qistina.
Hish!
Qis ni, mulut memang boleh tahan jugak! Hisyam sudah tergelak di mejanya,
apabila Qistina berkata begitu kepada Syafiq. Padan dengan muka Syafiq, suka
sangat menyakat orang. Hah, ambik kau!
SUASANA Indah di Restoran Secangkir Kopi, tampak
begitu tenang sekali. Pengunjung yang ada nampak tenang menikmati juadah minum
petang masing-masing. Qistina terjenguk-jenguk memandang sekeliling restoran
itu mencari kelibat tunangnya. Dia seperti tidak sabar untuk bertemu dengan
tunangnya itu. Sudah lama, mereka berdua tidak berjumpa.
Firdaus
melambai-lambaikan tangannya, apabila ternampak kelibat Qistina di restoran
itu.
Segera
Qistina mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke arah Firdaus yang duduk tidak
jauh dari tempat Qistina berdiri sedari tadi. Qistina terus melabuhkan
punggungnya di kerusi yang telah di sediakan.
“Dah
lama ke Fir sampai?” tanya Qistina sebaik saja melabuhkan punggungnya di kerusi
yang telah disediakan.
“Baru
aje,” balas Firdaus tenang. Dia merenung wajah Qistina. Ya, dia amat rindukan
wajah itu. Baru sekarang dia dapat melihatnya, setelah lama mereka tidak
berjumpa. Qistina memiliki wajah yang manis sesuai dengan orangnya. Wajahnya,
membuatkan jiwa Firdaus tenang. Sempat dia menilik wajah tunangnya itu. Tapi,
bagaimana jika Qistina tahu tentang perasaannya yang kini telah beralih arah?
Dapatkah, Qistina menerimanya? Dia tidak berniat untuk melukakan perasaan
Qistina.
Namun,
siapa yang dapat menyangka, hubungan lima tahun yang di bina telah diragut oleh
orang ketiga. Kehadiran Alia di sisi Firdaus, telah banyak mengubahnya. Begitu
juga perasaan Firdaus terhadap Qistina. Siapa sangka, dalam diam-diam Firdaus
telah menjalinkan hubungan dengan Alia tanpa pengetahuan Qistina tunangnya
sendiri. Qistina dan Alia memang jauh berbeza.
“Fir,
kenapa ni?” tegur Qistina apabila dia melihat Firdaus sedari tadi duk
merenungnya. Firdaus tersentap dari lamunannya.
“Err…
tak ada apa-apa.” Tergagap-gagap Firdaus menjawab. Pasti Qistina perasan dia
sedang merenungnya. “Qis, nak minum?” Firdaus sengaja menukar topik. Tidak
mahu, Qistina syak yang bukan-bukan. Bukan niatnya, hendak membuat pembandingan
di antara Qistina dengan Alia.
“Hmm…
boleh jugak,” balas Qistina. Selepas itu, Firdaus terus memanggil pelayan dan
memesan minuman untuk Qistina.
“Sekarang
ni, susah sangat Qis nak jumpa dengan Fir, kan,” luah Qistina memulakan
perbualan setelah masing-masing membisu.
“Fir
sibuklah, Qis,” ucap Firdaus ringkas.
“Fir,
orang lain pun sibuk jugak tapi tak adalah sampai macam Fir ni,” sindir Qistina
kepada tunangnya Firdaus. Sempat dia mencebik.
“Qis,
dah berapa lama kita kenal? Takkanlah Qis masih tak percaya kat Fir lagi?” Firdaus menyoal semula.
“Ya
ke? Jangan-jangan sibuk dengan perempuan lain tak?” Serkap Qistina lagi.
Sengaja ingin menguji keikhlasan hati tunangnya itu.
“Qis,
berapa kali Fir dah cakapkan, Fir sibuk dengan kerja! Mana ada Fir keluar dengan
perempuan lain, selain dengan Qis,” balas Firdaus tenang. Cuba menyembunyi
kegelisahan dihatinya.
“Qis
tahu tu dan Qis percayakan Fir. Tapi, kalau Qis dapat tahu Fir ada keluar
dengan perempuan lain jaga Fir, Qis kerjakan!” ugut Qistina.
Firdaus
yang mendengar hanya tersenyum apabila Qistina berkata begitu kepadanya. Dia
percaya Firdaus tidak akan buat begitu padanya. Selama lima tahun mereka
berkawan dan kini sudah bertunang. Tidak lama lagi mereka bakal melangsungkan
perkahwinan.
“Tengok
tu, Qis masih tak percayakan Fir lagikan. Cemburunya tak habis-habis!” kata
Firdaus apabila Qistina berkata begitu kepadanya.
“Fir,
mestilah Qis cemburu kalau Fir keluar dengan perempuan lain. Fir tunang Qis.
Mestilah Qis sayangkan Fir lebih,” luah Qistina.
Firdaus
tidak menyangka apabila Qistina meluahkan isi hati kepadanya. Firdaus bagaikan
terkena kejutan elektrik apabila Qistina meluah kata-kata yang indah itu.
Ternyata, Qistina bersungguh menyintai dirinya.
Bagaimanalah
dengan nasib Qistina nanti, apabila dia mengetahui hal sebenarnya pada diri
Firdaus yang sudah menjauh hati dengan Qistina. Pasti, hancur hati Qistina
apabila mengetahuinya nanti. Baginya, dia tidak mahu melukakan hati Qistina.
Dia
terlalu menyayangi Qistina, tetapi pada masa yang sama dia juga menyayangi
kekasih gelapnya Alia yang jauh lebih cantik daripada Qistina. Dia tidak dapat
melupakan segala pujukkan yang diberikan oleh Alia. Firdaus keliru dengan
perasaannya!
“Hmm…
sudahlah tu. Qis jom kita balik. Lagipun, dah nak maghrib ni. Tak baik keluar
waktu senja-senja begini,” kata Firdaus. Qistina hanya mengangguk bersetuju
dengan cadangan Firdaus.
Selepas
membuat pembayaran, Firdaus menghantar Qistina ke keretanya dan mereka akhirnya
berpisah meninggalkan perkarangan restoran itu dengan membawa haluan
masing-masing.
QISTINA tidak menyangka bahawa dia dan Firdaus akan
melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Segala persiapan untuk majlis
perkahwinan mereka, sudah disiapkan. Hanya tinggal dua bulan saja lagi masa
yang ada untuk Qistina dan Firdaus melangsungkan majlis perkahwinan mereka.
Sekejap saja masa berlalu, sudah lima tahun dia dan Firdaus berkawan dan dalam
masa yang sama, dia kini sudah bergelar tunangan kepada Firdaus.
Bergelar
tunangan orang juga banyak dugaannya, benarlah kata orang tua-tua bila
bertunang ni macam-macam perkara yang boleh terjadi. Sejak dia bergelar
tunangan kepada Firdaus, hubungan mereka berdua tidak selincah semasa bercinta
dahulu. Kadang-kala ada saja perkara yang timbul dan boleh menyebabkan dia dan Firdaus
bergaduh. Itulah lumrah kehidupan.
Qistina
akui, Firdaus yang sekarang sudah lain benar dengan Firdaus yang mula-mula dia
kenal dulu. Firdaus sudah banyak berubah. Bukan Qistina hendak berprangsaka
buruk terhadap tunangnya itu. Kadang-kadang, Qistina hairan kenapa susah sangat
hendak berjumpa dengan tunangnya itu. Hairan Qistina.
USAI saja Qistina membersihkan diri bersolat, dia
menuju ke balkoni rumah sewanya, untuk menikmati suasana malam yang begitu
dingin dan mengasyikkan. Pertemuan di Restoran Secangkir Kopi, petang tadi
dengan tunangnya Firdaus membuatkan dirinya sedikit gembira. Sudah lama dia
tidak bertemu dengan Firdaus memandangkan kedua-duanya sibuk dengan urusan
kerja masing-masing. Qistina yang leka menikmati suasana malam itu tidak sedar
kawan baiknya Soffiya sedang memerhatinya dari belakang.
“Jauh
termenung,” tegur Soffiya. Pantas Qistina menoleh mendengar suara serak-serak
basah sahabat baiknya itu. Di bibirnya terukir senyuman.
“Kau ni, lain kali bagilah salam dulu ke, apa ke, saja
aje buat aku terkejut,” balas Qistina. Sambil mengurutkan dadanya.
Soffiya mendekati
Qistina di balkoni bersama-sama. Turut memandang ke dada langit yang kelam.
Tiada bintang yang bertaburan di situ.
“Dah bagi pun. Kau aje yang tak sedar. Macam ada problem aje kau ni?”
“Entahlah,”
terlepas keluhan dari bibir itu. “Dia macam makin jauh dari aku. Rasa macam
susah nak digapai. Tak macam dulu. Lain benar dia sekarang,” luah Qistina.
Soffiya amat memahami siapa yang dimaksudkan oleh Qistina itu. Sudah acap kali
Qistina mengadu hal tentang Firdaus kepadanya.
“Kau
rasa dia ada perempuan lain ke?” Soffiya menyerkap jarang.
“Kenapa
kau cakap macam tu?” soalan dibalas dengan soalan juga.
“Aku
tanya aje. Manalah tahu. Lelaki zaman sekarang bukan boleh percaya sangat.
Depan kita pijak semut pun tak mati. Belakang kita bukan main panjang lagi kaki
tu.”
“Tak
mungkinlah. Fir yang aku kenal bukan macam tu. Dia setia. Tak mungkin dia
sanggup curang belakang aku,” kata-kata itu lebih kepada mahu menyedapkan hati
sendiri. Sesungguhnya dia tidak mampu berdepan dengan kemungkinan itu. Dia
tidak sanggup melihat hubungan selama lima tahun berkecai begitu sahaja.
“Kau
sendiri cakap dia dah lain, kan? Bila lelaki dah mula berubah, mesti ada
sebabnya. Kalau tak takkanlah tiba-tiba aje dia nak berubah,” tukas Soffiya.
Dia tidak mahu melihat Qistina buta kerana cinta. Sahabatnya perlu berdepan
dengan segala kemungkinan.
“Tapi
dah lima tahun, Fiya. Takkanlah lima tahun tu tak bermakna apa-apa bagi dia?”
suara Qistina melengking memecah kesunyian malam. Hatinya diamuk resah. Takut
jika apa yang dikata Soffiya itu menjadi nyata.
“Lima
tahun ke, lima puluh tahun ke, tak bermakna apa-apa. Yang penting hati,
bukannya berapa lama mana kau kenal dia. Orang yang kahwin pun boleh
bercerai-berai, inikan pulak yang baru saja bertunang…,” sengaja dia membiarkan
kata-katanya tergantung begitu. Biar Qistina berfikir sendiri.
“Kau
jangan takutkan aku.” Qistina menjeling sahabatnya. Sukar benar menelan
bait-bait ayat Soffiya itu.
“Dahlah,
kau janganlah fikir sangat. Tu, cuma kemungkinan. Bukannya kebenaran. Aku cakap
aje tak semestinya betul. Aku nak tidur dulu.” Soffiya sudah mula menjauh
daripada balkoni. Mahu mencari tilam empuknya.
“Kau
tidurlah dulu.” Qistina masih setia di situ. Dia tidak mampu melelapkan mata
bila hati diburu bimbang.
MATA redup itu merenung wajah yang sedang asyik
meneliti monitor komputer. Khusyuk benar dengan kerja hingga tidak sedar ada
mata yang memandang. Terukir senyuman di bibir lelaki tatkala gadis itu
mengetap bibir. Tahu benar tabiat si gadis jika sudah melakukan kesilapan.
Dia
hanya mampu memerhatikan si gadis dari jauh. Gadis itu tidak mungkin menjadi
miliknya. Gadis itu sudah pun menjadi tunangan orang. Dia bukanlah lelaki yang
mudah merampas hak orang lain. Tidak betah mencari musuh walau hati mendesak
mahukan perhatian si gadis.
“Ehem…
ehem…” deheman itu membuatkannya sedikit tersentak. Tahu benar siapa yang
begitu berani mengganggu perhatiannya.
“Kau,
kalau tak kacau aku buat kerja boleh tak?” Marah Hisyam. Syafiq hanya mencebik.
“Hebat
kau! Boleh buat dua kerja dalam satu masa,” sindir Syafiq. Dia mengerling ke
arah Qistina yang sedang tertunduk-tunduk mencari sesuatu di bawah meja. “Kalau
mata tengok ke sana pun boleh buat kerja lagi ke?” Syafiq menjuih bibir ke arah
Qistina.
“Arghh…
sibuklah kau. Kau tu buat kerja sendiri sudah, jangan menyibuk hal rumah tangga
orang lain,” tingkah Hisyam. Geram juga dengan sikap teman yang suka
menyakatnya.
“Hai,
sejak bila kau dah potong line
Firdaus tu? Dia baru jadi tunang, kau terus jadi suami. Hebat!”
“Ada
jugak aku debik karang,” ugut Hisyam. Syafiq sudah tersengih-sengih bagai
kerang busuk.
“Bro… kalau setakat tengok dari jauh aje,
sampai bila pun kau takkan dapat punya awek tu. Kalau betul suka, pergi sana propose sikit. Baru style.”
“Style hotak kau. Free aje aku dapat penampar karang. Tu, belum kira lagi kalau dia
mengadu kat tunang dia tu.”
“Sejak
bila member aku ni jadi penakut pulak
ni. Kalau tak bukan main lagi kau dengan perempuan.” Hisyam menahan sabar.
Dengan teman nan seorang itu dia memerlukan lebih kesabaran. Jika tidak ada
yang berguling di lantai nanti terkena penangannya.
“Ini
bukan soal takut. Ini soal respect.
Aku tak usik hak orang,” tegas Hisyam. “Baik kau diam sebelum aku diamkan kau,”
sambung Hisyam melihatkan bibir Syafiq bergerak-gerak seperti ingin membuka
mulut lagi.
“Okey…
okey… aku diamlah ni. Tengok dari jauh pun jadilah. Macam orang tua-tua cakap.
Dapat tengok bumbung pun cukuplah,” sempat lagi Syafiq menyindir sebelum
berlalu dari situ. Hisyam sudah tergeleng-geleng. Nak marah pun tak boleh.
Sengal!
wahh..memang meletop la awe bab 1 ni..tahniah2..
BalasPadam