Senarai Kawan

Isnin, 10 Oktober 2011

Aku Juga Mencintaimu-Bab 1


BAB
QISTINA ALESYA sedang bersiap-siap mengemas semula kertas kerja yang berselerak di atas mejanya. Hari ini, Qistina diberi perlepasan daripada Encik Kamal untuk pulang awal, setelah dia menyerahkan laporan kerja untuk bulan ini. Lapang hatinya apabila semua kerjanya sudah selesai. Qistina mengambil peluang ini, untuk berjumpa dengan tunangnya Alif Firdaus. Hatinya berbunga-bunga, tidak sabar untuk bertemu dengan jejaka pujaannya itu. Sudah beberapa hari mereka berdua tidak ketemu.
            Sedang Qistina bersiap mengemas di mejanya, Syafiq terus mendekati Qistina yang duduk tidak jauh dari tempatnya. Hisyam hanya memerhati gelagat kawan baiknya itu. Malas dia mencampuri urusan kawannya itu. Nanti, tak pasal-pasal dituduh menyibuk pulak! Dia tahu, Syafiq suka menyakat staff pejabat lebih-lebih lagi, staff perempuan. Selalunya, yang menjadi mangsanya adalah Qistina. Hisyam hanya menggelengkan kepalanya saja apabila melihat Syafiq sudah bertempek di meja Qistina.
            “Qis, kenapa kau kemas meja kau ni? Takkan dah nak balik kut? Sekarang baru pukul tiga petang, masih awal lagi kalau nak balik,” soal Syafiq apabila melihat Qistina kelam-kabut mengemas mejanya.
            “Banyaknya soalan kau Fiq. Aku tak larat nak jawab semua. Sebenarnya, Encik Kamal dah beri perlepasan untuk aku balik awal,” terang Qistina semula apabila melihat Syafiq menyoalnya seperti seorang pegawai polis.
            “Ya ke? Laporan bulan ni, yang Encik Kamal minta tu, kau dah siapkan ke?” tanya Syafiq sekali lagi. Dia masih tidak puas hati dengan jawapan yang diberikan oleh Qistina sebentar tadi.
              “Dah siap pun. Sebab tulah, Encik Kamal bagi aku balik awal. Kau tahukan, beberapa hari ni aku asyik balik lewat aje, sebab nak siapkan laporan tu. Jadi, hari ini Encik Kamal bagi aku balik awallah,” terang Qistina. Riak wajahnya begitu ceria.
            Patutlah tergesa-gesa sahaja Qistina mengemas mejanya. Kesian juga Syafiq kepada Qistina, mana tidaknya sejak beberapa hari ini, Qistina selalu balik lambat untuk menyiapkan laporan kewangan untuk bulan ini. Hari ini, bagilah peluang pada Qistina pulang awal sekali-sekala. Bukannya selalu pun! 
            “Kau nak pergi mana sebenarnya ni?” tanya Syafiq lagi. Masih tidak puas hati selagi Qistina menjawab soalannya tadi.
            “Aku nak pergi jumpa tunang kesayangan aku tulah!” tekan Qistina. Suaranya sedikit keras. Sengaja dia buat begitu. Dia tahu, Syafiq tidak akan berpuas hati selagi soalannya tidak berbalas. Qistina kepada Syafiq sambil tersenyum geli hati melihat perangai gelabah Syafiq. Qistina yang nak berjumpa dengan tunangnya, Syafiq pula yang lebih-lebih!
            “Hish… Kau ni! Selalu buat aku suspen ajelah. Aku ingatkan, ada hal mustahaklah sangat, sampai kau bersiap awal ni. Rupa-rupanya nak pergi dating,” kata Syafiq lagi yang sudah tersengih seperti kerang busuk.
            “Kau cemburu ke?” tanya Qistina pula.
            “Tak ada maknanya, aku nak cemburu dengan kaulah Qis! Lagipun, aku dah ada Sarah. Buat apalah aku nak cari yang lain! Aku takut aje ada orang lain yang cemburu,” beritahu Syafiq kepada Qistina sambil matanya menjeling kepada Hisyam yang duduk tidak jauh dari situ. Saja nak cari pasal dengan Hisyam.
            Hisyam dah menahan geram dengan perangai Syafiq itu. Mulut memang tak ada insurans betullah!
            “Okeylah, Encik Syafiq oii… aku pergi dulu. Kalau duk layan kau aje, sampai esok pagi belum tentu habis,” sindir Qistina sekali lagi sebelum berlalu meninggalkan Syafiq yang masih terkebil-kebil di meja Qistina.
            Hish! Qis ni, mulut memang boleh tahan jugak! Hisyam sudah tergelak di mejanya, apabila Qistina berkata begitu kepada Syafiq. Padan dengan muka Syafiq, suka sangat menyakat orang. Hah, ambik kau!

SUASANA Indah di Restoran Secangkir Kopi, tampak begitu tenang sekali. Pengunjung yang ada nampak tenang menikmati juadah minum petang masing-masing. Qistina terjenguk-jenguk memandang sekeliling restoran itu mencari kelibat tunangnya. Dia seperti tidak sabar untuk bertemu dengan tunangnya itu. Sudah lama, mereka berdua tidak berjumpa.
            Firdaus melambai-lambaikan tangannya, apabila ternampak kelibat Qistina di restoran itu.
            Segera Qistina mengatur langkah perlahan-lahan menuju ke arah Firdaus yang duduk tidak jauh dari tempat Qistina berdiri sedari tadi. Qistina terus melabuhkan punggungnya di kerusi yang telah di sediakan.
            “Dah lama ke Fir sampai?” tanya Qistina sebaik saja melabuhkan punggungnya di kerusi yang telah disediakan.     
            “Baru aje,” balas Firdaus tenang. Dia merenung wajah Qistina. Ya, dia amat rindukan wajah itu. Baru sekarang dia dapat melihatnya, setelah lama mereka tidak berjumpa. Qistina memiliki wajah yang manis sesuai dengan orangnya. Wajahnya, membuatkan jiwa Firdaus tenang. Sempat dia menilik wajah tunangnya itu. Tapi, bagaimana jika Qistina tahu tentang perasaannya yang kini telah beralih arah? Dapatkah, Qistina menerimanya? Dia tidak berniat untuk melukakan perasaan Qistina.
            Namun, siapa yang dapat menyangka, hubungan lima tahun yang di bina telah diragut oleh orang ketiga. Kehadiran Alia di sisi Firdaus, telah banyak mengubahnya. Begitu juga perasaan Firdaus terhadap Qistina. Siapa sangka, dalam diam-diam Firdaus telah menjalinkan hubungan dengan Alia tanpa pengetahuan Qistina tunangnya sendiri. Qistina dan Alia memang jauh berbeza.
            “Fir, kenapa ni?” tegur Qistina apabila dia melihat Firdaus sedari tadi duk merenungnya. Firdaus tersentap dari lamunannya.
            “Err… tak ada apa-apa.” Tergagap-gagap Firdaus menjawab. Pasti Qistina perasan dia sedang merenungnya. “Qis, nak minum?” Firdaus sengaja menukar topik. Tidak mahu, Qistina syak yang bukan-bukan. Bukan niatnya, hendak membuat pembandingan di antara Qistina dengan Alia.      
            “Hmm… boleh jugak,” balas Qistina. Selepas itu, Firdaus terus memanggil pelayan dan memesan minuman untuk Qistina.
            “Sekarang ni, susah sangat Qis nak jumpa dengan Fir, kan,” luah Qistina memulakan perbualan setelah masing-masing membisu.
            “Fir sibuklah, Qis,” ucap Firdaus ringkas.
            “Fir, orang lain pun sibuk jugak tapi tak adalah sampai macam Fir ni,” sindir Qistina kepada tunangnya Firdaus. Sempat dia mencebik.
            “Qis, dah berapa lama kita kenal? Takkanlah Qis masih tak percaya kat Fir lagi?”  Firdaus menyoal semula.
            “Ya ke? Jangan-jangan sibuk dengan perempuan lain tak?” Serkap Qistina lagi. Sengaja ingin menguji keikhlasan hati tunangnya itu.
            “Qis, berapa kali Fir dah cakapkan, Fir sibuk dengan kerja! Mana ada Fir keluar dengan perempuan lain, selain dengan Qis,” balas Firdaus tenang. Cuba menyembunyi kegelisahan dihatinya.
            “Qis tahu tu dan Qis percayakan Fir. Tapi, kalau Qis dapat tahu Fir ada keluar dengan perempuan lain jaga Fir, Qis kerjakan!” ugut Qistina.
            Firdaus yang mendengar hanya tersenyum apabila Qistina berkata begitu kepadanya. Dia percaya Firdaus tidak akan buat begitu padanya. Selama lima tahun mereka berkawan dan kini sudah bertunang. Tidak lama lagi mereka bakal melangsungkan perkahwinan.
            “Tengok tu, Qis masih tak percayakan Fir lagikan. Cemburunya tak habis-habis!” kata Firdaus apabila Qistina berkata begitu kepadanya.
            “Fir, mestilah Qis cemburu kalau Fir keluar dengan perempuan lain. Fir tunang Qis. Mestilah Qis sayangkan Fir lebih,” luah Qistina.
            Firdaus tidak menyangka apabila Qistina meluahkan isi hati kepadanya. Firdaus bagaikan terkena kejutan elektrik apabila Qistina meluah kata-kata yang indah itu. Ternyata, Qistina bersungguh menyintai dirinya.
            Bagaimanalah dengan nasib Qistina nanti, apabila dia mengetahui hal sebenarnya pada diri Firdaus yang sudah menjauh hati dengan Qistina. Pasti, hancur hati Qistina apabila mengetahuinya nanti. Baginya, dia tidak mahu melukakan hati Qistina.
            Dia terlalu menyayangi Qistina, tetapi pada masa yang sama dia juga menyayangi kekasih gelapnya Alia yang jauh lebih cantik daripada Qistina. Dia tidak dapat melupakan segala pujukkan yang diberikan oleh Alia. Firdaus keliru dengan perasaannya!
            “Hmm… sudahlah tu. Qis jom kita balik. Lagipun, dah nak maghrib ni. Tak baik keluar waktu senja-senja begini,” kata Firdaus. Qistina hanya mengangguk bersetuju dengan cadangan Firdaus.
            Selepas membuat pembayaran, Firdaus menghantar Qistina ke keretanya dan mereka akhirnya berpisah meninggalkan perkarangan restoran itu dengan membawa haluan masing-masing.

QISTINA tidak menyangka bahawa dia dan Firdaus akan melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi. Segala persiapan untuk majlis perkahwinan mereka, sudah disiapkan. Hanya tinggal dua bulan saja lagi masa yang ada untuk Qistina dan Firdaus melangsungkan majlis perkahwinan mereka. Sekejap saja masa berlalu, sudah lima tahun dia dan Firdaus berkawan dan dalam masa yang sama, dia kini sudah bergelar tunangan kepada Firdaus.
            Bergelar tunangan orang juga banyak dugaannya, benarlah kata orang tua-tua bila bertunang ni macam-macam perkara yang boleh terjadi. Sejak dia bergelar tunangan kepada Firdaus, hubungan mereka berdua tidak selincah semasa bercinta dahulu. Kadang-kala ada saja perkara yang timbul  dan boleh menyebabkan dia dan Firdaus bergaduh. Itulah lumrah kehidupan.
            Qistina akui, Firdaus yang sekarang sudah lain benar dengan Firdaus yang mula-mula dia kenal dulu. Firdaus sudah banyak berubah. Bukan Qistina hendak berprangsaka buruk terhadap tunangnya itu. Kadang-kadang, Qistina hairan kenapa susah sangat hendak berjumpa dengan tunangnya itu. Hairan Qistina.

USAI saja Qistina membersihkan diri bersolat, dia menuju ke balkoni rumah sewanya, untuk menikmati suasana malam yang begitu dingin dan mengasyikkan. Pertemuan di Restoran Secangkir Kopi, petang tadi dengan tunangnya Firdaus membuatkan dirinya sedikit gembira. Sudah lama dia tidak bertemu dengan Firdaus memandangkan kedua-duanya sibuk dengan urusan kerja masing-masing. Qistina yang leka menikmati suasana malam itu tidak sedar kawan baiknya Soffiya sedang memerhatinya dari belakang.
            “Jauh termenung,” tegur Soffiya. Pantas Qistina menoleh mendengar suara serak-serak basah sahabat baiknya itu. Di bibirnya terukir senyuman.
            “Kau ni, lain kali bagilah salam dulu ke, apa ke, saja aje buat aku terkejut,” balas Qistina. Sambil mengurutkan dadanya.
Soffiya mendekati Qistina di balkoni bersama-sama. Turut memandang ke dada langit yang kelam. Tiada bintang yang bertaburan di situ.
            “Dah bagi pun. Kau aje yang tak sedar. Macam ada problem aje kau ni?”
            “Entahlah,” terlepas keluhan dari bibir itu. “Dia macam makin jauh dari aku. Rasa macam susah nak digapai. Tak macam dulu. Lain benar dia sekarang,” luah Qistina. Soffiya amat memahami siapa yang dimaksudkan oleh Qistina itu. Sudah acap kali Qistina mengadu hal tentang Firdaus kepadanya. 
            “Kau rasa dia ada perempuan lain ke?” Soffiya menyerkap jarang.
            “Kenapa kau cakap macam tu?” soalan dibalas dengan soalan juga.
            “Aku tanya aje. Manalah tahu. Lelaki zaman sekarang bukan boleh percaya sangat. Depan kita pijak semut pun tak mati. Belakang kita bukan main panjang lagi kaki tu.”
            “Tak mungkinlah. Fir yang aku kenal bukan macam tu. Dia setia. Tak mungkin dia sanggup curang belakang aku,” kata-kata itu lebih kepada mahu menyedapkan hati sendiri. Sesungguhnya dia tidak mampu berdepan dengan kemungkinan itu. Dia tidak sanggup melihat hubungan selama lima tahun berkecai begitu sahaja.
            “Kau sendiri cakap dia dah lain, kan? Bila lelaki dah mula berubah, mesti ada sebabnya. Kalau tak takkanlah tiba-tiba aje dia nak berubah,” tukas Soffiya. Dia tidak mahu melihat Qistina buta kerana cinta. Sahabatnya perlu berdepan dengan segala kemungkinan.
            “Tapi dah lima tahun, Fiya. Takkanlah lima tahun tu tak bermakna apa-apa bagi dia?” suara Qistina melengking memecah kesunyian malam. Hatinya diamuk resah. Takut jika apa yang dikata Soffiya itu menjadi nyata.
            “Lima tahun ke, lima puluh tahun ke, tak bermakna apa-apa. Yang penting hati, bukannya berapa lama mana kau kenal dia. Orang yang kahwin pun boleh bercerai-berai, inikan pulak yang baru saja bertunang…,” sengaja dia membiarkan kata-katanya tergantung begitu. Biar Qistina berfikir sendiri. 
            “Kau jangan takutkan aku.” Qistina menjeling sahabatnya. Sukar benar menelan bait-bait ayat Soffiya itu.
            “Dahlah, kau janganlah fikir sangat. Tu, cuma kemungkinan. Bukannya kebenaran. Aku cakap aje tak semestinya betul. Aku nak tidur dulu.” Soffiya sudah mula menjauh daripada balkoni. Mahu mencari tilam empuknya.
            “Kau tidurlah dulu.” Qistina masih setia di situ. Dia tidak mampu melelapkan mata bila hati diburu bimbang.

MATA redup itu merenung wajah yang sedang asyik meneliti monitor komputer. Khusyuk benar dengan kerja hingga tidak sedar ada mata yang memandang. Terukir senyuman di bibir lelaki tatkala gadis itu mengetap bibir. Tahu benar tabiat si gadis jika sudah melakukan kesilapan.
            Dia hanya mampu memerhatikan si gadis dari jauh. Gadis itu tidak mungkin menjadi miliknya. Gadis itu sudah pun menjadi tunangan orang. Dia bukanlah lelaki yang mudah merampas hak orang lain. Tidak betah mencari musuh walau hati mendesak mahukan perhatian si gadis.
            “Ehem… ehem…” deheman itu membuatkannya sedikit tersentak. Tahu benar siapa yang begitu berani mengganggu perhatiannya.
            “Kau, kalau tak kacau aku buat kerja boleh tak?” Marah Hisyam. Syafiq hanya mencebik.
            “Hebat kau! Boleh buat dua kerja dalam satu masa,” sindir Syafiq. Dia mengerling ke arah Qistina yang sedang tertunduk-tunduk mencari sesuatu di bawah meja. “Kalau mata tengok ke sana pun boleh buat kerja lagi ke?” Syafiq menjuih bibir ke arah Qistina.
            “Arghh… sibuklah kau. Kau tu buat kerja sendiri sudah, jangan menyibuk hal rumah tangga orang lain,” tingkah Hisyam. Geram juga dengan sikap teman yang suka menyakatnya.
            “Hai, sejak bila kau dah potong line Firdaus tu? Dia baru jadi tunang, kau terus jadi suami. Hebat!”
            “Ada jugak aku debik karang,” ugut Hisyam. Syafiq sudah tersengih-sengih bagai kerang busuk.
            Bro… kalau setakat tengok dari jauh aje, sampai bila pun kau takkan dapat punya awek tu. Kalau betul suka, pergi sana propose sikit. Baru style.”
            Style hotak kau. Free aje aku dapat penampar karang. Tu, belum kira lagi kalau dia mengadu kat tunang dia tu.”
            “Sejak bila member aku ni jadi penakut pulak ni. Kalau tak bukan main lagi kau dengan perempuan.” Hisyam menahan sabar. Dengan teman nan seorang itu dia memerlukan lebih kesabaran. Jika tidak ada yang berguling di lantai nanti terkena penangannya.
            “Ini bukan soal takut. Ini soal respect. Aku tak usik hak orang,” tegas Hisyam. “Baik kau diam sebelum aku diamkan kau,” sambung Hisyam melihatkan bibir Syafiq bergerak-gerak seperti ingin membuka mulut lagi.
            “Okey… okey… aku diamlah ni. Tengok dari jauh pun jadilah. Macam orang tua-tua cakap. Dapat tengok bumbung pun cukuplah,” sempat lagi Syafiq menyindir sebelum berlalu dari situ. Hisyam sudah tergeleng-geleng. Nak marah pun tak boleh. Sengal!
  

1 ulasan: